RMK13 dan peranan wanita Borneo dalam Ekonomi Madani
Jurang penyertaan masih jelas terutama bagi wanita luar bandar dan mereka yang berada dalam sektor tidak formal.

Sejak Merdeka, wanita Malaysia telah memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Namun, pengiktirafan yang lebih menyeluruh terhadap sumbangan mereka hanya bermula sekitar Rancangan Malaysia Keenam (RMK6) melalui Dasar Wanita Negara (1989), ratifikasi Konvensyen CEDAW (1995) serta pelbagai pelan tindakan pemerkasaan.
Walaupun dasar demi dasar diperkenalkan, jurang penyertaan masih jelas terutama bagi wanita luar bandar dan mereka yang berada dalam sektor tidak formal.
Di Sabah dan Sarawak, cabaran ini lebih ketara kerana kebanyakan penduduk masih tinggal di luar bandar. Kadar penyertaan tenaga kerja wanita juga lebih rendah berbanding Semenanjung iaitu hanya 52 peratus di Sabah dan 54 peratus di Sarawak, berbanding purata nasional 56–57 peratus pada 2023 (DOSM, 2023).
Dalam negara-negara ASEAN, Malaysia berada di belakang Vietnam (70 peratus) dan Thailand (66 peratus) tetapi lebih tinggi daripada Filipina (47 peratus) (ADB, 2023).
Untuk mencapai sasaran 60 peratus penyertaan menjelang 2030 di bawah RMK13, lonjakan baharu amat diperlukan.
Tambahan pula, rantau ASEAN menunjukkan potensi ekonomi yang besar, dengan pertumbuhan pesat dalam bidang ekonomi biru dan ekonomi jingga.
Kedua-duanya menawarkan peluang luas yang boleh dimanfaatkan Malaysia khususnya melalui kekuatan sumber dan warisan unik Sabah serta Sarawak.
Ekonomi biru merujuk kepada penggunaan sumber laut dan pesisir secara lestari, merangkumi perikanan, ekopelancongan, bioteknologi marin serta tenaga boleh diperbaharui.
Sabah menyumbang hampir 30 peratus hasil perikanan laut negara manakala rumpai laut Semporna menjadikan negeri itu pengeluar utama akuakultur.
Sarawak pula berpotensi dalam perikanan pesisir, udang serta ekopelancongan sungai. Wanita di kedua-dua negeri boleh melangkah lebih jauh daripada sekadar tenaga sokongan.
Mereka berupaya mengusahakan pemprosesan hasil laut, memasarkan produk makanan premium secara digital, atau menanam rumpai laut untuk kosmetik dan kesihatan, suatu industri yang berkembang di pasaran antarabangsa.
Jika laut menjadi aset utama ekonomi biru, budaya pula ialah nadi ekonomi jingga. Sabah dan Sarawak terkenal dengan kraf tangan dan warisan etnik masing-masing. Industri kraf tempatan sahaja bernilai lebih RM500 juta setahun, dengan wanita sebagai tenaga utama penghasilan.
Sarawak turut menganjurkan Rainforest World Music Festival (RWMF) yang menarik lebih pelancong antarabangsa setiap tahun, sekali gus menjana pendapatan pelancongan yang signifikan.
Festival budaya seperti Kaamatan dan Gawai juga berpotensi diperkasa sebagai acara kreatif berskala serantau, menghubungkan seni tari, muzik dan gastronomi tempatan dengan pasaran global.
Namun, penglibatan ini tidak akan tercapai tanpa dasar sokongan yang kukuh. Bagi memperkasa wanita, kerajaan melancarkan Program Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement (JELITA) yang menyasarkan 150,000 pelajar wanita mendaftar TVET menjelang 2026.
JELITA dilihat membuka peluang kepada wanita untuk menguasai kemahiran dalam bidang seperti teknologi maklumat, kejuruteraan, teknologi agro, reka bentuk fesyen, seni kreatif dan industri halal.
Program ini turut menjalinkan kerjasama dengan 74 rakan strategik, termasuk Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), bagi memastikan latihan sejajar dengan keperluan industri. JELITA juga menyediakan sokongan selepas kursus bagi membantu wanita menembusi pasaran kerja, sekali gus menangani isu diskriminasi jantina, jurang gaji dan cabaran memasuki sektor yang didominasi lelaki.
Dalam era digital, potensi wanita Sabah dan Sarawak semakin meluas. Malaysia menyasarkan industri kreatif digital menyumbang RM31.9 bilion kepada KDNK menjelang 2025. Pada masa sama, sektor e-dagang ASEAN melonjak mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Peluang ini membolehkan wanita memasarkan seni, fesyen dan kraf secara atas talian. Namun, capaian internet kekal menjadi penghalang kerana liputan di Sabah dan Sarawak.
Bukan itu sahaja, purata pendapatan bulanan wanita adalah jauh lebih rendah daripada lelaki dalam semua kumpulan pekerjaan utama.
Menurut laporan Asian Development Bank pada tahun 2023, pengurus wanita hanya menerima 77.4 peratus daripada apa yang diterima oleh pengurus lelaki.
Dalam sektor perkhidmatan, jualan dan kerja kerani/pentadbiran yang menempatkan sebahagian besar pekerja wanita—gaji mereka hanyalah 81.3 – 81.5 peratus daripada yang diterima lelaki dalam pekerjaan yang sama.
Perbezaan pendapatan paling kecil direkodkan dalam kalangan pekerja kraf dan berkaitan iaitu 4.3 peratus serta dalam pekerjaan berkemahiran rendah iaitu 6.4 peratus.
Penyertaan wanita terutama dalam pekerjaan berproduktiviti tinggi ialah kunci merealisasikan potensi pembangunan Malaysia.
Malaysia dijangka menua menjelang 2030, pembuat dasar mesti melaksanakan instrumen paling berkesan untuk menarik lebih ramai wanita menyertai pasaran kerja terutama dalam sektor bernilai tinggi.
RMK13 menggariskan aspirasi Ekonomi MADANI melalui strategi menaikkan lantai dan meningkatkan siling. Ekonomi biru dan jingga ditonjolkan sebagai sektor bernilai tinggi yang mampu mengangkat wanita bukan sekadar angka buruh, tetapi peneraju inovasi.
Di peringkat serantau, penyertaan wanita Sabah dan Sarawak selaras dengan ASEAN Blue Economy Framework yang menekankan nilai tambah, keterangkuman dan kelestarian.
Malaysia turut mengisytiharkan Sabah sebagai hab utama Ekonomi Biru, dengan fokus pada perikanan, ekokultur, perkapalan, pelabuhan, pelancongan maritim serta inisiatif karbon biru.
Sabah yang memiliki 59 peratus hutan paya bakau negara akan dijadikan asas kepada projek karbon berorientasikan kelestarian.
Pada masa sama, strategi kreatif negara boleh diselarikan dengan ASEAN Creative Economy Sustainability Framework, yang mengiktiraf peranan industri kreatif sebagai pemacu integrasi serantau. Malaysia juga akan menganjurkan Forum Ekonomi Biru ASEAN di Kota Kinabalu pada 2025, bersempena kepengerusian ASEAN, sekali gus memperkukuh kedudukan Sabah di peringkat global.
Tuntasnya, wanita Sabah dan Sarawak kini berada pada kedudukan strategik untuk menerajui sektor ekonomi masa depan, ekonomi biru dan jingga. Dengan sokongan dasar seperti JELITA, akses modal, kemahiran, perlindungan sosial dan infrastruktur digital, mereka berpotensi besar menjadi penggerak utama, bukan lagi sekadar penyokong.
RMK13 menyediakan kerangka, namun pelaksanaannya mesti berpaksikan gender, inklusif wilayah dan berpandangan serantau.
Jika digerakkan dengan tuntas, wanita luar bandar Borneo bukan sahaja mampu mengurangkan jurang gender dan wilayah tetapi juga mengangkat Malaysia sebagai negara inklusif dan berdaya saing di pentas ASEAN dan global.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.