Apakah masa depan Melayu dalam DAP?
Pemilihan CEC ini penting dalam menentukan hala tuju politik DAP dalam politik Malaysia, khususnya melibatkan sokongan orang Melayu.

DAP pada pandangan umum orang Melayu ialah satu watak politik yang wajib dijauhi. Namun persoalannya, adakah DAP sendiri ingin mengekalkan imej begitu pada pandangan orang Melayu?
Tidak lama lagi, DAP akan melalui proses pemilihan untuk jawatankuasa tertinggi dalam parti itu iaitu Central Executive Committee (CEC) seramai 30 orang.
Pemilihan CEC ini penting dalam menentukan hala tuju politik DAP dalam politik Malaysia, khususnya melibatkan sokongan orang Melayu.
Data pilihan raya umum telah menunjukkan, parti politik yang bekerjasama dengan DAP akan mengalami penyusutan sokongan dalam kalangan orang Melayu.
Dalam pemilihan CEC tiga tahun lalu, tiada seorang pun pemimpin Melayu yang terpilih kecuali Young Shefura (Rara). Rara sendiri sebenarnya tidak tersenarai dalam ranking 30 teratas tetapi namanya naik bagi memenuhi kuota wanita 30 peratus.
Dalam DAP sekarang, terdapat sekurang-kurangnya 3 pemimpin muda Melayu yang akan bertanding dalam pemilihan CEC iaitu Rara, Syahredzan Johan dan juga Sheikh Omar Bagharib Ali yang mana jika kesemuanya terpilih sekalipun, hanyalah mewakili 10 peratus daripada keseluruhan CEC yang dipilih.
Dalam keterbukaan Anthony Loke menerajui DAP serta memperlihatkan DAP yang lebih moderat di era Madani, mampukah ahli akar umbi DAP mempamerkan keterbukaan yang sama bagi mengangkat pemimpin Melayu dalam DAP?
Adakah benar DAP akan membuka ruang agar pemimpin Melayu sama-sama menerajui DAP menerusi CEC atau hanya sekadar menjadi poster boy?
Persoalan itu akan ditentukan oleh akar umbi DAP dalam pemilihan 16 Mac nanti.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.