Hari raya, urus kewangan dengan baik
Merancang untuk berbelanja bukanlah terletak pada seorang individu sahaja, namun perlu digalas secara bersama, bagi mereka yang sudah berkeluarga.

BULAN Ramadan baru menjengah masuk minggu kedua tetapi sudah banyak kompleks beli-belah terutama di ibu kota memulakan karnival ‘Jualan Ramadan’ sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.
Malahan, sudah ada dalam kalangan pengguna mula membeli sebagai persiapan raya ini.
Di pekan-pekan kecil pula, bazar-bazar sementara yang menjual pelbagai barangan termasuk pakaian, kuih-muih serta kerepek raya juga sudah muncul dan menambahkan lagi kemeriahan suasana bulan Ramadan.
Pelbagai jenis pakaian ditawarkan berserta dengan beraneka fesyen serta gaya bagi memenuhi cita rasa pelanggan daripada pelbagai peringkat umur bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri.
Namun, bagi umat Islam yang bakal menyambut Aidilfitri, adalah dinasihatkan agar merancang perbelanjaan bagi mengelak daripada menanggung beban kewangan yang tinggi kemudian hari.
Merancang untuk berbelanja bukanlah terletak pada seorang individu sahaja, namun perlu di galas secara bersama, bagi mereka yang sudah berkeluarga.
Hakikatnya, keterujaan untuk menyambut hari kegembiraan umat Islam ini, boleh membuatkan kita sedikit terleka dan berbelanja secara berlebihan.
Lantaran terlalu mengikut nafsu yang tanpa kita sedar ia boleh memberi impak yang negatif pada status kewangan kita.
Ekoran itu, pengguna perlu lebih berhati-hati agar tidak menjadi mangsa belanja berlebihan sewaktu sambutan hari raya aidilfitri.
Langkah pencegahan boleh di buat dengan mengikuti beberapa tips berikut:
1. Sediakan bajet perbelanjaan hari raya
Anngaran atau bajet perbelanjaan adalah sangat penting untuk disediakan bagi setiap aktiviti yang akan dilakukan. Begitu juga bagi sambutan hari raya aidilfitri yang melibatkan pelbagai perbelanjaan termasuklah baju raya, juadah raya, perhiasan rumah, kos perjalanan pulang ke kampung dan tidak kurang penting juga adalah kos menyelenggara kenderaan.
Penyediaan bajet sebelum berbelanja dapat memastikan pengguna tidak berbelanja berlebihan untuk sesuatu perkara, di samping mengelakkan kita daripada terhimpit dengan beban kewangan selepas tamat sambutan perayaan tersebut.
Dengan cara ini, konsep belanja berhemah dapat dilaksanakan kerana tidak semua barang yang ditawarkan oleh penjual berguna kepada pengguna ketika itu. Pastikan pengguna menyediakan senarai barangan yang perlu dahulu untuk persiapan hari raya agar pembelian barangan sesuai dengan bajet yang dirancangkan, ibarat ukur baju di badan sendiri.
2. Berbelanja pada waktu jualan diskaun
Selesai dengan perancangan bajet perbelanjaan, pengguna harus mencari masa yang sesuai untuk melaksanakan perancangan tersebut secara bijak. Salah satu cara adalah dengan berbelanja pada waktu jualan diskaun yang kebiasaannya dianjurkan oleh kebanyakan pusat beli-belah.
Langkah bijak ini dapat memastikan kewangan tidak terjejas pada musim perayaan, malah dapat memastikan bajet yang disediakan berada dalam terkawal.
Kebiasaanya ‘Jualan Diskaun’ ini merupakan antara waktu yang dinanti-nantikan oleh para pengguna kerana pada ketika inilah pelbagai tawaran menarik dan banyak diskaun ditawarkan untuk orang ramai.
Kita harus sentiasa bersedia dengan maklumat sebegini agar tidak terlepas membeli keperluan musim perayaan semasa aktiviti ini ditawarkan oleh penjual.
Walaupun kita berbelanja untuk sambutan hari perayaan, kita perlu berhati-hati supaya tidak terjebak dalam perangkap jualan murah hingga terlebih belanja dan akhirnya dibebani hutang berpanjangan.
3. Buat perbandingan harga
Seterusnya para pengguna digalakkan untuk menyemak harga barangan yang ingin dibeli sebelum melakukan perbelanjaan sebagai tindakan lebih cermat berbelanja. Usaha semak dan bandingkan harga barang yang ingin dibeli ini bagi memastikan tawaran diskaun adalah tulen dan benar-benar berbaloi.
Seringkali terjadi tawaran diskaun hanyalah ‘indah khabar dari rupa’. Pengguna tertipu dengan tawaran tersebut kerana jumlah diskaun sebenar yang diterima oleh pengguna amat kecil nilainya. Wujud situasi harga yang kononnya tawaran diskaun, adalah harga sebenar barangan berkenaan.
4. Bayar tunai atau guna Kad Debit
Sebagai pengguna bijak, kita seharusnya membayar setiap perbelanjaan yang dilaksanakan dengan tunai. Bayaran tunai ini boleh dilaksanakan dengan dua (2) kaedah iaitu guna wang ringgit fizikal atau pun guna kad debit sedia ada. Jadi, pengguna boleh mengelakkan berbelanja secara berlebihan kerana pembayaran dibuat secara tunai dan bukannya hutang.
Bagi mereka yang mempunyai kad kredit, elakkan pembayaran bagi perbelanjaan perayaan ini menggunakan kad tersebut. Penggunaan kad kredit tanpa disiplin ketat mempunyai risiko untuk pengguna terlebih berbelanja kerana had pinjaman kad biasanya lebih tinggi berbanding kemampuan membayar semula secara sekali gus.
5. Elakkan pelan “Beli sekarang, bayar kemudian’
Sememangnya terdapat banyak kemudahan ‘beli sekarang, bayar kemudian (BNPL)’ yang ditawarkan oleh pihak penjual kepada pengguna. Godaan pelan sebegini amat sukar ditepis lebih-lebih lagi kerana pengguna membayangkan mereka hanya perlu membayar dalam jumlah yang kecil setiap bulan.
Walhal, impak tuntutan kewangan akan meningkat dan menyebabkan pengguna terpaksa membayar dalam jangka masa yang lebih panjang. Tanpa disedari bahawa kemudahan ini menggalakkan pengguna berhutang dan boleh mengakibatkan mereka boros dalam berbelanja.
Dengan menetapkan bajet, membuat senarai perbelanjaan, membandingkan harga dan pembayaran secara tunai, warga pengguna boleh menikmati musim perayaan saban tahun tanpa menjejaskan kestabilan kewangan.
Seharusnya kita fokus kembali kepada keperluan berbanding kehendak agar tidak mengeluh akibat tidak cukup wang perbelanjaan setiap kali selepas Aidilfitri.
Perbelanjaan secara berlebihan tanpa perancangan teliti akan menyebabkan ada yang ‘ikat perut’ atau ‘pokai’ selepas musim perayaan nanti.
Ingatlah, jika berjimat setiap perkara, pasti terjamin masa hadapan.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.