Masih dilema Melayu tanpa arah

Sejak merdeka pada tahun 1957, bangsa Melayu dipujuk dengan slogan ‘Hidup Melayu’, ‘Ketuanan Melayu’, ‘Memperkasa Melayu’.

Poster Terkini (1)

SAYA seorang warga emas dan OKU. Darah saya mengalir daripada dua sungai sejarah yang jauh daripada satu sama lain iaitu ibu saya berdarah Cina, manakala ayah saya pula anak Bugis dari Sulawesi yang berhijrah ke tanah ini, menjunjung cita dan semangat orang pelaut.

Namun, saya dibesarkan sepenuhnya sebagai Melayu, makan nasi, solat berjemaah, mengaji al-Quran dan belajar pantun sejak kecil.

Semangat Melayu saya bukan datang dari sijil kelahiran tetapi dari jiwa yang dibentuk oleh adat, budaya dan agama yang saya anut dengan penuh kesedaran.

Namun, darah yang mengalir dalam diri ini tidak pernah menuntut keistimewaan. Sebaliknya, ia mengajar saya memahami bahawa identiti itu bukan dilukis pada kulit tetapi ditulis dalam laku dan akal.

Justeru, saya tidak pernah gentar mendekati kaum lain, apatah lagi kini apabila anak-anak saya sendiri melangkaui sempadan bangsa dan negara dalam membina kehidupan.

Anak sulung saya berkahwin dengan wanita dari Korea Utara, satu pertemuan yang tidak saya duga, lahir daripada pengajian di luar negara. Anak kedua saya pula bakal beristerikan seorang wanita Cina kelahiran Malaysia tapi berfahaman terbuka dan gemar membaca sejarah.

Anak bongsu saya belum berkahwin dan belum pasti ke mana arah hatinya akan berlabuh. Namun tiada seorang pun antara mereka yang bertutur bahasa Melayu dengan lancar, meskipun saya seorang sasterawan yang membesarkan mereka dengan puisi dan buku.

Kami tinggal hampir dua dekad di Dubai, sebuah kota gurun yang menyimpan sejarah dan modenitas dalam satu nafas. Bahasa utama di rumah ialah Inggeris dan sesekali bahasa Arab digunakan untuk membeli barangan atau berbicara tentang agama.

Bahasa Melayu, indah dan kaya seperti teratai yang mekar dalam tasik, malangnya tidak sempat berakar di lidah mereka. Bukan kerana saya tidak berusaha tetapi kerana suasana tidak mengizinkan.

Saya menulis hari ini bukan untuk meratapi kehilangan warisan tetapi untuk merenung ke manakah arah bangsa Melayu ini, yang saban hari semakin kabur tujuan dan retak asasnya. Kita sering bertanya adakah menukar kerajaan itu solusi bagi nasib Melayu? Jawapan saya, setelah hidup hampir tiga perempat abad, ialah TIDAK.

Kita telah menyaksikan bagaimana selepas Pilihan Raya Umum ke-14, pertukaran kerajaan bukan membawa penyelesaian tetapi membuka lebih banyak luka. Kita lihat janji yang tidak dikota, pemimpin yang bertukar baju tetapi masih memikul agenda lama.

Yang diganti bukan sistem, hanya watak dan watak itu seringkali datang daripada kelompok yang sama iaitu elit politik yang menyanyikan lagu lama dengan rentak baharu.

Sejak merdeka pada tahun 1957, bangsa Melayu dipujuk dengan slogan ‘Hidup Melayu’, ‘Ketuanan Melayu’, ‘Memperkasa Melayu’.

Namun selepas lebih enam dekad, Melayu masih menjadi antara yang termiskin di tanah air sendiri. Tanah kampung tergadai, peluang kerja makin menyempit dan pendidikan tidak berjaya mengangkat martabat secara menyeluruh. Kita tidak kekurangan dasar tetapi terlalu banyak sandiwara.

Sementelahan itu, bangsa lain terus mara, gigih dan tersusun. Mereka tidak menunggu tongkat, tidak bersandar pada slogan. Mereka mendidik anak-anak dengan semangat dan disiplin, lalu menguasai bidang ekonomi, teknologi dan pemikiran.

Adakah ini salah mereka? Tidak. Ini adalah kelemahan kita kerana terlalu lena dibuai dengan naratif ketuanan tanpa memahami erti sebenar kedaulatan.

Ada yang mencadangkan bahawa sistem demokrasi tidak sesuai untuk Melayu. Bahawa kita perlu kembali kepada monarki mutlak, agar kestabilan dapat dijamin dan ketuanan dilindungi. Pandangan ini saya hormati, kerana dalam sejarah, sistem beraja pernah membawa kemakmuran. Namun kita mesti bertanya: adakah sistem itu mampu menyelamatkan bangsa jika akhlak pemimpin tetap sama?

Kita bukan kekurangan sistem. Kita kekurangan manusia jujur dan berjiwa besar untuk memakmurkan sistem. Sama ada demokrasi atau monarki, tanpa amanah, adil dan hikmah, kedua-duanya akan membawa bencana.

Apa yang lebih merisaukan ialah perpecahan dalam kalangan orang Melayu sendiri. Kita ada terlalu banyak parti politik Melayu dan pelbagai serpihan yang kononnya membawa aspirasi Melayu tetapi hakikatnya saling mencantas dan merobek kepercayaan sesama sendiri. Bukankah Nabi pernah bersabda, umatku akan berpecah kepada 73 golongan, dan hanya satu yang benar?

Persoalannya adakah kita mencari kebenaran atau hanya kuasa?

Perpaduan Melayu hanya akan menjadi realiti apabila kita melepaskan ego kepartian dan kembali kepada akhlak dan ilmu. Kita perlu lebih banyak tokoh yang tidak mengharapkan pangkat atau laba tetapi benar-benar mahu melihat anak-anak Melayu mampu bersaing dengan bangsa lain, bukan sekadar bertahan atas ehsan sistem.

Sebagai seorang sasterawan, saya percaya kekuatan bangsa terletak pada akal dan budaya. Namun, saya juga menyedari bahawa budaya tidak akan hidup tanpa pewaris. Anak-anak saya tidak membaca sajak Usman Awang. Mereka tidak mengenal Shanon Ahmad atau Arena Wati. Bukan kerana mereka tidak cerdas tetapi kerana sistem pendidikan dan persekitaran mereka tidak membesarkan mereka dengan cinta terhadap bahasa ibunda.

Saya tidak menyalahkan mereka. Saya juga yang membawa mereka ke Dubai, membesarkan mereka dalam sistem antarabangsa dan menghantar mereka ke universiti luar negara.

Bahasa Inggeris menjadi alat utama komunikasi kami, dan bahasa Arab menjadi pelengkap ibadah. Bahasa Melayu hanya tinggal dalam tulisan saya, sunyi tetapi setia.

Kadang-kadang saya bertanya pada diri adakah saya telah mengkhianati warisan saya sendiri? Tetapi saya cepat-cepat menyedari bahawa dunia telah berubah. Anak-anak saya mungkin tidak bertutur dalam bahasa Melayu tetapi mereka tetap menghormati saya, tetap bertanya khabar setiap minggu dan tetap percaya pada nilai-nilai yang saya tanamkan jujur, sederhana dan menghormati ilmu.

Saya berharap, jika ditakdirkan cucu saya lahir kelak daripada rahim keturunan Korea Utara, Cina dan entah mana lagi mereka akan menyambung semula benang bahasa dan warisan ini.

Mungkin bukan sebagai penutur yang fasih tetapi sebagai pewaris yang memahami bahawa menjadi Melayu bukan soal darah, tetapi soal jiwa dan tanggungjawab.

Malaysia adalah negara majmuk. Ini kenyataan yang tidak boleh kita abaikan. Perbezaan tidak boleh dijadikan alasan untuk membenci. Sebaliknya, ia perlu dijadikan sumber kekuatan. Melayu yang bijak bukan yang menjerit mempertahankan keistimewaan tetapi yang bersaing dengan adil dan bermaruah.

Kita mesti mengubah naratif bangsa kita daripada ‘tuan’ kepada ‘pemimpin’ kerana tuan boleh memerintah dengan kekuasaan, tetapi pemimpin memimpin dengan kepercayaan.

Saya menulis bukan kerana saya tahu semua jawapan tetapi kerana saya percaya masih ada ruang untuk kita berubah. Perubahan itu bukan dengan menukar kerajaan saban lima tahun atau menjerit di jalanan. Ia bermula di rumah, dalam cara kita mendidik anak, dalam bahasa yang kita pilih untuk berbicara, dalam buku yang kita baca dan nilai yang kita pegang.

Bangsa Melayu tidak akan hilang hanya kerana anak-anaknya berkahwin dengan bangsa lain tetapi Melayu akan hilang apabila anak-anaknya tidak lagi kenal siapa diri mereka dan tidak lagi mahu mempertahankan nilai yang membina bangsa itu sendiri.

Semoga tulisan ini menjadi cermin buat saya merenung—bukan hanya siapa hari ini tetapi ke mana saya ingin melangkah esok.

Semoga pada satu hari nanti, cucu-cucu saya, walaupun mungkin tidak bernama Awang atau Hang Tuah tetap akan membaca puisi Melayu dan memahami maksud kata-kata lama:

“Takkan Melayu hilang di dunia,” bukan kerana kuasa politik tetapi kerana kekuatan jati diri yang berakar dalam hati dan akal.


* Penulis pernah bekerja selama 18 tahun di Riyadh, Arab Saudi dan Dubai, UAE sebelum balik ke Kelana Jaya, Selangor akibat diserang strok dan menjadi warga OKU. Beliau merupakan pemenang 5 Hadiah Sastera Perdana Malaysia, 11 kali Hadiah Sastera Utusan, Anugerah Sastera Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan 30 hadiah sastera lain. Beliau juga bekas CEO empat buah syarikat di Dubai, pengarah, pengurus besar di syarikat antarabangsa. Menulis 44 buah buku dan 30 e-buku di clicks4book dan e-sentral.com.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.