Mata Helang: Bila bantuan SARA jadi bahan cacian

Jika kerajaan benar-benar mahu menjadikan SARA sebagai projek berkesan, pelaksanaannya mesti diperbaiki.

Feature Image (1)

DI atas kertas, Bantuan Asas Rahmah (SARA) dan Penghargaan SARA adalah idea yang mulia. Kerajaan mahu meringankan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, dengan menyediakan bantuan berbentuk kredit tanpa tunai yang boleh ditebus melalui MyKad di kedai-kedai terpilih.

Rasionalnya jelas, dengan cara ini, wang bantuan itu tidak akan disalah guna untuk membeli barang-barang yang bukan keperluan. Kedengaran cantik, penuh niat baik, seolah-olah kerajaan benar-benar prihatin pada rakyat.

Namun seperti biasa, di Malaysia yang penuh warna-warni ini, niat baik jarang diterjemahkan menjadi hasil yang manis.

Belum sempat bantuan ini berjalan lancar, sudah bergema kritikan dan caci maki dari segenap lapisan masyarakat dalam kalangan B40, M40, bahkan T20 yang kononnya tidak layak pun masih sempat menyindir. Daripada soal teknikal hinggalah ke teori konspirasi, semuanya dijadikan bahan.

Isu pertama yang dibangkitkan ialah mengapa bantuan itu dimasukkan terus ke dalam MyKad, bukan diberi tunai. Ada yang berasa seolah-olah kerajaan mahu mengawal cara rakyat berbelanja.

Tidak kurang juga yang menuduh kononnya kerajaan tidak percaya pada kebijaksanaan rakyat sendiri untuk mengurus wang mereka. Malah ada yang lebih sinis berkata, ‘Tunai lagi senang, boleh beli apa kita suka. Kenapa nak susahkan?’

Kemudian datang pula hujah bahawa penebusan hanya boleh dibuat di kedai-kedai tertentu. Tuduhan segera dilempar; kerajaan hanya mahu mengkayakan tokeh-tokeh Cina, manakala peniaga Melayu kecil-kecilan diketepikan.

Isu ini terus diheret ke gelanggang perkauman, seolah-olah bantuan rakyat tidak lain hanyalah peluang licik untuk satu kaum menguasai keuntungan.

Malangnya, jarang yang mahu melihat dari sudut logistik bahawa tidak semua kedai mampu menanggung sistem e-dompet yang kompleks, tidak semua premis boleh diselia dengan mudah. Yang lebih mudah ialah terus menuduh dan mencaci.

Isu ketiga pula mengenai senarai barang yang boleh ditebus. Hanya barang asas tertentu dibenarkan, seperti beras, gula, minyak, tepung, susu, telur dan beberapa keperluan penting tetapi rakyat bertanya, kenapa tidak semua barang?

Bukankah duit itu hak mereka? Jika mahu beli coklat mahal, minuman bergas atau rokok sekali pun, apa salahnya? Pertanyaan ini membuka pekung dalam masyarakat kita, bantuan yang diberi untuk mengisi perut, tetapi masih ada yang mahu memuaskan nafsu selera.

Lebih malang lagi, pada hari pertama sehingga ke hari keempat pelaksanaan, sistem penebusan tergendala kerana terlalu banyak permintaan serentak.

Kedai dipenuhi rakyat yang berpusu-pusu mahu menebus bantuan, seolah-olah esok tiada lagi makanan di rak pasar raya.

Kerajaan beralasan bahawa mereka tidak menjangka sambutan begitu besar pada peringkat awal. Bukti nyata terpampang, rakyat menyerbu, sistem tumbang.

Maka muncullah suasana kelam-kabut. Troli ditinggalkan di kaunter, barangan berselerak, pekerja kedai terpaksa mengutip dan menyusun semula, manakala pelanggan melangkah keluar dengan muka masam, hati kecewa dan mulut mengutuk kerajaan.

Di sinilah paradoks besar terbentang. Bantuan yang dirangka untuk membantu golongan terdesak akhirnya menimbulkan lebih banyak kebencian terhadap kerajaan.

Rakyat menuduh kerajaan gagal merancang, kerajaan pula menyalahkan sikap rakyat yang terburu-buru. Hakikatnya, kedua-duanya betul. Kerajaan memang patut menjangka sistem akan diserbu kerana ramai rakyat kini terdesak tetapi rakyat juga harus mengakui bahawa sikap menyerbu bagaikan pesta durian percuma hanyalah mencerminkan ketakutan dan tamak yang sudah lama bersarang.

Lebih ironik, golongan yang paling kuat menghina kerajaan ialah kelompok luar bandar, miskin dan Melayu. Golongan yang sepatutnya menjadi penerima manfaat terbesar. Inilah hakikat pahit, niat baik tidak semestinya diterima baik.

Bantuan yang lahir daripada hasrat murni untuk membantu, akhirnya ditelan balik dengan rasa syak wasangka, sinis dan prejudis.

Mata Helang melihat semua ini sebagai cerminan realiti politik Malaysia. Di negara ini, apa sahaja yang kerajaan beri akan tetap diperlekeh.

Jika diberi tunai, dituduh kerajaan tidak pandai mendidik rakyat berbelanja. Jika diberi dalam bentuk MyKad, dituduh pula kerajaan mahu mengawal dan menyusahkan.

Jika boleh ditebus di semua kedai, kerajaan akan dikatakan gagal menapis barang mewah. Jika dihadkan kepada kedai tertentu, kerajaan dituduh mahu mengkayakan tokeh besar. Serba tak kena.

Namun, jangan salahkan rakyat seratus peratus. Mereka sudah terlalu lama hidup dalam keadaan harga barang yang melambung, gaji yang tidak sepadan dan janji politik yang tidak pernah ditepati.

Bila diberi sedikit bantuan, mereka mahu menikmatinya segera. Bila sistem tergendala, kemarahan mereka meledak. Bantuan yang sepatutnya menjadi simbol perhatian kerajaan, bertukar menjadi bahan ejekan kerana rakyat sudah hilang kepercayaan.

Namun, di sebalik segala kecaman, satu fakta tidak boleh dinafikan iaitu fenomena menyerbu kedai untuk menebus SARA dalam masa beberapa hari membuktikan betapa rakyat kita kini benar-benar terdesak.

Ia bukan semata-mata soal sikap terburu-buru tetapi refleksi kepada perut kosong, dompet nipis dan minda yang tidak lagi percaya ada esok yang lebih baik.

Jika kerajaan benar-benar mahu menjadikan SARA sebagai projek berkesan, pelaksanaannya mesti diperbaiki.

Sistem perlu lebih kukuh, senarai kedai diperluas, barang keperluan diperjelas dan komunikasi dengan rakyat mesti jujur serta telus.

Jangan hanya melaungkan niat murni tetapi gagal di lapangan. Pada masa sama, rakyat juga perlu belajar menerima bantuan dengan lebih matang. Bantuan bukanlah hadiah untuk dipuja atau bahan untuk dicaci, ia adalah sekadar ubat sementara untuk mengurangkan sakit yang lebih besar.

Akhirnya, isu SARA ini bukan sekadar tentang kredit dalam MyKad atau troli ditinggalkan di kaunter. Ia adalah cermin yang menunjukkan siapa kita sebenarnya.

Kerajaan yang kadang-kadang gagal merancang dengan teliti dan rakyat yang terlalu cepat terbakar dengan syak wasangka.

Dalam keadaan begini, tidak hairanlah niat baik pun boleh bertukar menjadi bahan caci.