Menelusuri makna kemerdekaan dalam era AI

Kemerdekaan era AI bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi keupayaan manusia menggunakan teknologi tanpa kehilangan autonomi, nilai kemanusiaan dan pertimbangan moral.

Feature Image (5)

SUASANA kemeriahan sambutan memperingati Hari Kemerdekaan masih terasa. Seperti kebiasaan, kita mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu patriotik dan mengenang pengorbanan generasi terdahulu yang membebaskan negara daripada penjajahan. Namun, selepas 69 tahun merdeka, masihkah makna kemerdekaan ini adalah sama?

Makna kemerdekaan 1957 lebih cenderung kepada pembebasan daripada penjajahan fizikal dan politik. Kita mahu menentukan sendiri masa depan negara, tanpa kuasa asing menentukan hala tuju kita. Tetapi kini dunia telah berubah. Penjajahan bentuk baharu hari ini tidak semestinya hadir dalam bentuk tentera, senjata atau penguasaan negara.

Ia boleh hadir melalui idea, sistem, ekonomi, teknologi, maklumat dan cara kita berfikir. Melihat perkembangan pesat hari ini, satu lagi bentuk kuasa sedang berkembang dengan begitu pantas, iaitu melalui teknologi kecerdasan buatan (AI).

Penggunaan teknologi AI sudah berleluasa. Kita menggunakan AI untuk menulis, menterjemah, mencari maklumat, menghasilkan gambar, menganalisis data dan membuat keputusan. Pelajar menggunakannya untuk memahami pelajaran dan menyiapkan tugasan. Pekerja menggunakannya untuk meningkatkan produktiviti.

Perniagaan pula menggunakan AI untuk memahami pelanggan dan meramalkan tingkah laku pengguna. Keadaan ini, tidak dapat dinafikan bahawa AI menawarkan peluang yang luar biasa, membantu manusia melakukan perkara yang sebelum ini memerlukan masa, tenaga dan kos yang besar. Dalam konteks ini, penggunaan AI boleh dilihat sebagai satu bentuk ”kemerdekaan baharu”, manusia dibebaskan daripada sebahagian keterbatasan fizikal dan intelektualnya.

Namun, di sinilah terletaknya paradoks itu. Adakah kita benar-benar semakin ”merdeka” apabila sistem teknologi AI semakin banyak membantu kita, atau sebenarnya kita sedang menyerahkan sebahagian kebebasan kita kepada teknologi?

Penjajahan tidak berakhir sepenuhnya apabila bendera penjajah diturunkan. Sejarah menunjukkan bahawa penguasaan terhadap sesebuah masyarakat juga masih boleh berlaku melalui pendidikan, ekonomi, budaya, bahasa, ideologi dan sistem pemikiran. Dalam era digital, pastinya persoalan ini menjadi semakin kompleks.

Kita mungkin tidak lagi dijajah secara fizikal, tetapi minda kita sentiasa boleh dipengaruhi oleh algoritma yang menentukan apa yang kita lihat di media sosial, apa yang disyorkan kepada kita, produk apa yang kita beli dan pendapat apa yang sering muncul di hadapan kita.

Di sinilah kesan AI membawa persoalan ini ke tahap yang lebih mendasar. Jika dahulu manusia menggunakan teknologi sebagai alat, kini teknologi semakin berupaya memberi cadangan, membuat ramalan dan menghasilkan keputusan bagi pihak manusia.

Kemerdekaan alaf baharu

Mungkin inilah cabaran kemerdekaan pada alaf baharu. Kemerdekaan tidak lagi hanya bermaksud bebas daripada kuasa asing, sebaliknya ia juga bermaksud mempunyai keupayaan untuk menentukan diri sendiri.

Melalui hasil kajian terbaharu di Universiti Malaya mengenai falsafah dan AI, persoalan ini berkait rapat dengan konsep autonomi manusia iaitu keupayaan manusia untuk membuat pertimbangan dan keputusan berdasarkan kehendak, nilai, pengetahuan dan pertimbangannya sendiri. AI tidak semestinya menjadi ancaman kepada autonomi manusia.

Sebaliknya, AI boleh menjadi alat yang memperkukuhkan autonomi jika manusia menggunakannya untuk memperluaskan pengetahuan dan keupayaan membuat keputusan. Contohnya, AI boleh membantu seorang pelajar memahami konsep yang sukar. Ia boleh membantu seorang penyelidik menganalisis maklumat, malah boleh membantu seorang usahawan kecil memahami pasaran. Dalam keadaan ini, AI dilihat dapat memperkasakan manusia.

Namun, keadaan berubah apabila manusia tidak menggunakan AI sebagai alat membantu untuk berfikir, tetapi membiarkan AI menggantikan proses berfikir itu sendiri. Jika seorang pelajar menyerahkan sepenuhnya proses menulis kepada AI tanpa memahami kandungannya, dia mungkin memperoleh jawapan, tetapi kehilangan peluang untuk belajar.

Jika seseorang menerima cadangan AI tanpa menilai kesahihan dan kesesuaiannya, dia mungkin memperoleh keputusan dengan cepat, tetapi kehilangan sebahagian daripada proses pertimbangan manusia.

Jika masyarakat menerima sesuatu yang dihasilkan oleh algoritma sebagai benar hanya kerana ia kelihatan meyakinkan, maka kita berdepan dengan bentuk baharu kebergantungan. Oleh yang demikian, persoalan kemerdekaan dalam era AI bukanlah pertimbangan kelebihan antara AI atau manusia, sebaliknya, bagaimana manusia boleh menggunakan AI tanpa kehilangan kebebasan untuk menentukan siapa dirinya dan apa yang dipercayainya?

Agama dan budaya sebagai panduan autonomi manusia

Dalam mencari jawapan kepada persoalan ini, Malaysia mempunyai satu kelebihan penting. Kita bukan masyarakat yang hidup hanya berdasarkan logik teknologi dan produktiviti, tetapi masyarakat Malaysia dibentuk oleh kepelbagaian agama, budaya, adat, nilai kekeluargaan dan tradisi komuniti. Walaupun berbeza latar belakang, kebersamaan nilai budaya seperti tanggungjawab, hormat kepada manusia, amanah, kesederhanaan, gotong-royong dan kepedulian terhadap masyarakat merupakan asas kehidupan kita.

Dalam tradisi Islam, misalnya, manusia bukan sekadar pencipta atau pengguna teknologi, malah mempunyai tanggungjawab moral sebagai khalifah, dan ilmu yang dimiliki perlu digunakan dengan amanah. Teknologi seharusnya membantu manusia mencapai kebaikan, bukan menjadikan manusia tunduk sepenuhnya kepada teknologi. Begitu juga dalam tradisi budaya masyarakat Malaysia yang menekankan hubungan kekeluargaan, komuniti dan tanggungjawab sosial.

Kemajuan tidak semestinya diukur berdasarkan sejauh mana manusia boleh menyerahkan tugas kepada mesin, sebaliknya kemajuan juga harus dinilai berdasarkan sama ada teknologi menjadikan manusia lebih bermaruah, lebih bertanggungjawab dan lebih mampu memberi manfaat kepada orang lain.

Di sinilah peranan agama dan budaya boleh menjadi panduan kepada perkembangan AI. Teknologi boleh menjawab persoalan apa yang boleh dilakukan?, tetapi manusia masih perlu menjawab persoalan apa yang patut dilakukan? AI mungkin mampu menghasilkan ribuan pilihan dalam beberapa saat tetapi memilih mana yang benar, baik, adil dan sesuai untuk kehidupan manusia tetap memerlukan pertimbangan moral. Oleh itu, kita perlu sentiasa kritikal dan berhati-hati terhadap kebergantungan kepada AI tanpa kesedaran. Kita tidak perlu ”merdeka daripada AI”, sebaliknya, kita perlu ”merdeka dalam menggunakan AI”.

Merdeka di sini bermaksud kita menggunakan teknologi dengan sedar, bukan kerana terpaksa mengikut arus kemodenan. Merdeka bermaksud kita boleh menggunakan mesin membantu kita bekerja, tetapi tidak menyerahkan sepenuhnya nilai, prinsip dan pertimbangan moral kita kepada mesin. Apa yang paling penting, merdeka bermaksud manusia masih sedar bahawa kita menjadi agen yang bertanggungjawab menentukan tujuan dan penggunaan teknologi.

Matlamat inilah bentuk kemerdekaan yang perlu kita perjuangkan untuk generasi akan datang. Generasi terdahulu berjuang supaya kita bebas menentukan masa depan negara. Generasi hari ini pula berhadapan dengan cabaran yang berbeza, untuk memastikan kemajuan teknologi tidak menentukan masa depan manusia tanpa pertimbangan manusia itu sendiri. Selepas 69 tahun merdeka, kita mungkin tidak lagi berhadapan dengan penjajahan dalam bentuk yang sama seperti dahulu. Tetapi persoalan kebebasan masih kekal relevan, cuma wajahnya telah berubah.

Ringkasnya, cabaran makna kemerdekaan generasi masa depan bukan sekadar kemampuan menggunakan teknologi paling canggih, tetapi mereka ”merdeka” kerana berkemampuan menggunakan teknologi tanpa kehilangan nilai kemanusiaan dan mampu menentukan sendiri apa yang wajar difikirkan, dipercayai dan dilakukan berlandaskan panduan asas agama dan budaya.