Cochlear Malaysia buka mata mahasiswa UM
Beri pendedahan awal kepada pelajar mengenai potensi kerjaya dalam bidang kejuruteraan bioperubatan yang semakin berkembang pesat di peringkat global.

KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2025 – Seramai 20 orang mahasiswa jurusan kejuruteraan bioperubatan Universiti Malaya (UM) dari tahun pertama hingga tahun akhir telah berpeluang melawat syarikat Cochlear Malaysia Sdn Bhd di Bangsar South, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lawatan industri ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai potensi kerjaya dalam bidang kejuruteraan bioperubatan yang semakin berkembang pesat di peringkat global.
Implan koklea kini menjadi salah satu teknologi paling penting dalam membantu pesakit yang kehilangan deria pendengaran, dengan pasaran global dijangka mencecah hampir USD5 bilion menjelang tahun 2035.
Pelajar tahun ketiga, Farah Farzana Azhar Sham meluahkan rasa teruja kerana dapat melihat sendiri bagaimana sebuah syarikat antarabangsa beroperasi.
“Saya kini sedar kerjaya kejuruteraan bioperubatan bukan hanya terhad kepada bekerja di hospital semata-mata. Ada banyak cabang kerjaya yang lain sebenarnya, termasuklah penyelidikan, pembangunan teknologi, dan industri peranti perubatan,” katanya.
Selain diberi taklimat mengenai operasi syarikat, para pelajar turut didedahkan dengan fakta menarik tentang penyelidikan berkaitan implan koklea.
Antaranya, saintis kini menggunakan ikan zebra (zebrafish) sebagai salah satu model genetik untuk mengkaji masalah pendengaran.
Ini adalah kerana kajian menunjukkan manusia sebenarnya berkongsi kira-kira 70 peratus persamaan genom dengan ikan tersebut dan gen yang menyebabkan masalah pendengaran pada manusia juga memberi kesan yang serupa kepada ikan zebra.
Walaupun ikan ini tidak boleh menggunakan implan koklea, kajian ke atasnya membantu para penyelidik memahami dengan lebih baik faktor-faktor genetik kehilangan pendengaran, sekali gus mempercepatkan pembangunan dan penemuan teknik rawatan baharu.
Penasihat program, Prof. Madya Ir. Dr. Mas Sahidayana Mohktar berkata lawatan sebegini amat penting untuk membentuk masa depan para pelajar di dalam jurusan ini.
“Lawatan ringkas seperti ini diharap dapat membuka laluan kerjaya mereka pada masa hadapan.
“Saya harap mereka mula menyedari yang salah satu perkara penting dalam apa jua laluan kerjaya ialah membina jaringan dan hubungan kerana sesuatu peluang itu sering datang melalui rangkaian yang kita wujudkan sendiri,” katanya.
Dengan industri implan koklea di Malaysia yang terus berkembang, lawatan ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada mahasiswa yang terlibat, malah turut mengukuhkan kedudukan UM sebagai peneraju dalam melahirkan graduan kejuruteraan berkualiti tinggi yang sentiasa bersedia untuk menyumbang dalam bidang penjagaan kesihatan dan teknologi perubatan.