Perkukuh strategi pelaburan TH dalam era ketidaktentuan global

Tabung Haji bukan sekadar institusi simpanan tetapi sebuah organisasi pelaburan yang matang dan berdaya saing.

Feature Image

PENGUMUMAN terkini oleh Lembaga Tabung Haji (TH) mengenai agihan keuntungan sebanyak 3.50 peratus bagi tahun kewangan 2025, yang merupakan kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun jelas mencerminkan kestabilan berterusan institusi ini dalam landskap kewangan Islam negara.

Lebih signifikan, agihan berjumlah RM3.22 bilion itu memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit, sekali gus boleh mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap Tabung Haji sebagai institusi simpanan yang stabil dan berdaya tahan.

Prestasi ini bukan sekadar angka. Ia merupakan manifestasi kepada keberkesanan strategi pengurusan kewangan yang berdisiplin dan berhemat. Peningkatan kadar agihan daripada 3.25 peratus pada tahun 2024 kepada 3.50 peratus pada tahun 2025 menunjukkan trajektori pertumbuhan yang konsisten, walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Pada masa sama, jumlah pendapatan pelaburan turut meningkat kepada RM4.64 bilion manakala aset pelaburan berkembang kepada RM96.37 bilion, menandakan pengukuhan asas kewangan institusi ini. Lebih penting, kejayaan ini disokong oleh pendekatan pengurusan yang sistematik melalui kerangka Alokasi Aset Strategik (SAA), yang memastikan keseimbangan antara pulangan dan risiko.

Pengurusan kos yang berdisiplin serta kawal selia yang berdisiplin terhadap pengurus dana dalaman dan luaran turut menjadi faktor kritikal yang menyumbang kepada prestasi memberangsangkan ini. Ini sekali gus memperlihatkan bahawa Tabung Haji bukan sekadar institusi simpanan tetapi sebuah organisasi pelaburan yang matang dan berdaya saing.

Keunikan Tabung Haji terletak pada model operasinya yang holistik iaitu menggabungkan fungsi simpanan, pelaburan, pembayaran zakat, dan pengurusan ibadah haji dalam satu ekosistem yang bersepadu. Pendeposit bukan sahaja menyimpan dana tetapi turut menikmati manfaat daripada pulangan pelaburan, pembayaran zakat secara automatik, serta kemudahan pengurusan haji yang tersusun.

Sehingga kini, lebih 1.5 juta umat Islam Malaysia telah dibantu menunaikan ibadah haji melalui Tabung Haji, mencerminkan peranan sosialnya yang amat signifikan. Selain itu, sumbangan Tabung Haji dalam aspek kebajikan turut tidak boleh dipandang remeh. Melalui Program Zakat Wakalah, bantuan telah disalurkan kepada lebih 726,000 asnaf pada tahun 2025, menjadikan jumlah penerima melebihi 2.9 juta dalam tempoh sedekad.

Ini menunjukkan bahawa keuntungan yang dijana bukan sahaja memberi pulangan kepada pendeposit tetapi turut diagihkan semula kepada masyarakat, selari dengan prinsip maqasid syariah.

Dari perspektif tadbir urus, agihan keuntungan ini dilaksanakan selaras dengan peruntukan Akta Tabung Haji 1995 dan selepas melalui proses audit oleh Jabatan Audit Negara. Ini memperkukuh lagi aspek ketelusan dan akauntabiliti, yang merupakan elemen kritikal dalam memastikan keyakinan berterusan pendeposit. Malah, jumlah agihan kumulatif sebanyak RM49 bilion sejak penubuhan menunjukkan rekod prestasi yang konsisten dalam jangka panjang.

Dalam era digital, Tabung Haji juga tidak ketinggalan dalam meningkatkan akses dan kemudahan kepada pendeposit melalui platform seperti THiJARI, di samping kerjasama strategik dengan institusi kewangan seperti Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank Islamic. Pendigitalan ini penting dalam memastikan relevansi Tabung Haji dalam kalangan generasi muda serta memperluas inklusi kewangan Islam.

Seiring dengan itu, susulan kelancaran dan keberkesanan proses tawaran Haji bagi musim 1447H/2026M, TH turut mengumumkan komitmen baharu melalui program persiapan Haji #menujuistitoah iaitu satu inisiatif pendidikan dan penglibatan digital berskala nasional. Program ini bukan sahaja membantu membimbing pendeposit dari segi kewangan dan persediaan ibadah, malah menyemarakkan kesedaran dan kesiapsiagaan lebih awal dalam kalangan masyarakat untuk menunaikan Haji.

Pendekatan ini mencerminkan anjakan peranan Tabung Haji daripada sekadar institusi simpanan kepada platform pembangunan ummah yang lebih menyeluruh dengan mengintegrasikan teknologi, literasi kewangan dan persediaan spiritual dalam satu ekosistem yang holistik.

Secara keseluruhannya, prestasi kewangan yang kukuh, tadbir urus yang diperkasa serta peranan sosial yang luas membuktikan bahawa Tabung Haji terus memainkan peranan strategik sebagai institusi simpanan Islam yang penting di Malaysia. Lebih penting, keseluruhan kerangka ini perlu berpaksikan kepada prinsip maqasid syariah, yang menekankan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Dalam hal ini, Tabung Haji memainkan peranan unik bukan sahaja sebagai institusi kewangan tetapi sebagai amanah umat yang mengurus simpanan bagi tujuan ibadah. Oleh itu, setiap keputusan pelaburan, pengagihan keuntungan dan program sosial perlu dilihat dalam kerangka mencapai kesejahteraan dan bukan sekadar pulangan kewangan tetapi juga nilai keberkatan, keadilan dan kemampanan.,

Namun demikian, ketidaktentuan geopolitik global, khususnya ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran, kini menjadi pemacu utama risiko pasaran kewangan. Konflik ini telah mencetuskan kejutan harga minyak yang ketara, dengan harga minyak melepasi paras USD100 setong akibat kebimbangan gangguan bekalan melalui Selat Hormuz iaitu laluan strategik yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak global. Risiko sekatan atau gangguan laluan ini bukan sahaja meningkatkan kos tenaga, malah mendorong tekanan inflasi global serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Pada masa sama, pasaran saham serantau termasuk Asia-Pasifik berdepan volatiliti yang lebih tinggi berikutan sentimen pelabur yang semakin berhati-hati. Lebih membimbangkan, lonjakan harga komoditi ini berpotensi mengekang pelonggaran dasar monetari, dengan bank pusat seperti Rizab Persekutuan (Fed) dijangka menangguhkan atau mengurangkan kadar pemotongan kadar faedah bagi mengekang inflasi. Gabungan faktor ini boleh membawa kepada tekanan permintaan global (demand destruction), sekali gus mewujudkan persekitaran pelaburan yang lebih mencabar dan tidak menentu.,

Dalam menghadapi persekitaran pasaran yang semakin kompleks, institusi berorientasikan jangka panjang seperti Lembaga Tabung Haji perlu memperkukuh strategi pelaburan yang berteraskan ketahanan dan kepelbagaian. Selain memberi tumpuan kepada sekuriti berkualiti tinggi dengan asas kukuh seperti aliran tunai stabil dan tahap hutang terkawal, pendekatan pelaburan juga perlu lebih selektif dengan mengenal pasti syarikat yang mempunyai asas fundamental yang sihat termasuk tahap hutang yang terkawal, potensi pertumbuhan yang tinggi, barisan pengurusan yang kukuh serta rekod prestasi kewangan yang terbukti.

Pendekatan berasaskan fundamental ini amat penting dalam memastikan pelaburan bukan sahaja berdaya tahan dalam jangka pendek tetapi juga mampu menjana nilai dalam jangka panjang, khususnya dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu.

Pada masa sama, strategi pelaburan wajar mengambil kira tema pertumbuhan global yang semakin dominan. Dalam konteks ini, pasaran ekuiti masih menawarkan prospek yang konstruktif, khususnya dalam sektor berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan (cloud computing), keselamatan siber dan tenaga bersih, yang dijangka terus mendapat sokongan permintaan jangka panjang.

Di samping itu, kestabilan sebenar portfolio pelaburan tidak hanya terletak pada pemilihan sekuriti tetapi juga pada disiplin dalam alokasi aset. Dalam hal ini, Tabung Haji perlu memastikan struktur aset alokasi strategiknya kekal seimbang dan berdaya tahan dengan mengekalkan pendedahan yang optimum kepada kelas aset utama seperti pendapatan tetap, ekuiti, pasaran persendirian dan hartanah.

Pada masa sama, penekanan terhadap pelaburan kepada sektor defensif seperti kesihatan dan barangan keperluan asas perlu diperkukuh bagi mengurangkan kesan volatiliti pasaran, terutamanya dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global semasa.

Gabungan strategik antara aset pertumbuhan dan defensif ini disokong oleh disiplin alokasi aset serta integrasi prinsip Environment Social Governance (ESG) dan maqasid syariah akan memastikan kestabilan portfolio merentas kitaran ekonomi yang mencabar.