Di sebalik pintu universiti, tersirat amanat pendidikan
Pendidikan tinggi membentuk graduan holistik melalui penguasaan ilmu, kemahiran dan nilai murni demi kecemerlangan diri serta sumbangan bermakna kepada masyarakat.

DALAM kitaran tahunan pendidikan tinggi Malaysia, terdapat dua detik penting dalam kehidupan universiti, iaitu menyambut kehadiran pelajar baharu dan meraikan kejayaan para graduan dalam majlis konvokesyen.
Kedua-dua detik ini, yang melambangkan permulaan dan pengakhiran suatu perjalanan akademik, mengajak kita melihat melangkaui pintu pagar dan pintu masuk universiti serta fakulti untuk menghayati mesej yang tersirat di sebaliknya tentang makna pendidikan, aspirasi bersama serta tanggungjawab universiti, ahli akademik dan para pelajar.
Di pintu masuk utama Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, tertera ungkapan ‘Enter into the Realm of Excellence’ (Melangkah ke Alam Kecemerlangan) yang menyambut kedatangan ahli akademik dan pelajar setiap kali mereka melangkah masuk ke fakulti.
Ungkapan yang tertera di atas pintu kaca ini bukan sekadar lambang aspirasi, tetapi turut mencerminkan komitmen dan harapan bersama terhadap kecemerlangan. Ungkapan ini menyeru ahli akademik agar menzahirkan kecemerlangan dalam pengajaran, penyelidikan dan integriti profesional, di samping menggalakkan para pelajar untuk mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran, pemikiran kritis dan pembentukan sahsiah.
Di seberang dunia, Gerbang Eddy (Eddy Gate) yang ikonik di Universiti Cornell, Amerika Syarikat, dihiasi dengan kata-kata yang penuh makna: ‘So enter that daily thou mayest become more learned and thoughtful; so depart that daily thou mayest become more useful to thy country and to mankind.’ (Masuklah agar setiap hari ilmu dan pemikiranmu semakin berkembang; keluarlah agar setiap hari dirimu semakin berbakti kepada negara dan umat manusia).
Kata-kata ini mengingatkan kita bahawa pendidikan tinggi bukan sahaja bertujuan menambah ilmu dan mematangkan pemikiran, tetapi juga mempersiapkan seseorang untuk menyumbang kepada masyarakat.
Falsafah yang sama turut tercermin pada Gerbang Dexter (Dexter Gate) di Universiti Harvard. Pada permukaan gerbang yang menghadap laluan masuk, terukir ungkapan ‘Enter to grow in wisdom’ (Masuklah untuk menimba kebijaksanaan), manakala pada bahagian bertentangan, terukir pesanan kepada mereka yang meninggalkan universiti: ‘Depart to serve better thy country and thy kind’ (Keluarlah untuk berbakti dengan lebih baik kepada negara dan sesama insan).
Kedua-dua ungkapan ini menzahirkan dua matlamat yang saling melengkapi, iaitu memperoleh ilmu dan memupuk kebijaksanaan melalui pendidikan, kemudian mengaplikasikan kedua-duanya untuk berbakti kepada masyarakat.
Falsafah yang menggabungkan kedua-dua matlamat ini turut terserlah pada Gerbang Alumni (Alumni Gateway) di Universiti Ohio. Pada bahagian masuk, tertera ungkapan ‘So enter that daily thou mayest grow in knowledge wisdom and love’ (Masuklah agar setiap hari dirimu terus berkembang dalam ilmu, kebijaksanaan dan kasih sayang).
Sementara itu, pada bahagian keluar, terukir kata-kata ‘So depart that daily thou mayest better serve thy fellowmen thy country and thy God’ (Keluarlah agar setiap hari dirimu dapat berbakti dengan lebih baik kepada sesama insan, negara dan Tuhan). Mesej yang disampaikan jelas: pendidikan bukan sekadar usaha untuk mencapai kejayaan peribadi, tetapi juga suatu persediaan untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan mengamalkan nilai-nilai murni.
Secara keseluruhannya, inskripsi pada ketiga-tiga gerbang universiti ini membawa mesej yang saling melengkapi: universiti ialah tempat untuk mengembangkan ilmu dan kebijaksanaan, manakala pendidikan yang bermakna seharusnya membuahkan khidmat dan sumbangan kepada masyarakat.
Mesej yang terukir pada gerbang universiti-universiti ini mencerminkan harapan agar para pelajar yang melangkah masuk bukan sahaja memperoleh ilmu pengetahuan dan mengasah pemikiran kritis, tetapi juga memupuk kebijaksanaan serta kasih sayang, demi perkembangan diri yang holistik. Kecemerlangan akademik bukan sekadar pencapaian intelektual, tetapi turut merangkumi pembentukan akhlak dan keupayaan mengaplikasikan ilmu secara bertanggungjawab.
Kerangka tiga dimensi, iaitu Kepala, Tangan dan Hati (Head, Hand and Heart), dapat dikaitkan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Kerangka Kelayakan Malaysia Edisi Kedua (MQF 2.0) dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 (Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia). Kepala melambangkan penguasaan ilmu dan keupayaan berfikir secara kritis; Tangan merujuk kepada keupayaan mengaplikasikan ilmu melalui tindakan dan kemahiran practical; manakala Hati mencerminkan nilai, etika dan empati dan pembentukan sahsiah.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyediakan asas bagi pembangunan insan secara holistik dengan mengintegrasikan dimensi intelek, rohani, emosi dan jasmani demi melahirkan warganegara yang seimbang. MQF 2.0 menterjemahkan visi falsafah ini kepada kerangka yang lebih praktikal melalui lima kluster hasil pembelajaran, yang secara konseptual boleh dikaitkan dengan dimensi Kepala, Tangan dan Hati.
Kluster 1 dan 2, iaitu Pengetahuan dan Kefahaman serta Kemahiran Kognitif, berkaitan dengan dimensi Kepala. Kluster 3, iaitu Kemahiran Kerja Fungsional, pula berkaitan dengan dimensi Tangan. Sementara itu, Kluster 4 dan 5, iaitu Kemahiran Peribadi dan Keusahawanan, Etika dan Profesionalisme, yang diperkukuh oleh Pendidikan Berteraskan Nilai (Values-Based Education, VBE), berkaitan dengan dimensi Hati.
Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia pula mengembangkan kerangka ini dengan menggalakkan keseimbangan antara pengetahuan, kemahiran dan nilai etika melalui tiga set kemahiran yang saling melengkapi: kemahiran teknikal dan analitik (sharp) (kemahiran digital dan kecekapan teknologi), kemahiran sosial dan kemanusiaan (smart) (pemikiran kritis, kolaborasi dan pemikiran sistem) serta kemahiran insaniah (soft) (kemahiran interpersonal, etika dan kebolehsuaian).
Kemahiran-kemahiran ini boleh dikaitkan secara konseptual dengan dimensi Kepala, Tangan dan Hati bagi melahirkan graduan serba boleh yang mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.
Oleh itu, melangkah masuk ke dalam ‘Alam Kecemerlangan’ bukan sekadar mengejar PNGK yang tinggi atau memperoleh segulung ijazah. Sebaliknya, ia merupakan seruan untuk membentuk sahsiah, menerima perubahan dan memupuk perkembangan intelektual serta moral.
Ketiga-tiga inskripsi pada Gerbang Eddy, Gerbang Dexter dan Gerbang Alumni mengingatkan kita bahawa graduasi bukan sekadar tanda kejayaan akademik, tetapi juga suatu amanat untuk memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh demi kesejahteraan negara dan masyarakat.
Apabila musim konvokesyen menjelang pada penghujung tahun, ungkapan ‘Melangkah ke Alam Kecemerlangan’ di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, membawa makna yang lebih mendalam, mengundang kita untuk merenungkan amanat pendidikan yang tersirat di sebaliknya. Meninggalkan ‘Alam Kecemerlangan’ bermaksud menggunakan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk tujuan yang bermakna, termasuk berkhidmat kepada masyarakat, memajukan kesejahteraan sosial, menyumbang kepada pembinaan negara dan memupuk kelestarian dalam landskap global yang sentiasa berubah.
Inskripsi pada pintu masuk universiti dan fakulti mengingatkan kita bahawa pintu-pintu tersebut bukan sekadar struktur fizikal, tetapi juga ambang simbolik yang mencerminkan nilai, aspirasi dan tanggungjawab bersama dalam membentuk pengalaman pendidikan tinggi bagi ahli akademik dan para pelajar. Mesej tersirat di sebalik inskripsi yang menyambut mereka ketika melangkah masuk dan mengiringi mereka ketika melangkah keluar dari universiti membawa makna yang melangkaui zaman.
Pelajar baharu melangkah masuk untuk memulakan perjalanan menimba ilmu, mengembangkan kebijaksanaan dan membentuk sahsiah, manakala para graduan melangkah keluar dengan amanat untuk memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh demi berbakti kepada masyarakat, menyumbangkan kepada pembangunan negara serta membina masa depan yang maju dan mampan.

