Tidak semua virus akan menjadi pandemik seterusnya

Virus Andes tergolong dalam keluarga hantavirus, iaitu kumpulan virus yang lazimnya dikaitkan dengan rodensia atau tikus sebagai perumah semula jadi.

Feature Image

LAPORAN mengenai wabak virus Andes atau Andes virus (ANDV) di atas kapal persiaran MV Hondius baru-baru ini secara semula jadi mengundang kebimbangan dalam kalangan masyarakat. Dengan beberapa kematian dilaporkan serta penularan berita mengenai penumpang yang pulang ke negara masing-masing selepas meninggalkan kapal tersebut, ramai mula bertanya soalan yang sama yang pernah kita dengar enam tahun lalu, adakah ini permulaan kepada satu lagi pandemik global?

Reaksi seperti ini sebenarnya boleh difahami. Pandemik Covid-19 meninggalkan kesan psikologi yang besar kepada masyarakat seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Selepas melalui tempoh panjang perintah kawalan pergerakan, berita harian tentang angka kematian serta perubahan besar dalam kehidupan seharian, ramai menjadi lebih sensitif terhadap sebarang laporan mengenai virus baharu. Setiap kali muncul berita tentang wabak di luar negara, akan ada kebimbangan bahawa sejarah mungkin berulang.

Namun dalam bidang virologi, tidak semua virus mempunyai keupayaan yang sama untuk mencetuskan pandemik. Nama virus mungkin kedengaran menakutkan tetapi cara sesuatu virus merebak, persekitaran yang diperlukan untuk ia terus hidup dan keupayaannya menjangkiti manusia secara efisien memainkan peranan yang jauh lebih penting dalam menentukan tahap ancaman sebenar.

Virus Andes tergolong dalam keluarga hantavirus, iaitu kumpulan virus yang lazimnya dikaitkan dengan rodensia atau tikus sebagai perumah semula jadi. Berbeza dengan SARS-CoV-2 yang boleh menjangkiti manusia secara sangat efisien melalui titisan pernafasan dan aerosol di ruang awam, virus Andes mempunyai corak penularan yang jauh lebih terhad. Ia bergantung kuat kepada spesies tikus tertentu di Amerika Selatan untuk terus wujud dalam ekosistem semula jadinya.

Di sinilah perbezaan penting yang sering terlepas pandang apabila masyarakat membandingkan setiap wabak baharu dengan Covid-19.

Virus Andes sememangnya mempunyai rekod penularan manusia kepada manusia tetapi bukti yang ada menunjukkan ia berlaku secara jarang dan biasanya melibatkan hubungan rapat dalam tempoh yang lama, selalunya dalam kalangan ahli keluarga atau individu yang tinggal serumah. Ia tidak mempunyai keupayaan penyebaran pantas seperti yang kita lihat semasa awal pandemik Covid-19 dahulu, apabila seseorang boleh dijangkiti hanya melalui pertembungan singkat di ruang tertutup atau pengangkutan awam.

Dalam kata lain, virus Andes tidak mempunyai “enjin biologi” yang sama untuk merebak secara meluas dalam komuniti.

Satu lagi faktor yang memberi sedikit kelegaan kepada pakar kesihatan awam ialah sifat genetik hantavirus yang lebih stabil. Semasa pandemik Covid-19, antara cabaran terbesar ialah mutasi pantas virus korona yang menghasilkan pelbagai varian baharu dalam tempoh singkat.

Virus Andes pula menunjukkan kadar perubahan genetik yang jauh lebih perlahan, menjadikannya lebih mudah dipantau dan diramalkan dari sudut epidemiologi. Ini juga membantu memastikan ujian diagnostik sedia ada kekal relevan untuk tempoh yang lebih panjang.

Walaupun begitu, ini tidak bermaksud virus tersebut boleh dipandang ringan. Individu yang dijangkiti boleh mengalami Sindrom Pulmonari Hantavirus, iaitu keadaan serius yang melibatkan gangguan sistem pernafasan dan pengumpulan cecair dalam paru-paru. Pada peringkat awal, pesakit mungkin mengalami demam, sakit otot, sakit kepala dan keletihan sebelum keadaan menjadi lebih serius dalam tempoh beberapa hari.

Namun dari sudut kesihatan awam, terdapat perbezaan besar antara virus yang menyebabkan penyakit serius kepada individu dan virus yang berpotensi melumpuhkan sistem kesihatan negara melalui penularan besar-besaran. Covid-19 menjadi ancaman global bukan hanya kerana ia boleh menyebabkan kematian tetapi kerana ia merebak terlalu pantas dalam masa yang singkat. Itu menyebabkan hospital menjadi sesak dan sistem kesihatan di banyak negara berada dalam tekanan luar biasa.

Setakat ini, tiada bukti kukuh bahawa virus Andes mempunyai keupayaan sedemikian.

Malah, faktor ekologi juga memainkan peranan penting. Spesies tikus yang menjadi perumah utama virus Andes tidak wujud di Malaysia. Ini secara automatik mengurangkan risiko penularan semula jadi di negara kita. Dalam konteks virologi, memahami hubungan antara virus dan perumah semula jadinya sering kali lebih penting daripada sekadar melihat angka kes semasa.

Atas sebab itu, keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) yang masih mengekalkan penilaian risiko global pada tahap rendah adalah sesuatu yang selari dengan bukti saintifik semasa.

Apa yang lebih penting sekarang ialah memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat dan seimbang. Kewujudan virus baharu bukan sesuatu yang luar biasa dalam dunia moden, terutamanya apabila sistem pengawasan penyakit global kini jauh lebih cekap berbanding dahulu. Tidak semua laporan wabak perlu dilihat sebagai petanda kepada pandemik seterusnya.

Pengalaman Covid-19 memang mengajar kita supaya lebih berhati-hati dan itu bukan perkara yang salah. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga perlu belajar membezakan antara kewaspadaan dan panik. Dalam dunia virologi, setiap virus mempunyai “personaliti” biologinya yang tersendiri.

Memahami perbezaan itu adalah sebahagian daripada cara kita bergerak ke hadapan dengan lebih matang selepas melalui pengalaman besar yang pernah mengubah dunia beberapa tahun lalu.