Bangunan Mercu Alam Bina UM diiktiraf ‘hijau’

Bangunan Mercu Alam Bina secara rasmi menerima pensijilan Green Building Index (GBI), sekali gus menjadikannya antara bangunan pertama di kampus itu mencapai pengiktirafan berprestij berkenaan.

Feature Image

KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2025 – Universiti Malaya (UM) terus memperkukuh reputasinya sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited terhadap kelestarian apabila Bangunan Mercu Alam Bina secara rasmi menerima pensijilan Green Building Index (GBI), sekali gus menjadikannya antara bangunan pertama di kampus itu mencapai pengiktirafan berprestij berkenaan.

Pensijilan GBI merupakan pengiktirafan terhadap reka bentuk dan operasi bangunan yang lestari, efisien dari segi tenaga dan sumber, selain memberi keselesaan kepada pengguna.

Bangunan Mercu Alam Bina yang menempatkan Fakulti Alam Bina dinilai dengan pendekatan lestari menyeluruh merangkumi elemen pengudaraan serta pencahayaan semula jadi, penjimatan air dan tenaga, selain landskap hijau yang menyokong biodiversiti kampus.

Dekan Fakulti Alam Bina Prof. Sr. Ts. Dr. Azlan Shah Ali berkata pengiktirafan itu mengukuhkan kedudukan universiti dalam penarafan antarabangsa berkaitan kelestarian seperti QS World University Rankings (Sustainability), THE Impact Rankings serta UI GreenMetric World University Rankings.

“Pensijilan ini meningkatkan kredibiliti UM sebagai universiti bertaraf dunia yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik malah dalam komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat. Fakulti juga komited membantu universiti menghijaukan enam lagi bangunan kampus melalui khidmat perunding dalaman,” katanya.

Majlis penganugerahan pensijilan itu turut dihadiri Penolong Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Prof. Dr. Yvonne Lim Ai Lian, Ketua Pegawai Eksekutif Green Building Index Sdn. Bhd. Ar. Sarly Adre Sarkum, barisan pengurusan Fakulti Alam Bina serta warga kampus.

Ketua Penyelidik Projek Prof. Madya Sr Dr. Noor Suzaini Mohamed Zaid berkata UM memiliki lebih 500 blok bangunan di seluruh kampus, yang masing-masing menyumbang kepada impak karbon, penggunaan tenaga dan kesejahteraan warganya.

“Pensijilan GBI bagi Mercu Alam Bina bukan sahaja simbolik, malah menjadi penanda aras strategik ke arah kelestarian menyeluruh infrastruktur kampus,” katanya.

Majlis itu diadakan bersempena Sambutan Jubli Perak Fakulti Alam Bina yang menyaksikan pelbagai pengisian termasuk pameran pelajar, reruai maklumat kemasukan, taklimat, pameran antarabangsa serta majlis pertukaran memorandum persefahaman antara UM dan Green Building Index Sdn. Bhd.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor Strategik Korporat Prof. Dr. Yahaya Ahmad berkata GBI bukan sahaja memperlihatkan komitmen universiti kepada kelestarian malah membuka ruang kepada pelaporan ESG yang lebih telus dan berwibawa.

“Data penggunaan tenaga, pengurusan air dan impak karbon daripada sistem GBI akan menjadi asas kepada pembangunan Laporan Tahunan ESG universiti,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Beliau menegaskan Mercu Alam Bina menjadi contoh praktikal bagaimana universiti boleh memimpin pelaksanaan agenda kelestarian bukan sekadar sebagai peserta, tetapi pencetus perubahan dasar, inovasi teknologi dan gaya hidup lestari dalam konteks pendidikan tinggi.

Mengulas lanjut, Noor Suzaini berkata bangunan itu turut berfungsi sebagai makmal hidup kepada pelajar untuk mempelajari secara praktikal proses serta kriteria pensijilan bangunan hijau, selain memberi peluang kepada penyelidik menjalankan kajian, mencuba teknologi baharu dan meningkatkan tahap kelestarian bangunan dari semasa ke semasa.