Eksplorasi pengalaman menyentuh hati, kata puitis iklan raya
Pelbagai naratif dititipkan dengan gaya persembahan yang terpapar mendasari kreativiti penyampaian melalui audio visual.

SABAN tahun apabila menjelmanya Ramadan maka kita dengan mudah akan dapat melihat pelbagai genre video iklan hari raya yang berkisarkan tentang ketulusan dan keberkatan terutamanya tatkala Ramadan semakin melabuhkan tirainya.
Keadaan ini akan bertambah rancak apabila rata-rata syarikat dan organisasi tempatan kelihatan turut serta untuk memeriahkan suasana dengan penerbitan video iklan raya yang menandakan kemuncak kejayaan Ramadan.
Sesuatu yang sangat mewarnai suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri. Sehinggakan berdasarkan pengalaman peribadi, antara topik perbualan yang terungkap ketika berkunjung ke rumah taulan juga menjurus kepada keunikan yang dijelmakan dalam persembahan video iklan raya dalam menyantuni masyarakat.
Pelbagai naratif dititipkan dengan gaya persembahan yang terpapar mendasari kreativiti penyampaian melalui audio visual.
Video iklan raya yang dihasilkan bukan sekadar sebuah cerita tentang amalan ibadah puasa atau sambutan hari raya tetapi sebuah eksplorasi mendalam dalam mencipta banyak persoalan berkaitan kehidupan yang mencabar masyarakat untuk memikirkan semula mesej yang cuba disampaikan.
Naratif penceritaan kebiasaannya menggabungjalinkan antara emosi dan selirat pengkisahan yang biasa berlaku namun kekuatan struktur naratif yang mempunyai permulaan, pertengahan dan pengakhiran yang memperlihatkan kematangan mesej yang disampaikan. Lebih menarik perhatian adalah apabila banyak persoalan diungkap yang bersesuaian dengan latar kehidupan semasa masyarakat.
Tidak hanya tertakluk dengan suasana sambutan perayaan tetapi banyak pembinaan naratif penceritaan diolah bagi menimbulkan kesedaran dan keinsafan tentang perjalanan hidup insan yang seringkali dibelenggu dengan permasalahan dan konflik dalam mendepani kehidupan.
Walau pun dengan persembahan berdurasi pendek namun natijahnya mesej nasihat dan peringatan sewajarnya tetap sampai ke sanubari jika ditonton dengan hati yang terbuka.
Bersinonim dengan aktiviti bermaafan sempena hari raya, kebanyakan naratif dibentuk bersesuaian dengan konsep kembali kepada fitrah manusia yang tak lekang dengan kesilapan. Ini bermaksud mesej memperbetulkan kesilapan lalu diterapkan agar terdetik dihati setiap insan yang menonton untuk merenungkan kembali perjalanana hidup mereka seandainya mempunyai persamaan atau pengalaman yang serupa.
Lebih murni apabila setiap satunya diberikan penyelesaian dengan cara yang sebetulnya iaitu kesepaduan jiwa demi mengeratkan sebuah ikatan silaturrahim, jalinan persahabatan, kemesraan kejiranan, penyatuan masyarakat dan juga membawa harapan baharu dalam kehidupan yang bakal ditempuh bersama.
Persoalan siapa salah dan siapa betul tiada kewajarannya lagi seandainya kesefahaman antara dua pihak yang bersengketa dapat dikendurkan melalui sikap saling bermaafan sempena sambutan hari raya melalui mesej yang dibawa. Sudah tentu bahawa segala keadaan adalah bergantung dengan pilihan manusia itu sendiri samada mahu menyelesaikannya dengan cara yang sebaiknya ataupun sebaliknya.
Namun yang pasti, melalui iklan raya ini tanggungjawab sosial telah dijalankan dengan baik dalam mengangkat kehidupan yang lebih bermakna melalui mesej yang ditekankan.
Bukan suatu rahsia jika dikatakan bahawa kekuatan sandaran iklan raya ini bukan hanya terletak pada naratif semata tetapi lirik-lirik puitis yang menghidangkan seni pengucapan yang cukup simbolik dalam menterjemahkan mesej yang dibawa. Melalui kata-kata ungkapan yang puitis mampu membawa masyarakat berfikir untuk benar-benar memahami konteks yang cuba dijalinkan dengan hakikat sebuah realiti kehidupan.
Kata-kata puitis mampu membuka pengalaman individu supaya lebih dekat dengan kehidupan malah terus membawa pemikiran mereka untuk mengembara sebentar dan menyelami selok belok situasi yang digambarkan sehingga membentuk kefahaman yang harmoni.
Segala konflik yang dititipkan dalam iklan raya seringkali diakhiri dengan pesanan yang sangat berkesan terutama pemilihan deretan perkataan yang membentuk ayat yang sungguh puitis dan membawa makna yang mendalam terutamanya di akhir iklan. Kata-kata puitis yang menyerlahkan eksprsesi pemikiran, imaginasi, emosi dan ketulusan yang padat serta disusuli dengan penuh makna untuk menimbulkan kesan yang maksima kepada penonton.
Penonton akan membuat pertimbangan yang pantas dalam mendalami maksud tersirat dan tersurat yang dilontarkan melaluinya. Kesedaran mampu hadir tatkala ianya direnung sebagai nasihat yang kemudiannya membolehkan penonton untuk beradaptasi dengan galur emosi mahupun perubahan tingkah laku. Setiap kata puitis yang diterapkan dalam iklan raya terkandung nasihat berupa pengajaran kepada penonton untuk dijadikan ikhtibar kepada masyarakat.
Di sisi lain, iklan raya dilihat berjaya menonjolkan keteguhan nilai tradisional yang mencetuskan persoalan tentang keseimbangan antara tradisi dan kemodenan. Nostalgia yang dibawa tentang suasana sambutan dahulu dan kini amat berkesan untuk tatapan pengalaman penonton.
Dengan gabungan elemen audio visual dan naratif yang baik, iklan raya boleh menjadi alat efektif dalam menghidupkan semula suasana perayaan dalam menimbulkan detik-detik kenangan dahulu agar ianya tidak luput ditelan masa terutamanya dikalangan generasi muda.
Seperti contoh naratif tentang menyiapkan hidangan raya seperti lemang, dodol, ketupat dan lain-lain makanan tradisional yang membawa gambaran semangat kerjasama antara ahli keluarga dalam menyantuni suasana.
Begitu juga dengan aktiviti persiapan menghias rumah yang mengalunkan keakraban dan persefahaman melalui penglibatan adik beradik dalam menterjemahkan hasrat hati si ibu. Dan pelbagai lagi aktiviti tradisi persiapan menjelang hari raya yang boleh diadun dengan kehidupan masa kini.
Keseimbangan antara unsur tradisi dan moden tampak memberikan hasil kreatif yang lebih mendalam dan penuh makna. Kolaborasi keduanya mampu untuk menyesuaikan mesej mengikut cita rasa dan kecenderungan penonton yang berbeza-beza sifatnya.
Tambahan pula, iklan raya dirasakan mampu menimbulkan kesan yang baik melalui penggunaan perkataan, frasa, ayat mahupun simbol yang dibawa melalui jalinan naratif penceritaan melalui penghuraian yang dapat dijadikan pengajaran kepada masyarakat.
Malah, iklan raya seringkali disambut positif penghasilannya dan memberikan harapan yang menjanjikan bahawa jika ia dikelola dengan baik, pasti berjaya mewujudkan suasana baharu dalam pembangunan industri kreatif Malaysia.
Kesimpulannya, melalui iklan raya dapat memberi peluang kepada penonton untuk memahami dan menghargai warisan tatkala sambutan hari raya. Warisan yang harus dipegang dan diamati setulus hati dari segi kepentingan adat, kehalusan bahasa, nilai-nilai terpuji dan keunikan budaya Melayu serta konsep kekeluargaan yang utuh.
Semoga mesej hari raya ini dapat menghubungkan pengalaman penonton iaitu berlatarkan kehidupan mereka sendiri dengan karya yang dihasilkan agar membawa manfaat yang dicitakan.
Iklan raya bukan sahaja satu persembahan berbentuk hiburan malah suatu eksplorasi pengalaman yang menyentuh hati dengan membawa makna yang puitis yang menyambung antara generasi muda dengan warisan budaya terutamanya dalam mengungkap perihal sambutan hari raya.

