Nilai ekonomi bahasa Melayu, aset strategik pembangunan negara
Nilai ekonomi bahasa Melayu bukan lagi sekadar teori akademik tetapi realiti yang sedang berkembang dalam pelbagai sektor.

BAHASA Melayu bukan sekadar alat komunikasi harian atau warisan budaya yang mendefinisikan identiti bangsa.
Bahasa Melayu mempunyai potensi ekonomi yang besar sekiranya dimanfaatkan secara strategik dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, pelancongan, perdagangan, diplomasi, teknologi dan industri kreatif.
Dalam era globalisasi dan ekonomi berasaskan pengetahuan, nilai ekonomi bahasa Melayu perlu dilihat sebagai aset yang boleh menjana keuntungan serta memperkukuh daya saing negara.
Bahasa Melayu merupakan bahasa keempat paling banyak digunakan di dunia berdasarkan jumlah penutur, melibatkan lebih 300 juta orang di rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand dan sebahagian Filipina.
Jumlah ini menunjukkan potensi pasaran yang luas untuk produk dan perkhidmatan berasaskan bahasa Melayu.
Misalnya, dalam sektor pelancongan, pemandu pelancong yang fasih berbahasa Melayu mampu memberikan perkhidmatan yang lebih mesra dan berkesan kepada pelancong serantau dari Indonesia dan Brunei.
Malah, penyediaan bahan promosi dan maklumat pelancongan dalam bahasa Melayu boleh menarik lebih ramai pelawat dari negara jiran, sekali gus meningkatkan hasil industri pelancongan negara.
Di peringkat ASEAN, bahasa Melayu berperanan sebagai jambatan komunikasi tidak rasmi yang menyatukan penduduk pelbagai negara.
Potensi ini boleh dimanfaatkan dalam bidang perdagangan rentas sempadan, khususnya dalam Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).
Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa pengantara dalam urusan niaga, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahasa asing seperti Inggeris.
Bahasa Melayu dan Ekonomi Digital
Dalam ekonomi digital yang pesat berkembang, kandungan tempatan dalam bahasa Melayu menjadi satu keperluan penting. Permintaan terhadap aplikasi, laman web, kandungan media sosial, permainan video dan perkhidmatan penstriman dalam bahasa Melayu kian meningkat.
Ini membuka ruang kepada pembangunan perisian, platform teknologi dan kandungan digital berbahasa Melayu yang boleh dijual kepada pasaran tempatan dan serantau.
Penerbitan digital dalam bahasa Melayu juga semakin mendapat sambutan seperti e-buku, blog dan podcast. Golongan muda yang lebih selesa dengan teknologi kini mencari kandungan tempatan yang relevan dalam bahasa ibunda mereka.
Keadaan ini mewujudkan peluang keusahawanan dalam bidang penulisan, penterjemahan, penyiaran dan pemasaran digital.
Selain itu, industri pengiklanan juga menunjukkan minat terhadap penggunaan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi yang efektif dalam menjangkau pengguna.
Iklan dalam bahasa ibunda lebih mudah menyentuh emosi dan membina hubungan jenama yang kuat dengan pengguna.
Oleh itu, penguasaan bahasa Melayu dalam bidang kreatif boleh memberikan kelebihan daya saing kepada syarikat-syarikat tempatan.
Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara telah melahirkan ramai tenaga kerja terlatih.
Ini menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berpotensi besar dalam menjana modal insan. Pusat-pusat latihan dan pendidikan teknikal serta vokasional (TVET) yang menggunakan bahasa Melayu mampu menarik minat belia luar bandar serta pelajar dari negara serantau yang berkongsi bahasa yang sama.
Selaras dengan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dengan menyarankan agar sistem TVET diselaraskan secara menyeluruh antara pelbagai kementerian dan agensi yang terlibat.
Beliau menekankan keperluan mewujudkan kerjasama erat antara institusi TVET, industri dan sektor swasta bagi memastikan program latihan yang ditawarkan sejajar dengan keperluan sebenar pasaran kerja.
Permintaan Tinggi Sektor Swasta
Lebih menarik, permintaan terhadap kursus bahasa Melayu dalam kalangan warga asing juga semakin meningkat, sama ada untuk tujuan pekerjaan, pengajian atau pelaburan.
Institusi pendidikan tinggi dan pusat bahasa boleh menawarkan kursus bahasa Melayu sebagai produk eksport pendidikan, sekaligus menjana pendapatan.
Industri kreatif seperti filem, muzik, animasi dan sastera turut mendapat manfaat daripada penggunaan bahasa Melayu. Filem dan drama berbahasa Melayu telah menembusi pasaran Indonesia dan Brunei.
Lagu-lagu tempatan juga mendapat tempat dalam carta muzik serantau. Ini menunjukkan nilai komersial bahasa Melayu dalam memperluas pasaran karya seni.
Penghasilan animasi seperti ‘Upin & Ipin’ yang berjaya ke peringkat antarabangsa membuktikan bahawa kandungan tempatan berbahasa Melayu mampu bersaing di peringkat global. Karya-karya ini bukan sahaja menjana pendapatan malah turut mempromosikan budaya Malaysia.
Nilai ekonomi bahasa Melayu bukan lagi sekadar teori akademik tetapi realiti yang sedang berkembang dalam pelbagai sektor.
Dengan dasar yang menyokong pengembangan penggunaan bahasa Melayu secara profesional dan komersial, negara boleh meraih manfaat ekonomi yang besar.
Justeru, pelaburan dalam pendidikan bahasa, pembangunan kandungan digital, promosi industri kreatif dan galakan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor korporat adalah penting untuk memastikan bahasa ini terus relevan, berdaya saing dan menguntungkan.
Bahasa Melayu bukan hanya warisan tetapi juga peluang. Maka, sudah tiba masanya kita melihat bahasa Melayu sebagai satu nilai ekonomi strategik yang boleh memacu pertumbuhan negara dalam kerangka Malaysia Madani dan wawasan kemakmuran bersama.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.