Bandar sejahtera kita bermula di tandas
Tandas ialah antara kemudahan awam yang paling kerap digunakan, namun sering menjadi yang paling kurang dihargai.

BEBERAPA kali kita pernah menahan diri daripada menggunakan tandas awam kerana bimbang keadaannya yang kotor? Atau mungkin kita sanggup memandu lebih jauh semata-mata mencari tandas yang lebih bersih. Bagi sesetengah orang, ia sekadar perkara kecil. Namun bagi ibu yang membawa anak kecil, wanita hamil, warga emas, orang kurang upaya atau individu yang mempunyai masalah kesihatan, tandas yang bersih bukan satu pilihan tetapi satu keperluan.
Tandas ialah antara kemudahan awam yang paling kerap digunakan, namun sering menjadi yang paling kurang dihargai. Hakikatnya, kebersihan tandas menceritakan banyak perkara tentang sesebuah masyarakat. Ia mencerminkan tahap disiplin, rasa hormat terhadap orang lain dan budaya sivik yang diamalkan dalam kehidupan seharian.
Atas sebab itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua sekolah harus mempunyai tandas yang bersih serta menegaskan bahawa menjaga kebersihan tandas bukan hanya tanggungjawab tukang cuci tetapi perlu dilihat sebagai satu usaha membina budaya, bukannya sekadar melaksanakan rutin pembersihan.
Matlamatnya untuk mendidik pelajar bahawa setiap kemudahan yang dikongsi bersama perlu dijaga bersama. Sekolah merupakan tempat terbaik untuk memupuk nilai tersebut. Seorang murid yang belajar membuang sampah ke dalam tong, membersihkan sinki selepas digunakan dan memastikan tandas ditinggalkan dalam keadaan baik akan membawa tabiat yang sama apabila dewasa. Nilai itu akan dibawa ke universiti, tempat kerja, pusat beli-belah, stesen pengangkutan, taman rekreasi dan pelbagai ruang awam yang lain.
Namun, budaya tandas bersih tidak boleh berhenti di pagar sekolah.
Apabila seseorang keluar ke bandar, pengalaman yang diterimanya masih sangat bergantung kepada keadaan tandas awam yang disediakan. Kita sering berbicara tentang bandar pintar, bandar rendah karbon dan bandar mampan.
Kita membina taman, laluan pejalan kaki, sistem pengangkutan awam dan ruang awam yang menarik tetapi pengalaman pengguna boleh berubah sekelip mata apabila kemudahan asas seperti tandas tidak memenuhi standard kebersihan dan penyelenggaraan.,
Dalam bidang perancangan bandar, tandas sebenarnya merupakan sebahagian daripada infrastruktur sosial. Ia menyokong mobiliti harian, kesihatan awam dan keterangkuman. Kajian berkaitan mobiliti menunjukkan bahawa akses kepada tandas mempengaruhi corak perjalanan ramai pengguna.
Ada yang mengehadkan tempoh berada di luar rumah, mengelakkan destinasi tertentu atau merancang perjalanan berdasarkan lokasi tandas yang bersih. Keadaan ini lebih ketara dalam kalangan wanita, keluarga yang membawa anak kecil, warga emas dan individu yang mempunyai keperluan kesihatan tertentu.,
Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah lama menegaskan bahawa sanitasi yang baik merupakan komponen asas kesihatan awam. Apabila tandas tidak diselenggara dengan baik, risiko penyebaran penyakit meningkat, manakala keyakinan masyarakat terhadap kemudahan awam turut terjejas.
Dalam konteks pelancongan pula, kebersihan tandas sering menjadi antara pengalaman yang paling diingati oleh pelawat. Sebuah bandar mungkin mempunyai tarikan yang indah, tetapi tandas yang kotor mampu meninggalkan tanggapan negatif yang berpanjangan.,
Pengalaman beberapa negara menunjukkan bahawa tandas yang bersih bukanlah hasil penguatkuasaan semata-mata tetapi lahir daripada budaya. Jepun sering dijadikan contoh kerana masyarakatnya menganggap menjaga kebersihan ruang awam sebagai tanggungjawab bersama.
Dalam konsep Machinoeki atau Hentian Komuniti, penyediaan tandas yang bersih menjadi salah satu elemen penting dalam membina jaringan komuniti yang mesra pengguna. Premis yang mengambil bahagian bukan sahaja menyediakan kemudahan asas kepada masyarakat, malah membantu mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan inklusif untuk penduduk serta pelawat.
Apa yang menarik, konsep ini tidak bergantung sepenuhnya kepada pembinaan tandas awam baharu. Sebaliknya, ia memperlihatkan bagaimana komuniti, pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta boleh berkongsi tanggungjawab menyediakan kemudahan yang berkualiti. Pendekatan seperti ini menunjukkan bahawa kebersihan tandas bukan isu satu agensi atau satu kementerian, tetapi tanggungjawab seluruh masyarakat.
Namun, sebaik mana sekalipun reka bentuk atau kemudahan yang disediakan, tandas tidak akan kekal bersih jika sikap pengguna tidak berubah. Kita tidak boleh mengharapkan pekerja pembersihan sentiasa berada di belakang setiap pengguna. Setiap individu perlu meninggalkan tandas dalam keadaan yang sama seperti yang mereka harapkan ketika memasukinya. Budaya inilah yang membezakan masyarakat yang sekadar mempunyai kemudahan dengan masyarakat yang benar-benar menghargai kemudahan tersebut.,
Sebagai sebuah negara yang sedang menuju status negara maju, kita perlu memperluaskan definisi pembangunan. Kemajuan tidak hanya diukur melalui bangunan pencakar langit, lebuh raya moden atau teknologi kecerdasan buatan. Kemajuan juga diukur melalui perkara yang paling asas iaitu kebersihan tandas, disiplin masyarakat dan rasa hormat terhadap ruang yang dikongsi bersama.
Membina budaya tandas bersih bukanlah satu projek jangka pendek. Ia bermula daripada pendidikan di sekolah, diperkukuh melalui teladan di rumah, disokong oleh dasar kerajaan dan diterjemahkan dalam reka bentuk bandar yang mengutamakan kesejahteraan rakyat. Apabila semua pihak memainkan peranan, tandas bukan lagi sekadar kemudahan sanitasi tetapi menjadi simbol kepada masyarakat yang bertanggungjawab, berdisiplin dan saling menghormati.,
Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti bertanya, “Siapa yang perlu membersihkan tandas?” Sebaliknya, kita perlu mula bertanya, “Apakah yang boleh saya lakukan supaya tandas ini kekal bersih untuk pengguna selepas saya?”
Budaya itulah yang akan membawa kita daripada sebuah sekolah yang bersih kepada sebuah bandar yang lebih berdaya huni, dan akhirnya kepada sebuah negara yang benar-benar mencerminkan nilai masyarakat madani.

