MAHASIAWA tahun kedua jurusan farmasi di Universiti Malaya, Nadia Natasha Mohd Said, 23, tidak kekok apabila berada di hadapan kamera.
“Ramai juga yang mencadangkan supaya saya bekerja separuh masa sebagai peragawan bagi menambah wang saku, namun minat dan cita-cita saya buat masa ini masih belum terbina ke arah itu,” katanya ketika memulakan perbualan.
Menurut Nadia, percubaan yang paling menghampiri dunia peragaan ialah ketika diberi peluang menjadi duta produk tudung sukan LaSports.
“Walaupun banyak yang saya pelajari mengenai dunia peragaan ketika itu terutamanya mengenai pengenaan gaya di hadapan kamera, tatarias dan jadual seorang model profesional, hati saya masih belum terbuka untuk mencubanya, baik secara separuh atau sepenuh masa,” kata anak kelahiran Johor Bahru ini.
Mengulas lanjut, Nadia sebenarnya hanya ada satu keinginan yang ingin dicapai buat masa ini dan keinginan itu memerlukan komitmen masa yang tinggi.
Keinginan yang dimaksudkan oleh anak ketiga daripada empat adik-beradik ini ialah untuk menjadi seorang ahli usahawan farmasi yang berjaya.
“Komitmen yang diperlukan untuk menggapai cita-cita ini amat tinggi terutamanya dalam membahagikan masa antara tugasan akademik dan kegiatan luar bilik kuliah yang bakal membentuk diri sebagai seorang graduan yang holistik,” jelasnya.
Nadia bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik sejak bangku sekolah, malah turut meneruskan jejak kecemerlangannya di universiti.
Penerima anugerah Pelajar Cemerlang SPM Negeri Johor 2018 dan Tokoh Pelajar SMK Sultan Ismail 2018 ini sehingga kini turut cemerlang di universiti dengan mengekalkan gred purata terkumpul yang tinggi selain aktif dalam pelbagai aktiviti ko-kurikulum.
Dari sukan futsal, program sukarelawan, sehinggalah lakonan teater, Nadia sentiasa mencari ruang mempelajari sesuatu yang baharu dan mencabar dirinya dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Saya memang sukakan cabaran dalam melakukan sesuatu yang baharu, namun saya pastikan yang saya akan berikan yang terbaik.
“Untuk futsal, saya telah mewakili UM sehingga ke pelbagai kejohanan di Sarawak dan Pulau Pinang, manakala untuk lakonan teater saya turut membantu Kolej Kediaman Kedua untuk mendapat tempat dalam Karnival Teater UM,” kata penggemar makanan ayam masak merah ini.
Paling menarik, Nadia telah memulakan satu lagi hobi baru di celah kesibukan jadual hariannya baru-baru ini iaitu mengait.
“Saya hanya mengambil masa kira-kira sebulan untuk mahir mengait dan kini boleh menghasilkan pelbagai jenis produk seperti bekas mekap dan tas tangan,” kata Nadia sambil menunjukkan tas tangan kecil berwarna hijau yang baru sahaja disiapkan untuk dijual secara online di akaun media sosial miliknya.
Jiwa keusahawanan dalam diri sememangnya telah wujud sejak kecil apabila pernah menjual gelang tangan dan tag nama di sekolah rendah dan aiskrim, kek dan tudung di sekolah menengah.
“Tidak keterlaluan jika saya katakan sifat keusahawanan ini saya dapati daripada kedua ibu bapa saya yang sentiasa menyokong usaha saya yang sentiasa mahu melakukan sesuatu yang baru sejak dahulu,” kata Nadia lagi.
Menjadikan Malala Yousafzai, aktivis dari Pakistan yang diangkat penerima Anugerah Nobel termuda, sebagai suri teladannya, Nadia menyeru kepada semua belia untuk menanamkan rasa tidak mudah putus asa apabila berhadapan dengan cabaran dalam melakukan sesuatu perkara.
“Apabila kita sudah menetapkan hala tuju yang ingin dicapai termasuklah apabila mencuba perkara baharu seperti mengait atau berlakon teater, jangan kita sesekali mudah berputus asa apabila dicabar dengan halangan yang menimpa.
“Ini kerana cita-cita itu milik kita, dan kita hanya mengecewakan diri sendiri jika tunduk dengan mudah dengan cabaran yang sentiasa menanti.
“Sifat tidak mudah putus asa ini secara tidak langsung juga mampu menjadi senjata ampuh generasi muda dalam menangani cabaran paling utama dunia digital hari ini iaitu kesejahteraan mental.
“Ditambah dengan kemahiran menguruskan masa dan keinginan untuk menjadi versi diri yang terbaik, saya yakin majoriti Generasi Z seperti saya mampu menjadi penyumbang yang positif kepada masyarakat,” kata Nadia panjang lebar.
Bagi gadis yang bercita-cita untuk mempunyai rangkaian farmasinya sendiri satu hari nanti ini, tiada yang mustahil di dalam hidup.
“Jadikan setiap hari ruang dan peluang untuk mempelajari sesuatu yang baru. Sentiasalah mengintai peluang untuk membentuk diri menjadi orang yang wujud dalam impian dan cita-cita kita dalam setiap yang kita lakukan, hatta apabila kita meluangkan masa untuk hobi kita pada waktu lapang,” katanya di penghujung perbualan.