Sumber kewangan Islam untuk penguasaan teknologi pertahanan negara
Perang moden tidak lagi terhad kepada jet pejuang mahal tetapi dikuasai oleh teknologi canggih ini, yang lebih dikenali sebagai dron.

INSIDEN serangan Sistem Udara Tanpa Pemandu (UAS) ke atas flotila bantuan kemanusiaan di perairan antarabangsa baru-baru ini adalah amaran jelas kepada semua negara maritim, termasuk Malaysia.
Ia mengesahkan bahawa ancaman perang moden tidak lagi terhad kepada jet pejuang mahal tetapi dikuasai oleh teknologi canggih ini, yang lebih dikenali sebagai dron.
Bagi Malaysia, sebuah negara yang dikelilingi lautan dan berdepan cabaran keselamatan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), insiden ini menuntut kita segera beranjak daripada menjadi pengguna teknologi semata-mata, kepada pengeluar yang berdaulat.
Masa depan pertahanan negara terletak pada penguasaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Robotik dan sistem anti-UAS (C-UAS) tempatan.
Konflik global yang berlaku sejak beberapa tahun lalu telah mengubah doktrin ketenteraan dunia secara radikal. Pesawat tanpa pemandu, terutamanya jenis First-Person View yang murah dan kamikaze iaitu serangan sehala, telah membuktikan keupayaan untuk melumpuhkan aset ketenteraan konvensional bernilai berbilion ringgit yang menjadikan penguasaan teknologi ini sebagai kemestian strategik.
Malaysia, melalui Kertas Putih Pertahanan 2021–2030, menyasarkan transformasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi kuasa masa depan yang tangkas dan berteknologi.
Walaupun perolehan UAV MALE Anka-S dari Turki adalah langkah penting, kebergantungan terhadap teknologi asing mewujudkan kos kedaulatan.
Import berterusan dengan kadar yang tinggi merupakan risiko strategik yang boleh melumpuhkan pertahanan negara sekiranya berlaku sekatan.
Oleh itu, objektif jangka panjang ATM untuk beralih daripada operator kepada pembangun teknologi kritikal ini mesti dilaksanakan segera, dengan menguasai proses rekabentuk, pemasangan dan perisian kawalan penerbangan.
Untuk mencapai kedaulatan teknologi, kita perlu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Anak muda perlu menguasai bidang pemikiran secara komputasional, pengaturcaraan, elektronik dan kemahiran memproses data raya.
Lebih kritikal, mereka mesti menguasai teknologi C-UAS, termasuk sistem pengesahan dan teknik mitigasi bukan kinetik seperti penyekat isyarat (Jammers).
Di samping itu, penguasaan peralatan dan perisian sokongan seperti AI, robotik dan kuantum adalah penting, terutamanya dalam menyokong matlamat negara untuk menjadi Hab Kuantum ASEAN menjelang 2035.
Langkah paling segera yang harus diambil oleh universiti awam dan swasta Malaysia untuk memastikan kurikulum memenuhi permintaan industri pertahanan yang berdaulat ini adalah dengan melaksanakan Program Pentauliahan Bersama (Joint Commissioning Program) dengan Kementerian Pertahanan dan syarikat pertahanan tempatan.
Program ini akan menjamin Kurikulum Berorientasikan Projek Pertahanan yang secara langsung melibatkan pelajar dalam projek R&D ketenteraan sebenar, terutamanya dalam bidang Peperangan Elektronik dan Integrasi Sistem UAS dan C-UAS, membolehkan graduan siap sedia untuk menyumbang kepakaran kepada industri.
Tugas melahirkan saintis pertahanan berteknologi tinggi ini memerlukan pelaburan modal yang besar. Di sinilah instrumen kewangan sosial Islam seperti Zakat dan Waqaf boleh memainkan peranan yang berkesan.
Di bawah kerangka Maqasid Al-Shariah, melindungi keselamatan dan kedaulatan negara (Hifz al-Nafs) adalah tugas agama yang wajib dilaksanakan.
Institusi Zakat di Malaysia boleh dan harus memperluaskan tafsiran golongan Asnaf untuk menaja anak muda yang cemerlang tetapi kurang berkemampuan untuk menyambung pelajaran dalam jurusan teknologi kritikal seperti UAS, AI, C-UAS dan kuantum di peringkat pengajian tinggi.
Ini adalah pelaburan strategik demi keselamatan negara. Sementara itu, waqaf tunai adalah mekanisme terbaik untuk mengumpul modal jangka panjang bagi penubuhan dan kelestarian Pusat Penyelidikan dan Pembangunan R&D strategik seperti Pusat Kecerdasan Kuantum atau makmal UAS dan robotik pertahanan di universiti.
Bagi membina keyakinan warga pembayar zakat, penggunaan teknologi Blockchain dapat meningkatkan ketelusan, kebolehkesanan dan kebertanggungjawaban pengurusan dana Zakat dan Waqaf ini.
Kedaulatan tidak boleh dibeli, ia perlu dibina. Kita telah melihat keupayaan teknologi Iran dan kerentanan yang dihadapi oleh negara yang terlalu bergantung kepada luar.
Penguasaan UAS dan C-UAS bukan lagi pilihan tetapi satu kemestian. Anak-anak muda Malaysia perlu menyahut cabaran ini dengan memilih jurusan yang menjurus kepada teknologi masa depan.
Institusi agama, kerajaan dan industri pertahanan mesti bersatu. Dana zakat dan waqaf perlu diuruskan secara strategik untuk melahirkan jurutera, saintis data dan pakar peperangan elektronik yang mampu membina sistem pertahanan kita sendiri.
Inilah masa untuk memulakan usaha kolektif ini. Dengan memobilisasi modal insan dan kewangan ummah, Malaysia boleh melindungi ruang udara dan lautan kita daripada ancaman kamikaze masa depan, memastikan kedaulatan dan keselamatan kekal di tangan kita sendiri.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
—
Prof. Madya Ir. Dr. Nazrul Anuar Nayan ialah Profesor Madya di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, dan Timbalan Pengarah, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM