Bukan sekadar lapar dan dahaga: Ramadan mengukur iman dan kepedulian ummah
Penghinaan terhadap al-Quran bukan sahaja menyentuh emosi, malah menguji sejauh mana kita mempertahankan kesucian agama dengan hikmah.

SABAN tahun bulan Ramadan hadir sebagai bulan tarbiah rohani yang mendidik umat Islam tentang erti sabar, disiplin dan penghambaan diri yang tulus kepada Allah SWT.
Namun, Ramadan tahun 2026 terasa berbeza. Ia hadir dalam suasana dunia yang sedang bergolak, sarat dengan luka dan ujian yang menyentuh sensitiviti akidah umat Islam.
Ketika kita menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenam matahari, saudara-saudara seagama di pelbagai belahan dunia sedang berdepan penderitaan yang jauh lebih berat seperti peperangan, kehilangan tempat tinggal dan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.
Pada masa sama, insiden yang berlaku di negara ini memperlihatkan penghinaan terhadap al-Quran apabila dipijak bukanlah isu terpencil yang boleh dipandang ringan. Sebaliknya, peristiwa ini merupakan cerminan bahawa ummah sedang melalui fasa ujian yang getir. Peristiwa sebegini bukan sahaja menyentuh emosi, malah menguji sejauh mana kita mempertahankan kesucian agama dengan hikmah.
Puasa dan Ujian Kepekaan Iman
Namun, perlu diinsafi bahawa puasa bukanlah ritual kosong yang terhenti pada menahan lapar dan dahaga. Hakikat puasa jauh lebih mendalam. Ia adalah latihan menahan diri daripada maksiat, menjauhi kezaliman dan membuang sikap tidak peduli terhadap penderitaan insan lain.
Oleh itu, Ramadan sebagai bulan mendidik jiwa agar lebih peka dan empati. Jika lapar yang kita rasai setiap hari sekadar berakhir dengan hidangan berbuka tanpa sedikit pun rasa simpati terhadap mereka yang kehilangan tempat tinggal dan ahli keluarga akibat peperangan, maka puasa itu belum mencapai maqasidnya yang sebenar.
Muhasabah dan Tanggungjawab Sosial
Selain itu, Ramadan ialah bulan taubat dan muhasabah diri. Ketika dunia luar terus bergolak dengan konflik dan ketidaktentuan, kita diajak untuk menoleh ke dalam diri untuk menilai kembali hubungan kita dengan Allah SWT dan sesama manusia.

Mungkin kita tidak mampu menghentikan peperangan atau meredakan konflik antarabangsa, namun kita mampu menghentikan kezaliman dalam ruang lingkup kehidupan sendiri sama ada terhadap keluarga, rakan sekerja mahupun masyarakat. Mungkin kita tidak berkuasa menghalang penghinaan terhadap agama, tetapi kita mampu memastikan akhlak dan peribadi kita mencerminkan keindahan Islam yang sebenar serta menjadi teladan yang baik kepada penganut agama lain.
Ramadan juga mengajar bahawa reaksi orang beriman bukanlah menzahirkan kemarahan tanpa arah atau luahan emosi yang melulu. Respons terhadap sesuatu penghinaan atau kezaliman mestilah berlandaskan iman, dipandu oleh doa dan diterjemahkan melalui tindakan yang bermakna.
Kepedulian bukan sekadar terhenti pada perkongsian di media sosial tetapi dizahirkan melalui sumbangan, advokasi yang berhemah serta usaha mendidik masyarakat dengan kefahaman yang benar. Begitu juga solidariti ummah bukan slogan bermusim yang bergema ketika isu hangat, sebaliknya ia adalah manifestasi akidah yang mengikat hati-hati orang beriman dalam satu kesatuan yang utuh.
Solidariti Ummah dan Kembali kepada al-Quran
Bulan Ramadan menuntut kita kembali kepada al-Quran. Ia bukan sekadar dibaca untuk dikhatamkan tetapi difahami, ditadabbur dan dihayati mesejnya dalam kehidupan seharian. Ketika al-Quran dihina, jawapan terbaik bukan sekadar kecaman yang bersifat emosional tetapi memperkukuh hubungan kita dengan kitab suci tersebut.
Oleh itu, bacalah dengan penghayatan, ajarkan kepada anak-anak dengan penuh cinta dan jadikan ia panduan dalam membuat keputusan serta membentuk akhlak. Dengan cara itu, kita membuktikan bahawa al-Quran tidak pernah terhina selagi ia dimuliakan dan ditegakkan dalam hati serta amalan orang beriman.
Sempena buan Ramadan yang mulia ini, ambillah kesempatan untuk memburu waktu-waktu mustajab doa ketika berbuka puasa, di sepertiga malam dan pada malam-malam terakhir yang penuh keberkatan. Allah SWT sendiri menjanjikan, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan bagi kamu.” (Surah Ghafir: 60).
Ketika kita mengangkat tangan memohon keampunan dan rahmat, sertakan juga doa buat saudara-saudara kita di Gaza, Rafah, Iran dan di mana sahaja mereka diuji. Jangan biarkan doa kita terhenti pada keperluan peribadi semata-mata.
Namun, doa tanpa muhasabah tidak akan membuahkan perubahan menyeluruh. Bulan Ramadan hakikatnya adalah medan untuk mengukur tahap iman dan ketakwaan. Persoalannya, adakah hati kita masih hidup dengan empati? Atau hati kita semakin kebal akibat terlalu lama menyaksikan penderitaan tanpa tindakan?
Rasulullah SAW mengingatkan bahawa perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi adalah seumpama satu tubuh (Hadith Riwayat Muslim: 2585).
Apabila satu anggota sakit, seluruh tubuh turut merasainya. Hadis ini bukan sekadar ungkapan indah, tetapi prinsip asas solidariti akidah.
Justeru, keimanan yang hidup pasti melahirkan rasa tanggungjawab, menolak sikap individualistik dan mengangkat kesedaran bahawa kita terikat dalam satu ikatan akidah yang tidak pernah terpisah oleh sempadan geografi atau perbezaan bangsa.
Ramadan dan Tanggungjawab Kita
Kesimpulannya, Ramadan kali ini mengingatkan kita bahawa iman tidak boleh dipisahkan daripada kepedulian sosial. Dunia mungkin semakin gelap dengan konflik dan penghinaan terhadap agama. Namun, Ramadan hadir sebagai cahaya yang tidak pernah padam.
Ia mengingatkan kita bahawa perubahan bermula dari hati. Jika setiap Muslim menjadikan Ramadan sebagai titik tolak taubat, memperbanyak doa dan meningkatkan kepedulian terhadap isu ummah, maka cahaya iman itu akan menyinar walau dalam suasana paling mencabar sekalipun.
Maka, Ramadan kali ini bukan sekadar tentang menahan lapar dan dahaga. Ia tentang menilai semula kedudukan iman kita. Ia tentang sejauh mana kita cakna terhadap isu yang berlegar dan sejauh mana kita kembali kepada Tuhan dengan penuh keinsafan.
Dalam dunia yang sarat ujian, hanya hati yang bercahaya dengan iman mampu menjadi benteng dan harapan buat ummah.

