Filem mengangkat profesion perguruan, bingkisan pesanan dan pedoman kehidupan

Menerusi filem ini terdapat sindiran sinis yang berupaya membuka pandangan umum bahawa guru merupakan contoh terbaik dalam mewarnai dunia akademik.

Feature Image

“CIKGU suka main bola, hari-hari cikgu main bola”.
“Cikgu suka main bola, hari-hari cikgu tidur”.
“Cikgu sudah tidur mari kita main”.

Ini merupakan dialog yang diungkap menjadi bait-bait kenangan dan begitu dekat dihati masyarakat apabila memperkatakan tentang perihal kehidupan seorang guru yang diilhamkan menerusi filem lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee suatu ketika dahulu.

Ringkas dan menusuk ke pemikiran apabila melihat gelagat yang dipaparkan berkenaan hubung kait perilaku seorang guru dan perlakuan anak murid. Betapa besar tanggungjawab dan peranan seorang guru dalam memberikan didikan yang sempurna tatkala anak-anak murid masih perlu dibimbing dengan kemas.

Menerusi filem ini terdapat sindiran sinis yang berupaya membuka pandangan umum bahawa guru merupakan contoh terbaik dalam mewarnai dunia akademik. Jika seorang guru tidak menjalankan amanah dan tanggungjawab sebaiknya maka keadaan yang dipaparkan dalam filem berkenaan tidak mustahil berlaku.

Ini adalah antara kekuatan filem dalam membawa imaginasi masyarakat untuk berfikir sejenak berkenaan segala yang diungkap bagi tujuan penyampaian makna melalui kreativiti seni persembahan.

Lantaran filem ini, penulis mengimbau sejenak keadaan ketika menjalani sesi persekolahan dahulu. Pasti ada seribu kenangan jika kita menitip kisah lalu yang pernah dilalui dalam proses pendewasaan. Memori suka dan duka menyelinap dalam denyut nadi ketika menuntut ilmu dengan pelbagai ujian yang harus dihadapi dalam erti kata mengusahakan masa depan yang cemerlang dengan bimbingan guru yang penuh dedikasi.

Ternyata filem bertindak sebagai cerminan kehidupan yang berupaya untuk membangkitkan nostalgia masyarakat terutamanya pada waktu pertama kali kita memulakan langkah ke alam persekolahan suatu ketika dahulu dan setiap imbasan nostalgia tersebut pasti akan ada hadirnya watak guru untuk dikenang.

Di sisi lain, apabila memperkatakan tentang filem sebagai cerminan kehidupan maka setiap dialog dan gerak geri watak yang dilakonkan dalam filem bakal membawa makna yang mendalam dan bertindak bagi menghubungkaitkan antara minda penonton dengan naratif penceritaan melalui pengalaman serta pemahaman mengikut sesuatu tumpuan.

Bukan sahaja bertujuan untuk menghiburkan penonton, malah memberikan suatu eksplorasi pengalaman hidup yang penuh emosi dan sarat dengan makna serta nilai yang tersendiri.

Dengan mengambil contoh sebuah lagi filem yang memaparkan pengkisahan seorang pendidik iaitu filem Memoir Seorang Guru yang turut berjaya mencuri perhatian ramai. Menariknya, filem ini turut menonjolkan naratif penceritaan mengenai kehidupan seorang guru dengan lebih dramatik dan penuh makna.

Filem ini mendapat sambutan yang baik kerana aspek kekuatan naratif dalam memuatkan mesej pengalaman kehidupan seorang guru dan juga murid di kawasan pedalaman.

Melalui sentuhan visual yang segar, bahasa yang dekat dengan penonton, dukungan para pelakon berpengalaman dan garapan pengkisahan yang menyentuh hati serta menggugah imaginasi penonton untuk berfikir secara kritis.

Hal ini kerana banyak unsur pengajaran terbina melalui babak yang disusun dengan kemas dalam memberikan gambaran manfaat kepada masyarakat tentang realiti kehidupan seorang guru menurut pandangan lensa secara penggunaan perlambangan dan unsur semiotik yang memerlukan kebijaksanaan penonton untuk membuat tafsiran.

Garapan babak yang menyentuh hati disusun elok dan menjelmakan tanggapan yang penting untuk masyarakat mengerti bahawa penerapan emosi positif dalam jiwa individu tak kira seorang guru mahu pun murid amat penting dalam proses penyampaian dan penerimaan ilmu.

Perlu ada rasa kecenderungan pada ilmu, berhasrat untuk melaksanakan, rasa kasih dan sayang pada insan lain dan tanggungjawab untuk membentuk masa depan diminda, bakal meningkatkan daya motivasi dan impak dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Sebenarnya, sama ada disedari mahupun tidak, filem boleh dianggap sebagai medium untuk mendidik masyarakat dalam menyediakan sudut pandangan atau pedoman melalui setiap pertuturan dialog dan tingkah perbuatan serta mesej yang hendak disampaikan diakhir siaran memberikan segala kebaikan tak kira kepada sesiapa sekali pun yang menontonnya.

Jika ditonton oleh golongan anak muda maka filem bakal memberikan gambaran tentang peri pentingnya adab dan akhlak sebagai seorang murid ketika menuntut ilmu. Lukisan perjalanan dalam menggapai sebuah kejayaan memerlukan kesungguhan dan pengorbanan dalam memberikan yang terbaik.

Filem mampu menghidupkan imaginasi penonton terutamanya anak muda agar mendapat sumber pengalaman yang autentik dari sudut bingkisan pesan dan ingatan tentang gagasan kehidupan mendatang.

Jika seorang guru pula yang menonton maka bakal memberikan semangat dan membangkitkan keyakinan serta sumber inspirasi nyata agar memberikan yang terbaik dalam seluruh aspek mendidik anak bangsa.

Guru mampu melaksanakan amanah untuk mencorak dan membentuk keperibadian seseorang murid hingga menjadi manusia yang berjaya. Dengan kaedah didikan yang betul, bakal menyumbang kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang gemilang lantaran usaha gigih menjalankan amanah tanpa jemu.

Kepada ibu bapa dan anggota masyarakat umum yang menonton pula, filem bertindak sebagai memberi panduan dan gesaan tindakan terutamanya untuk memikul tanggungjawab bersama dalam memastikan kelestarian pendidikan anak-anak di sekolah. Masyarakat harus sentiasa menyokong usaha guru khususnya pihak sekolah demi menuju kebaikan antara kedua belah pihak. Kepercayaan yang diberikan kepada guru harus disulam dengan memahami tugas mereka dan bukannya mengungkap kesalahan yang sepatutnya boleh diselesaikan bersama.

Dalam meniti arus globalisasi yang membawa pelbagai cabaran dan harapan, sudah tentu pendidikan merupakan teras penting dalam melahirkan individu yang berilmu dan memiliki nilai-nilai murni yang dapat menyeimbangkan kebolehan diri dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Dalam lanskap industri perfileman pula penawaran naratif penceritaan yang mengolah dan memberi makna kepada ilmu pengetahuan seharusnya diperhebatkan. Bukan sahaja pengisian kandungan yang tertumpu pada usaha memperoleh ilmu pengetahuan tetapi harus memanfaatkan berkenaan tafsiran pembentukan karektor peribadi yang senantiasa berteraskan akhlak dan etika yang baik sebagai panduan individu dalam setiap aturan kehidupan mereka.

Akhir kata, filem berupaya memberikan makna kepada sebuah pengorbanan seorang pendidik dengan gaya kupasan seni yang dapat membentuk kepekaan masyarakat dalam memahami dengan harmoni dunia pendidikan dengan cerita yang mampu menyentuh hati sesiapa sahaja yang menonton.