Belia perlu tabayyun bila memilih dalam pilihan raya kelak
Semua orang kini mempunyai peluang untuk bersuara, menyampaikan pandangan dan mengkritik tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada media tradisional.
Oleh: MUHAMAD AZAMUDDIN MOHAMAD ALI
MENJELANG mana-mana pilihan raya, media sosial menjadi tumpuan utama masyarakat mendapatkan maklumat politik. Dalam tempoh beberapa saat sahaja, video, poster kempen, tangkap layar dan pelbagai kenyataan mampu tersebar kepada jutaan pengguna.
Ada yang sahih, ada yang mengelirukan dan tidak kurang juga yang disebarkan tanpa konteks yang lengkap. Hakikatnya, hampir setiap hari kita berdepan situasi menerima pelbagai maklumat sebelum sempat mengetahui sama ada ia benar atau sebaliknya.
Dalam dunia maklumat yang bergerak terlalu pantas, persoalan utama ialah bagaimana kita menjadi insan yang cermat menilai kesahihan berita dan bukan tentang siapa yang paling cepat menerima berita.
Dalam Islam, keperluan ini diterjemahkan melalui konsep tabayyun, iaitu menyemak dan memastikan kesahihan sesuatu berita sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
Jika ditelusuri, penyebaran khabar angin dan fitnah pada masa lalu berlaku dalam ruang yang lebih terhad dan mengambil masa yang lebih panjang untuk sampai kepada orang ramai.
Hari ini, perkembangan komunikasi digital seperti WhatsApp, Facebook, TikTok, Instagram dan X telah mengubah landskap tersebut secara drastik. Dengan hanya satu klik pada butang “kongsi”, sesuatu maklumat sama ada benar atau sebaliknya boleh menjangkau ribuan pengguna dalam tempoh yang singkat.
Tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan media sosial telah membuka ruang demokrasi yang lebih luas kepada masyarakat. Semua orang kini mempunyai peluang untuk bersuara, menyampaikan pandangan dan mengkritik tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada media tradisional. Namun persoalannya, adakah kepantasan menerima maklumat itu turut diiringi dengan kematangan dalam menilai kesahihannya?
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar penggunaan internet di Malaysia mencapai 98.3 peratus, manakala hampir keseluruhan pengguna internet mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun media sosial.
Pada masa yang sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaporkan bahawa rakyat Malaysia merupakan antara pengguna media sosial paling aktif di rantau Asia Pasifik. Statistik ini menunjukkan bahawa media sosial hari ini tidak terhad menjadi sekadar ruang hiburan tetapi telah menjadi medan utama masyarakat membentuk pandangan terhadap segenap isu sosial dan politik.
Cuba perhatikan bagaimana kita menggunakan media sosial. Kadangkala hanya satu klip pendek yang memaparkan seorang ahli politik tersasul ketika berucap sudah cukup untuk menjadi tular dan dikongsi ribuan kali.
Sebaliknya, apabila penjelasan penuh konteks yang sebenar diberikan, sering kali kurang mendapat perhatian kerana memerlukan masa untuk diteliti. Akibatnya, ramai membentuk tanggapan berdasarkan sebahagian maklumat tanpa melihat gambaran yang lebih menyeluruh.
Sebab itu, setiap kali pilihan raya berlangsung, media sosial bukan sahaja menjadi saluran penyebaran maklumat, malah turut berperanan membentuk persepsi pengundi terhadap calon, parti dan isu yang diperdebatkan.
Potongan video yang dipisahkan daripada konteks asal, gambar lama yang dikitar semula, penggunaan teknologi AI seperti deepfake serta maklumat yang disampaikan secara terpilih mampu mempengaruhi tanggapan masyarakat sebelum keseluruhan fakta dan konteks sesuatu isu dapat difahami dengan jelas.
Dalam suasana seperti inilah konsep tabayyun menjadi sangat penting.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.
Tanpa menjadikan tabayyun sebagai prinsip dalam kehidupan seharian, kita akan lebih mudah dipengaruhi oleh pihak yang gemar menyebarkan fitnah dan adu domba. Akibatnya, perbezaan pandangan yang sepatutnya diraikan dalam sebuah demokrasi boleh bertukar menjadi permusuhan, silaturahim menjadi renggang dan kepercayaan sesama masyarakat semakin terhakis.
Dalam konteks pilihan raya, tabayyun bukan bermaksud seseorang perlu menangguhkan pendirian politiknya. Sebaliknya, ia menuntut agar pengundi membuat keputusan berdasarkan maklumat yang sahih, memahami konteks sesuatu isu dan menilai dasar serta rekod calon secara adil. Demokrasi yang sihat memerlukan pengundi yang bermaklumat, bukan semata-mata pengundi yang dipengaruhi oleh emosi semasa.
Dalam keghairahan berkempen, kita juga perlu sentiasa berwaspada agar tidak melampaui batas. Berpolitik tidak seharusnya menghalalkan penyebaran fitnah, kebencian atau tuduhan yang tidak berasas. Perbezaan pendapat adalah lumrah, namun ia mesti diurus dengan adab dan fakta. Jangan sampai semangat mempertahankan parti atau tokoh tertentu menjerumuskan kita kepada dosa yang akhirnya merugikan diri sendiri, masyarakat dan masa depan negara.
Tabayyun juga bukan hanya menentukan sama ada sesuatu berita itu benar atau salah. Ia juga memerlukan kesabaran dalam membuat kesimpulan dan kesediaan melihat sesuatu isu secara menyeluruh. Kadangkala sesuatu maklumat mungkin benar tetapi disampaikan tanpa konteks yang lengkap sehingga menimbulkan salah faham dalam masyarakat.
Sebelum menekan butang “kongsi”, kita perlu membiasakan diri dengan sikap menyemak sumber asal. Budaya menyebarkan maklumat tanpa semakan bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah boleh membuka ruang kepada fitnah dan pendedahan aib yang dilarang dalam Islam. Dalam keghairahan mempertahankan pendirian politik, adakalanya manusia lebih sibuk mencari kelemahan pihak lain berbanding mencari kebenaran itu sendiri.
Dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” Riwayat al-Tirmizi (2032).
Kita memerlukan kompas untuk membezakan arah yang benar daripada yang mengelirukan. Di tengah lautan maklumat digital yang bergelora, tabayyun menjadi pedoman agar setiap langkah dipandu oleh fakta bukan semata-mata emosi.
Menjelang pilihan raya, setiap undi mempunyai nilai yang besar, namun setiap maklumat yang diterima sebelum mengundi juga mempunyai pengaruh yang tidak kurang pentingnya. Jika demokrasi memerlukan rakyat yang bijak memilih pemimpin, maka tabayyun ialah asas yang membantu rakyat membuat pilihan secara adil dan bertanggungjawab.
* Penulis merupakan mahasiswa Tahun Akhir Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

