Mengapa kemahiran pemasaran terpenting tidak diajar?

Dunia pemasaran kini semakin dipenuhi dengan kursus, pensijilan dan program latihan profesional baharu.

Poster Terkini

DI tengah-tengah perubahan aliran ilmu dan teknologi baharu yang pesat, jurang yang semakin ketara jelas kelihatan ke atas pembelajaran dan pengajaran. Ini bukan disebabkan oleh kekurangan maklumat tetapi sebaliknya disebabkan oleh penurunan kualiti pemikiran kritis dan kemahiran dalam membuat keputusan strategik dalam situasi yang kompleks dan tidak menentu kita bekerja dalam bidang pemasaran.

Dunia pemasaran kini semakin dipenuhi dengan kursus, pensijilan dan program latihan profesional baharu. Persoalannya, adakah ia benar-benar meningkatkan proses membuat keputusan pemasaran di lapangan?

Ramai pakar pemasaran di dalam artikel mereka dalam bidang pemasaran turut mempersoalkan kemahiran berfikir secara kritis para pemegang ijazah dalam bidang tersebut dan mereka juga menekankan bahawa masalah utama dalam industri ini bukanlah kekurangan pengetahuan tetapi sebaliknya keupayaan berfikir secara kritis yang lemah dalam membuat keputusan strategik jangka masa panjang.

Mereka mengharapkan institusi pengajian tinggi yang menawarkan ijazah-ijazah berasaskan bidang pemasaran dapat meningkatkan usaha memperbaiki perkara ini.

Mereka ini percaya ramai pemasar muda terperangkap dalam kitaran “lebih banyak latihan,” di universiti dengan harapan satu kursus tambahan akan meningkatkan keyakinan mereka. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, keyakinan selalunya tidak bertambah baik kerana kemahiran yang diberi hanya bersifat teori. Malah, sindrom membangun kemahiran yang tidak diperlukan kini menjadi lebih teruk.

Fokus Pada Ilmu, Bukan Berfikir

Secara praktisnya, industri pemasaran sering menekankan pemerolehan pengetahuan teknikal seperti SEO, media sosial, pemasaran digital, serta automasi dan kecerdasan buatan. Walau bagaimanapun, kemahiran asas seperti membuat keputusan dalam situasi yang samar-samar jarang dilatih secara sistematik.

Contohnya membuat keputusan alat promosi apa yang sesuai di gunakan untuk meningkatkan jualan produk tertentu? Bukan semua alat promosi yang sesuai untuk semua jenis barangan.

Walau bagaimanapun, pemasaran merupakan bidang yang penuh dengan ketidakpastian dana mat berseni kreatif. Tidak selalunya ada jawapan yang betul atau salah. Banyak keputusan bergantung pada konteks, intuisi, masa dan pertimbangan profesional.

Malangnya, ramai pemasar muda lulusan terkisi tidak berupaya untuk menjelaskan dan menyokong “mengapa” keputusan mereka begitu. Mereka tahu “apa” yang perlu dilakukan dan “bagaimana” untuk melakukannya, tetapi sukar untuk menjelaskan rasional atau justifikasi mereka.

Tekanan Hasil dan Ketidakpastian

Salah satu cabaran terbesar dalam dunia pemasaran ialah pendekatan penilaian berasaskan hasil. Kejayaan atau kegagalan sering dinilai berdasarkan hasil, bukan proses membuat keputusan ini selalunya perangkap bagi lulusan pemasaran baharu.

Ini mewujudkan tekanannya sendiri. Lulusan pemasan baharu ini pula enggan mendedahkan ketidakpastian atau proses pemikiran mereka kerana takut dianggap tidak cekap. Akibatnya, ramai yang memilih untuk menumpukan pada pencapaian yang lebih mudah diukur seperti taktik dan output, walaupun ini tidak selalunya mencerminkan nilai strategik yang sebenar.

Dalam beberapa kes, persepsi telah timbul bahawa pekerjaan pemasaran boleh digantikan dengan automasi atau kecerdasan buatan. Ini seterusnya menimbulkan rasa tidak selamat dalam kalangan profesional pemasaran.

Kepentingan Kemahiran Berfikir Secara Kritis

Pemikiran kritis dalam konteks pemasaran bukan sekadar kebolehan analitikal atau intelektual tetapi kemahiran membuat keputusan dalam keadaan yang tidak menentu, mempertimbangkan pelbagai konteks, dan menyampaikan sebab-sebab di sebalik sesuatu pilihan.

Kemahiran ini termasuk membuat keputusan dalam situasi yang tidak mempunyai jawapan yang pasti, pertimbangan berasaskan konteks dan bukannya sekadar mengikuti amalan terbaik, keupayaan untuk menjelaskan rasional di sebalik setiap keputusan kepada pihak berkepentingan, dan keberanian untuk mengatakan “ia bergantung” dengan penjelasan yang logik dan bertanggungjawab.

Budaya Kerja yang Perlu Berubah

Untuk merapatkan jurang ini, perubahan bukan sahaja diperlukan pada peringkat individu tetapi juga pada peringkat organisasi. Syarikat perlu mewujudkan budaya yang menghargai proses pemikiran, bukan hanya hasil akhirnya.

Ini bermakna keputusan yang dibuat dengan pertimbangan yang jelas masih dihargai, walaupun hasilnya tidak selalunya optimum. Tambahan pula, komunikasi strategik harus dilihat sebagai bahagian teras pekerjaan, bukan sekadar kemahiran insaniah tambahan oleh universiti.

Pembelajaran untuk bidang ini diuniversiti perlu beralih daripada sekadar menguasai kemahiran teknikal kepada membangunkan kemahiran membuat keputusan dalam situasi yang kompleks. Jurang terbesar dalam dunia pemasaran bukanlah kekurangan pengetahuan tetapi sebaliknya kekurangan keberanian dalam pemikiran kritis dan membuat keputusan strategik.

Di tengah-tengah aliran latihan yang pesat dan kemajuan teknologi baharu, keupayaan untuk memahami konteks, menjelaskan rasional di sebalik keputusan menjadi semakin penting untuk bidang pemasaran. Persoalannya sekarang bukan lagi, Apakah hala tuju yang harus mereka ambil seterusnya? tetapi sebaliknya Adakah mereka benar-benar memahami rasional di sebalik setiap keputusan yang mereka buat?