Mampukah kita kekalkan bekalan darah dalam era masyarakat menua nanti?

Adakah bekalan darah negara akan terus mencukupi apabila Malaysia semakin menjadi sebuah masyarakat menua?

Feature Image (3)

Oleh: DR. SITI SALMAH NORDIN

SETIAP hari, ribuan pesakit di hospital bergantung kepada bekalan darah untuk meneruskan kehidupan. Darah diperlukan untuk merawat mangsa kemalangan, pesakit kanser, ibu yang mengalami komplikasi pendarahan ketika bersalin, pesakit yang memerlukan transfusi kronik secara berkala seperti talasemia major serta pesakit yang menjalani pembedahan major serta memerlukan transfusi darah sebagai sebahagian daripada rawatan.

Namun, adakah bekalan darah negara akan terus mencukupi apabila Malaysia semakin menjadi sebuah masyarakat menua?

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sesebuah negara dianggap sebagai negara menua apabila populasi penduduk yang berumur 65 tahun dan ke atas mencapai atau melebihi 7 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Menurut data dari Jabatan Statistik Malaysia, negara ini telah pun mencapai status negara menua dengan peratus populasi berusia 65 tahun dan ke atas sebanyak 7.03 peratus pada tahun 2021.

Data juga menunjukkan terdapat peningkatan ketara bilangan individu yang berumur 65 tahun ke atas dari 2.191 juta pada tahun 2020 ke 2.746 juta pada tahun 2025 iaitu peningkatan sebanyak 25.3 peratus.

Peningkatan ini jauh lebih pantas daripada peningkatan populasi yang layak menderma darah iaitu dalam kategori umur 20-69 tahun yang hanya menunjukkan peningkatan sebanyak 9.3 peratus pada tahun yang sama. Di Malaysia, individu yang layak menderma darah ialah mereka yang berusia 17 sehingga 70 tahun.

Perubahan ini merupakan petanda kemajuan negara tetapi pada masa yang sama membawa cabaran baru kepada sistem penjagaan kesihatan, termasuk dalam memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi. Sejajar dengan peningkatan usia, permintaan terhadap transfusi darah turut bertambah.

Warga emas lebih cenderung mengalami penyakit seperti kanser, penyakit buah pinggang kronik, penyakit jantung dan gangguan darah yang mungkin memerlukan transfusi. Selain itu, mereka juga lebih kerap menjalani pembedahan major yang berisiko menggunakan komponen darah.

Di samping itu, peningkatan umur juga sering disertai penyakit kronik, pengambilan ubat-ubatan atau masalah kesihatan lain yang boleh menyebabkan seseorang tidak lagi sesuai menjadi penderma. Akibatnya, jumlah penderma darah mungkin berkurangan sedangkan keperluan darah terus meningkat.

Ramai beranggapan bahawa kemajuan teknologi mampu menggantikan keperluan pendermaan darah. Hakikatnya, sehingga hari ini belum ada produk buatan yang dapat menggantikan sepenuhnya fungsi darah manusia dalam amalan klinikal.

Justeru, budaya pendermaan darah perlu dibentuk sejak usia muda. Murid-murid seawal usia di sekolah rendah (Tahun 4-6) seharusnya didedahkan dengan aktiviti berkaitan pendermaan darah seperti pendidikan mengenai fungsi darah, transfusi dan pendermaan darah yang boleh diselitkan dalam mata pelajaran Sains, Pendidikan Kesihatan atau melalui aktiviti kokurikulum.

Penubuhan kelab penderma darah di sekolah, institusi pengajian tinggi, tempat kerja dan komuniti serta pelantikan “Duta Penderma Darah”, berpotensi memupuk budaya pendermaan darah melalui pengaruh rakan sebaya (peer influence), yang terbukti lebih berkesan dalam membentuk perubahan tingkah laku berbanding pendekatan yang hanya bergantung kepada hebahan oleh pihak berkuasa.

Pembudayaan pendermaan darah secara berterusan dalam masyarakat bukan sahaja menjamin kesinambungan bekalan darah negara, malah menggalakkan amalan gaya hidup sihat kerana individu yang berhasrat untuk menderma darah terdorong untuk mengekalkan tahap kesihatan yang optimum agar kekal layak sebagai penderma.

Selain itu, kempen digital perlu menggunakan kandungan yang kreatif, ringkas dan berasaskan fakta bagi menepis mitos, berkongsi kisah penerima darah serta memaparkan pengalaman penderma darah. Kajian mendapati Instagram dan TikTok adalah medium yang sangat berkesan untuk menarik minat golongan muda terutamanya Generasi Z.

Namun, WhatsApp dan X merupakan platform paling berkesan untuk mobilisasi segera bagi penyebaran maklumat dengan pantas semasa berlakunya kekurangan bekalan darah yang mendesak. Facebook pula dikenal pasti sebagai platform paling berkesan antara semua, terutamanya dalam merekrut penderma darah kali pertama.

Namun demikian, intervensi digital bersepadu yang menggabungkan media sosial, sistem tempahan slot menderma darah secara atas talian, diikuti dengan peringatan melalui aplikasi pemesejan serta maklum balas selepas pendermaan didapati lebih berkesan berbanding penggunaan satu platform sahaja dalam meningkatkan penyertaan penderma darah.

Pengalaman pertama sering menentukan sama ada seseorang akan menjadi penderma tetap. Proses pendermaan juga perlu mesra, cepat dan selesa dengan layanan profesional daripada petugas kesihatan. Susulan selepas pendermaan darah seperti penghargaan, sijil digital atau mesej ringkas yang memaklumkan bahawa darah mereka telah membantu pesakit boleh meningkatkan kepuasan dan menggalakkan pendermaan darah secara berkala.

Pada masa yang sama, masyarakat perlu melihat pendermaan darah sebagai satu tanggungjawab sosial. Walaupun tidak semua orang mampu menjadi penderma darah, tetapi setiap individu boleh memainkan peranan dengan menggalakkan ahli keluarga, rakan-rakan atau komuniti untuk menderma darah secara berkala.

Cabaran masyarakat menua memerlukan perancangan yang lebih strategik dalam pengurusan bekalan darah negara. Selain meningkatkan kesedaran masyarakat, usaha mengekalkan penderma darah sedia ada dan menarik penderma baharu perlu dilakukan secara berterusan.

Dalam konteks masyarakat menua, pendermaan darah merupakan satu pelaburan sosial yang strategik bagi menjamin kemampanan bekalan darah, sekali gus memastikan keperluan transfusi pesakit dapat dipenuhi secara berterusan.

* Penulis merupakan Pensyarah Perubatan & Pakar Perubatan Transfusi di Jabatan Perubatan Klinikal, Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia.