Mata Helang: TikTok, politik dan ketakutan negara

Kerajaan mahu TikTok memperkenalkan pengesahan umur lebih ketat bagi melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya.

Feature Image (12)

KITA hidup pada zaman pelik. Dulu orang bimbang anak muda melepak di pusat hiburan, kini ibu bapa pening kepala sebab anak mereka melepak di alam maya.

Kalau dahulu masalah remaja ialah ponteng sekolah atau merempit, hari ini masalahnya ialah ketagihan scrolling tanpa henti dan yang paling digeruni kerajaan Malaysia sekarang bukanlah gengster jalanan tetapi TikTok iaitu satu aplikasi yang berjaya menjadikan generasi muda lebih taksub kepada algoritma berbanding kepada khutbah panjang lebar ahli politik.

Maka muncullah seruan terbaru, kerajaan mahu TikTok memperkenalkan pengesahan umur lebih ketat bagi melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya.

Niatnya tampak murni, seolah-olah kerajaan benar-benar bimbang anak-anak kita terdedah kepada buli siber, perjudian haram, pornografi dan propaganda ekstremis ettapi dalam dunia politik Malaysia, setiap niat ‘murni’ itu biasanya ada bau lain yang terselit.

Persoalannya, adakah benar ini semata-mata soal melindungi anak-anak atau sebenarnya melindungi kedudukan ahli politik daripada tsunami pengaruh media sosial?

Tidak dinafikan, TikTok kini lebih berkuasa daripada mana-mana siaran televisyen rasmi. Dalam genggaman anak muda, ia menjadi medan utama untuk menyebarkan maklumat, cerita, hiburan, fitnah, satira, malah propaganda politik.

Parti politik yang bijak memanipulasi algoritma mampu meraih sokongan besar dalam masa singkat. Justeru tidak hairanlah kerajaan tiba-tiba begitu prihatin terhadap isu pengesahan umur. Bayangkan betapa ‘senangnya’ jika pengaruh anak muda boleh dikawal melalui pintu masuk digital.

Ironinya, selama ini ahli politik sendiri tidak segan silu menggunakan TikTok untuk berkempen. Mereka menari, berseloka, berpantun, berlawak jenaka. Semua demi menawan hati pengundi muda tetapi apabila platform yang sama kini lebih dikuasai oleh suara-suara kritikal, tiba-tiba ia dianggap ancaman kepada keselamatan negara. Alangkah selektifnya ‘keselamatan’ ini iaitu aman kalau menguntungkan, bahaya kalau merugikan.

Persoalan besar yang perlu kita tanyakan ialah siapakah sebenarnya yang perlu diselamatkan daripada TikTok?

Kanak-kanak di sekolah rendah yang terpengaruh dengan trend menari? Atau ahli politik dewasa yang tidak mampu berdepan dengan sindiran tajam 30 saat yang lebih pedih daripada ucapan berjam-jam di Parlimen?

Kerajaan berjanji langkah ini bukanlah penapisan politik tetapi untuk melindungi generasi muda tetapi rakyat Malaysia sudah terlalu lama hidup dengan sejarah kawalan maklumat.

Setiap kali kerajaan bercakap tentang ‘perlindungan’, ramai terbayang pada perkataan lain iaitu ‘penapisan’.

Bila buku diharamkan, katanya mahu melindungi akidah. Bila filem dipotong, katanya mahu melindungi moral. Bila media disekat, katanya mahu melindungi kestabilan. Kini bila TikTok mahu dikawal, katanya untuk melindungi kanak-kanak.

Entah mengapa, alasan kerajaan ini selalu kedengaran lebih suci daripada malaikat tetapi kesannya selalu menguntungkan pemerintah, bukan rakyat.

Sementara itu, rakyat biasa pun tidak kurang hipokritnya. Ibu bapa yang kononnya risau anak ketagih TikTok, sebenarnya sendiri leka scroll video resepi, gosip artis dan ceramah politik setiap malam. Kita marah kerajaan kerana mahu mengawal tetapi kita sendiri gagal mengawal rumah tangga.

Anak-anak diberi telefon pintar seawal umur tujuh tahun, kemudian bila mereka hanyut dalam dunia maya, kita salahkan algoritma. Sedangkan algoritma itu hanya cermin kepada kealpaan kita sendiri.

Mata Helang melihat isu ini dari sudut yang lebih luas iaitu pengawalan TikTok hanyalah satu episod kecil dalam peperangan besar antara kuasa politik tradisional dengan kuasa digital generasi muda.

Selama ini, politik Malaysia dikuasai oleh pidato, poster, ceramah dan media arus perdana tetapi TikTok telah merampas gelanggang itu, membuka ruang kepada suara-suara kecil yang berani bersuara tanpa perlu izin pihak berkuasa dan inilah yang paling ditakuti, kebebasan maklumat yang tidak boleh dipantau dengan mudah.

Bila kerajaan mahu TikTok mengesahkan umur, persoalannya bukan sekadar tentang kanak-kanak. Ia tentang akses. Ia tentang siapa yang boleh bercakap, siapa yang boleh mendengar dan siapa yang akhirnya boleh mempengaruhi.

Jika pintu ini dikawal terlalu ketat, maka apa bezanya kita dengan negara yang menggunakan alasan “keselamatan” untuk menyekat suara rakyat?

Tidak salah mahu melindungi kanak-kanak tetapi cara yang dipilih akan menentukan niat sebenar. Kalau benar mahu melindungi, tingkatkan pendidikan digital di sekolah. Latih ibu bapa memahami cara kerja media sosial.

Wujudkan program kesedaran tentang bahaya buli siber, penipuan dalam talian dan kandungan ekstrem tetapi jika yang dipilih hanyalah kawalan dan sekatan, itu bukan perlindungan, itu penapisan.

Akhirnya, pengawalan TikTok ini hanya akan menguji sama ada kerajaan benar-benar mahu menjaga rakyat, atau sekadar menjaga diri.

Bagi rakyat pula, jangan hanya jadi penonton pasif. Jangan terlalu mudah terpedaya dengan naratif ‘perlindungan’ yang manis di bibir tetapi pahit dalam pelaksanaan.

Ini adalah kerana jika satu hari nanti kita dapati TikTok yang dulunya penuh warna sudah bertukar menjadi saluran rasmi penuh propaganda, jangan pula terkejut.

Ia bukan kerana algoritma tetapi kerana kita sendiri yang membiarkan kuasa memilih apa yang boleh kita lihat, apa yang boleh kita dengar dan akhirnya apa yang boleh kita fikir.