Jangan tunggu ambulans!
Universiti Malaya melalui Inisiatif MyResQ mengambil langkah proaktif memperkasa masyarakat dengan kemahiran pertolongan cemas asas.
Oleh: ANIS SOFIAH ZOLKHARNAIN, DR MOHD HAFYZUDDIN MD YUSUF
BAYANGKAN seseorang rebah di hadapan anda, di masjid, di pasar raya, di lapangan terbang atau di padang sukan. Nafasnya terhenti. Nadinya tiada. Orang ramai mula panik. Ada yang merakam, ada yang menjerit tetapi tiada siapa berani menyentuh mangsa.
Dalam situasi serangan jantung di luar hospital (Out-of-Hospital Cardiac Arrest, OHCA), masa bukan sekadar penting, malah masa adalah penentu hidup dan mati.
Setiap minit tanpa CPR dan defibrilasi mengurangkan peluang mangsa untuk hidup sebanyak 10 hingga 12 peratus. Selepas empat hingga lima minit tanpa bantuan, risiko kerosakan otak meningkat dengan ketara. Sebaliknya, jika CPR dan defibrilasi diberikan dalam tiga hingga lima minit pertama, peluang mangsa untuk hidup boleh meningkat sehingga 50 hingga 70 peratus.
Namun hakikatnya di Malaysia, jurang tindak balas awam masih besar. Kajian di Melaka pada 2019 menunjukkan daripada 1,780 kes OHCA, hanya dua mangsa menerima CPR daripada orang awam atau bersamaan 0.11 peratus.
Kami pernah menyaksikan kes di mana mangsa tiba di jabatan kecemasan tanpa bantuan awal. Pada ketika itu, walaupun seluruh pasukan perubatan berusaha sedaya upaya, detik emas telah berlalu.
Kami juga sering ditanya oleh orang awam, “Bagaimana jika saya buat salah?” atau “Bagaimana jika saya takut menyentuh mangsa?” Ketakutan inilah yang menjadi musuh sebenar kerana kita bukanlah kekurangan ambulans. Kita kekurangan keyakinan.
Atas kesedaran inilah, Universiti Malaya melalui Inisiatif MyResQ mengambil langkah proaktif memperkasa masyarakat dengan kemahiran pertolongan cemas asas.
Inisiatif ini dibiayai oleh Yayasan Inovasi Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta disokong oleh UMCares. Usaha ini turut disokong oleh Dr. Mohd. Afiq Mohd Nor, pengasas bersama aplikasi MyResQ dan Yang Dipertua Ikram Health, bersama Pakar Perubatan Kecemasan di KPJ Tawakal, Dr. Mohammad Aizuddin Azizah Ariffiin.
Matlamatnya jelas iaitu melahirkan lebih ramai penyelamat komuniti berdaftar serta memperluas pendaftaran lokasi AED dalam sistem yang mudah diakses orang awam.
Pada 7 Februari 2026, latihan CPR dan penggunaan AED terbaru telah dilaksanakan di DUN Sepang. Program ini menyaksikan penyertaan masyarakat setempat daripada pelbagai latar belakang.
Apa yang kami lihat amat menginspirasikan. Peserta bukan sahaja belajar teori tetapi mempraktikkan sendiri tekanan dada pada patung latihan, mempelajari teknik Heimlich, CPR dewasa dan bayi, serta cara menggunakan AED dengan yakin.
Pada akhir sesi, ramai yang menyatakan mereka lebih bersedia untuk membantu ketika kecemasan jantung. Itulah perubahan yang kita mahukan.
MyResQ bukan sekadar latihan fizikal. Ia turut diperkasa dengan aplikasi mudah alih yang membina komuniti penyelamat berhubung secara digital.
Melalui aplikasi MyResQ, pengguna boleh menghantar notifikasi kecemasan kepada penyelamat berdekatan, menghubungi talian 999 dengan segera, mengenal pasti lokasi AED berhampiran dan mengakses latihan asas CPR secara dalam talian.
Teknologi ini menjadikan setiap individu berpotensi menjadi penyelamat pertama sebelum ambulans tiba.
Dalam banyak kes OHCA, penyelamat sebenar bukannya seorang doktor. Ia adalah orang awam yang berada paling hampir.
Kami sentiasa menekankan satu prinsip mudah yang boleh diingati semua iaitu 5P (pastikan selamat, periksa tahap kesedaran, panggil 999/ bantuan, perhatikan pernafasan dan ‘press now’).
Langkah-langkah ini tidak memerlukan ijazah perubatan. Ia memerlukan keberanian dan latihan asas.
Tanggungjawab kita semua
Kita sering berkata, “Saya bukan doktor.” Tetapi dalam situasi kecemasan, anda mungkin satu-satunya harapan mangsa.
Negara-negara dengan kadar CPR awam yang tinggi menunjukkan kadar kelangsungan hidup yang jauh lebih baik. Malaysia mampu mencapai tahap itu, jika kita memilih untuk bertindak.
Inisiatif MyResQ hanyalah permulaan. Matlamat kami ialah melihat setiap DUN, setiap sekolah, setiap masjid dan setiap kawasan perumahan mempunyai komuniti yang terlatih dan yakin.
Kerana pada akhirnya, ambulans mungkin mengambil masa beberapa minit untuk tiba tetapi anda berada di situ dalam beberapa saat.
Nyawa mereka mungkin benar-benar berada di tangan anda dan persoalannya bukan lagi, “Bolehkah saya membantu?” tetapi, “Adakah saya bersedia apabila saat itu tiba?”
* Anis Sofiah Zolkharnain ialah Pelajar Perubatan Tahun 3 di Universiti Malaya dan Dr. Mohd. Hafyzuddin Md. Yusuf ialah Ketua Projek MyResQ serta Pensyarah Perubatan di Universiti Malaya.

