Konflik bersenjata Sudan semakin membimbangkan

Tahap kesihatan rakyat Sudan kini berada pada tahap kritikal susulan peningkatan ketara malnutrisi akut.

Feature Image (4)

Oleh: NURULFITRI HIDAYAH MAHADZIR

SUDAN, sebuah negara di timur laut benua Afrika yang kaya dengan hasil galian, kini berada di ambang kehancuran akibat perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.

Kini, negara itu sedang berdepan krisis kemanusian terbesar dunia akibat konflik dalaman antara tentera Sudan, Sudanese Armed Forces (SAF) pimpinan Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) yang diketuai oleh Mohamed Hamdan Dagalo atau Hemedti.

Konflik ini telah melemahkan struktur pentadbiran negara yang telah rapuh dan memberi kesan langsung terhadap sistem kesihatan, rantai makanan dan keselamatan rakyat. Menurut Pengarah Eksekutif UN Women, Sami Bahous, ketidakstabilan politik, krisis kemanusiaan dan kerapuhan sosio ekonomi menjadi faktor utama yang mencetuskan konflik tersebut. 

Kronologi konflik di Sudan

Pergolakan ini bermula daripada gerakan kebangkitan rakyat yang berjaya menjatuhkan pemerintahan Omar al-Bashir pada April 2019, setelah 30 tahun memerintah secara kuku besi sejak 1989. Penyingkiran Omar al-Bashir daripada tampuk pemerintahan, membuka jalan kepada pembentukan Majlis Peralihan Tentera yang melibatkan pihak tentera Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

Namun begitu, tindakan ini telah mendapat tentangan hebat daripada rakyat, khususnya di wilayah Khartoum dan Darfur berikutan tragedi ‘Khartoum Massacre’ pada Jun 2019 yang menyaksikan lebih seratus penunjuk perasaan dibunuh oleh tentera Sudan, Sudanese Armed Forces (SAF). 

Akibat desakan di peringkat antarabangsa, kerajaan interim telah ditubuhkan bagi memulihkan pentadbiran negara menjelang pilihan raya 2023. Namun pada Oktober 2021, Tentera Sudan, Sudanese Armed Forces (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), sekali lagi merampas kuasa dan menubuhkan Majlis Pemerintahan Tentera di bawah Jeneral Abdel Fattah al-Burhan.

Meskipun wujud usaha merangka perjanjian peralihan kuasa baharu pada akhir 2021, konflik besar kembali tercetus pada April 2023 susulan pertikaian mengenai usaha menyatukan Rapid Support Forces (RSF) ke dalam angkatan tentera rasmi Sudan, Sudanese Armed Forces (SAF).

Sejak itu, berlaku pertempuran sengit antara tentera Sudan, Sudanese Armed Forces (SAF) dengan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) terutamanya di wilayah Khartoum dan Darfur. Bahkan, terdapat dakwaan bahawa pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di bawah pimpinan Hemedti, telah menerima sokongan kewangan dan senjata daripada UAE, sekali gus menyukarkan lagi proses perdamaian.

Keadaan terkini rakyat Sudan

Sejak pertikaian itu meletus, gelombang pemindahan penduduk secara paksa dan pelarian rentas sempadan meningkat sehingga melebihi 11.8 juta penduduk, menjadikan Sudan antara krisis perpindahan terbesar dunia. Berdasarkan data yang diperoleh daripada UNHCR setakat 10 November 2025, kebanyakan penduduk melarikan diri ke Sudan Selatan yang kini menampung lebih 1.23 juta pelarian, diikuti Chad, Mesir, Ethiopia dan Libya.

Perpindahan besar-besaran ini berlaku akibat kemusnahan infrastruktur termasuk kediaman penduduk, fasiliti kesihatan serta kemudahan asas akibat serangan udara dan pertempuran tentera di jalanan. Keadaan ini memaksa keluarga, termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas untuk meneruskan perjalanan tanpa jaminan perlindungan, bekalan makanan dan air bersih yang mencukupi.

Hospital dan klinik yang masih beroperasi terpaksa menanggung jumlah pesakit melebihi kapasiti, dengan bekalan ubat yang terhad akibat kemasukan besar-besaran pesakit yang tercedera dan pemusnahan ubat-ubatan oleh pihak musuh. Situasi tersebut secara tidak langsung menggalakkan lagi penularan wabak dan masalah kesihatan lain yang membimbangkan.

Rentetan daripada itu, tahap kesihatan rakyat Sudan kini berada pada tahap kritikal susulan peningkatan ketara malnutrisi akut. Menurut Medecins Sans Frontieres (MSF), di beberapa lokasi seperti Tawila di Darfur Utara mencatatkan sejumlah 9,500 kanak-kanak yang disaring, 35.5 peratus mengalami kekurangan zat akut global (Global Acute Malnutrition) dan 7 peratus daripadanya mengalami kekurangan zat makanan teruk (Severe Acute Malnutrition).

Pada masa sama, Sudan turut berdepan dengan krisis kesihatan ibu dan anak apabila 26 peratus wanita hamil dan menyusu mengalami kekurangan zat makanan akut. Data tersebut menunjukkan bahawa masalah malnutrisi di Sudan bukan sekadar meluas, tetapi berada pada tahap yang mengancam nyawa sekiranya tidak diatasi dengan segera. 

Seterusnya, rakyat Sudan turut berdepan pencabulan hak asasi manusia. Golongan wanita dan kanak-kanak menjadi sasaran penculikan, penyiksaan dan keganasan seksual. Buktinya, sepanjang tahun 2024 di daerah Darfur Selatan, pasukan Medecins Sans Frontieres (MSF) telah merawat seramai 385 mangsa keganasan seksual.

Sebilangan besar mereka merupakan kanak-kanak perempuan yang dirogol ketika melarikan diri dari kawasan pertempuran. Hal ini membuktikan bahawa, wanita dan kanak-kanak bukan sahaja tidak dilindungi malah menjadi sasaran kekejaman militan, manakala, di beberapa wilayah seperti El-Geneina siasatan PBB mendedahkan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) melakukan pembunuhan etnik berskala besar yang meragut hampir 15,000 nyawa.

Kekejaman yang dilakukan termasuk tembakan rambang terhadap orang awam dan petugas kesihatan, pembakaran dan penanaman penduduk secara hidup-hidup, pengeboman serta serangan drone. 

Seruan kepada dunia dan umat Islam

Pengarah Eksekutif UN Women, Sami Bahous menegaskan bahawa krisis di Sudan kini berada pada tahap kritikal dan berpotensi menjadi bencana kemanusiaan sekiranya sokongan antarabangsa semakin berkurang. Justeru, pihak kerajaan perlu segera menyalurkan bantuan dan menyuarakan pendirian tegas berkaitan situasi kemanusiaan di Sudan.

Langkah ini penting bagi menarik perhatian global dan memastikan tindakan sewajarnya segera diambil kerana Analisis Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) menunjukkan bahawa beberapa kawasan di Sudan terutamanya bandar El Fasher telah mencapai fasa 5 iaitu tahap kebuluran paling kritikal di dunia.

Pada masa sama, umat Islam sewajarnya memperkukuh solidariti terhadap rakyat Sudan sebagai manifestasi tanggungjawab sosial dan tuntutan agama, selaras dengan prinsip ukhuwah Islamiyah. Antara usaha lain yang boleh dilakukan termasuk menyumbang kepada badan kemanusiaan yang telus serta memboikot entiti yang terbukti menyokong kekejaman atau menyalurkan bantuan kepada pihak yang menindas.

Oleh itu, setiap bentuk solidariti sama ada di peringkat kerajaan mahupun individu merupakan sebahagian daripada usaha mengembalikan maruah dan keselamatan rakyat Sudan. Sudah tiba masanya dunia terus bersolidariti dan berdiri teguh demi menyelamatkan Sudan.

* Penulis adalah pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.