Harapan baharu Malaysia-Turkiye dalam isu pelarian, pemerdagangan manusia

Malaysia dan Turkiye berpotensi menjadi pemimpin dalam menangani isu kemanusiaan di Asia dan Timur Tengah.

Poster Terkini (1)


LAWATAN rasmi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia pada awal bulan Februari 2025 menandakan satu lagi fasa penting dalam hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Selain memperkukuh kerjasama dalam sektor ekonomi dan pertahanan, pertemuan ini juga membuka ruang bagi perbincangan lebih mendalam mengenai isu kemanusiaan, khususnya berkaitan pelarian dan pemerdagangan manusia.

Turkiye dan Malaysia berkongsi cabaran besar dalam menangani isu pelarian. Turkiye kini menjadi negara dengan populasi pelarian terbesar di dunia, dengan lebih daripada empat juta pelarian, majoritinya dari Syria.

Malaysia pula menampung sekitar 180,000 pelarian, termasuk Rohingya dari Myanmar, yang mencari perlindungan akibat penganiayaan dan keganasan di tanah air mereka.

Meskipun Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, negara ini telah menjadi destinasi utama bagi pelarian Rohingya sejak beberapa dekad lalu.

Namun, tanpa status pelarian rasmi, mereka sering terpinggir daripada akses kepada pendidikan, pekerjaan yang sah, serta perkhidmatan kesihatan.

Turkiye, dengan pengalamannya yang luas dalam menguruskan krisis pelarian Syria, boleh menjadi rakan strategik dalam membangunkan dasar yang lebih mampan bagi menangani cabaran ini.

Antara langkah yang boleh diterapkan adalah memperluaskan kerjasama dalam pendidikan dan latihan kemahiran untuk pelarian.

Turkiye telah menunjukkan kejayaan dalam menyediakan pendidikan formal dan latihan vokasional kepada pelarian Syria, yang membolehkan mereka membina kehidupan lebih stabil.

Malaysia boleh mempelajari model ini bagi memberikan lebih banyak peluang kepada pelarian Rohingya untuk berdikari, sekali gus mengurangkan kebergantungan mereka kepada bantuan luar.

Pemerdagangan manusia dan ancamannya

Selain isu pelarian, pemerdagangan manusia terus menjadi cabaran serius bagi kedua-dua negara. Malaysia sering menjadi destinasi transit bagi sindiket yang menyeludup manusia dari Myanmar, Bangladesh dan Indonesia, sementara Turkiye berdepan situasi serupa dengan aliran migran dari Syria, Afghanistan dan Iran.

Kejadian tragis seperti penemuan kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis pada 2015, yang mendedahkan kubur besar pelarian Rohingya dan Bangladesh, adalah bukti jelas tentang eksploitasi yang berlaku di rantau ini.

Sindiket pemerdagangan manusia sering menggunakan Malaysia sebagai laluan untuk menghantar pelarian ke negara ketiga, terutamanya melalui laluan laut yang berbahaya.

Bagi Turkiye, pemerdagangan manusia menjadi ancaman utama sejak krisis Syria meletus, dengan ramai pelarian dipaksa bekerja dalam industri buruh paksa atau terlibat dalam eksploitasi seks.

Sindiket penyeludupan manusia juga menggunakan Turkiye sebagai pintu masuk ke Eropah, menjadikan negara itu antara pusat transit utama bagi migran yang cuba mencari kehidupan lebih baik di Barat.

Harapan dan kerjasama Malaysia-Turkiye

Lawatan Erdogan ke Malaysia membuka peluang untuk memperkukuhkan usaha bersama dalam menangani jenayah pemerdagangan manusia.

Antara langkah yang boleh diterapkan termasuk perkongsian teknologi dan pengawasan sempadan di mana Turkiye boleh membantu Malaysia dalam membangunkan sistem pengawasan sempadan lebih ketat, seperti penggunaan dron dan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang telah digunapakai di sempadan Turkiye-Syria untuk mengekang penyeludupan manusia.

Seterusnya, menjalani latihan keselamatan dan perisikan iaitu dengan membuka peluang polis dan pasukan keselamatan Malaysia menjalani latihan bersama pasukan keselamatan Turkiye dalam menangani sindiket pemerdagangan manusia, termasuk teknik pemantauan rangkaian jenayah dan strategi pencegahan eksploitasi terhadap pelarian.

Antara lain, Malaysia memanfaatkan hubunga ini melalui sistem perlindungan dan pemulihan mangsa kerana Turkiye memiliki pusat perlindungan khas bagi mangsa pemerdagangan manusia, yang menyediakan bantuan psikososial dan latihan pekerjaan bagi membolehkan mereka membina semula kehidupan.

Model ini boleh diterapkan di Malaysia untuk memberikan lebih banyak sokongan kepada mangsa pemerdagangan.

Selain itu, perkara yang amat penting dan signifikan adalah memperkuatkan advokasi di peringkat antarabangsa.

Dengan kedudukan strategik di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan forum antarabangsa lain, Malaysia dan Turkiye boleh memperkukuhkan usaha diplomatik untuk memberi tekanan kepada negara asal pelarian dan migran agar mengambil tanggungjawab lebih besar dalam menangani punca masalah ini.

Kerjasama antara Malaysia dan Turkiye dalam isu pelarian dan pemerdagangan manusia bukan sekadar hubungan diplomatik, tetapi satu keperluan dalam menangani krisis kemanusiaan global yang semakin meruncing.

Dengan kedua-dua negara berkongsi komitmen terhadap keadilan sosial dan hak asasi manusia, diharapkan lawatan Erdoğan kali ini dapat menghasilkan dasar konkrit yang membawa perubahan positif kepada pelarian dan mangsa pemerdagangan manusia di Malaysia dan seluruh dunia.

Jika Malaysia dan Turkiye dapat memanfaatkan hubungan erat ini secara strategik, kedua-duanya berpotensi menjadi pemimpin dalam menangani isu kemanusiaan di Asia dan Timur Tengah.

Yang tinggal kini hanyalah pelaksanaan dasar yang lebih berani dan komprehensif demi masa depan yang lebih baik bagi mereka yang memerlukan.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.