Pemilihan bahasa media pengaruhi nasib gajah di Malaysia

Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) menyenaraikan gajah sebagai spesies terancam.

Feature Image

PADA tahun lalu, ramai antara kita pastinya tersentuh dengan berita tentang seekor gajah betina yang kehilangan anak kecilnya di Lebuhraya Timur-Barat, lebih-lebih lagi kerana insiden ini berlaku pada Hari Ibu.

Laporan tersebut menggambarkannya sebagai seorang ibu yang kematian anak, lebih memilukan memandangkan betapa bermaknanya hari tersebut.

Baru-baru ini, ramai juga yang mengambil berat tentang layanan terhadap Dara, Amoi dan Kelat (popular dengan panggilan DAK) di sebuah zoo di Jepun.

Laporan itu menggambarkan mereka tidak gembira akibat keadaan hidup yang tidak selesa dan tidak semula jadi. Beberapa laman media mengulangi kedua-dua berita ini, yang kemudiannya ditularkan oleh laman media sosial, seterusnya menarik perhatian awam.

Hal ini mencetuskan rasa simpati terhadap gajah dan berjaya menyedarkan orang ramai tentang pelbagai masalah yang secara umumnya dihadapi oleh gajah akibat urbanisasi dan kehilangan habitat gajah di Malaysia serta selok-belok isu pemuliharaan.

Malaysia adalah salah sebuah negara yang memiliki gajah Asia di Semenanjung dan subspesiesnya, gajah pigmi di Sabah. Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) menyenaraikan gajah sebagai spesies terancam.

Kehadiran mereka amat penting dalam ekosistem kerana gajah mempunyai kesan transformatif dan mengekalkan biodiversiti. Ini dilakukan dengan membuka laluan, menyebarkan benih dan menggali air, sekali gus menjadikan mereka ‘jurutera ekosistem’. Aktiviti-aktiviti ini memberi manfaat secara langsung kepada penghuni hutan yang lain tetapi pada masa yang sama boleh memberi manfaat secara tidak langsung kepada manusia.

Cara kita melaporkan berita tentang gajah sebahagian besarnya cenderung untuk mengurangkan sumbangan mereka. Gajah betina pada tahun 2025 dan DAK pada tahun 2026 dimanusiakan dan digambarkan sebagai gajah yang mempunyai emosi dan fikiran, menjadikan kesulitan mereka relevan dengan kehidupan kita.

Namun, perkara yang sebaliknya lebih kerap berlaku, di mana gajah dilaporkan ‘mengamuk’, ‘memijak’ atau ‘membunuh’ orang, ‘merosakkan’ tanaman atau ‘menceroboh’ dan ‘menyerang’ ladang. Mereka juga sering dinamakan sebagai ‘gajah pembunuh’ atau ‘gajah liar’ dalam sesetengah berita.

Perkataan-perkataan ini, jika digunakan secara berterusan, mencipta tanggapan negatif terhadap gajah. Hal ini mengenakan piawaian moral manusia, seolah-olah gajah dengan sengaja berniat untuk mencederakan manusia dan harta benda mereka. Penggunaan bahasa seperti ini memaparkan gajah sebagai pengganggu aktiviti manusia, yakni gajah menjadi pemusnah dan manusia menjadi mangsa.

Gajah dilihat cenderung kepada keganasan yang mungkin akan menjustifikasikan tindak balas yang melampau, daripada mencederakan sehingga membunuh mereka, seperti nasib yang kerap dialami oleh gajah pigmi.

Jelas sekali, bahasa kita tentang gajah amat penting, memandangkan label dan nilai bahasa dapat mempengaruhi sikap dan tingkah laku kita.

Oleh itu, kita harus berhati-hati dalam pemilihan perkataan untuk memastikan bahawa kita membantu dan bukan memudaratkan gajah. Sama seperti bagaimana gajah merekayasa ekosistem, mungkin kita juga perlu merekayasa bahasa kita untuk memastikan gajah terus hidup dan terpelihara.