Jom menonton, menghadam dan menikmati drama

Elemen seperti keindahan skrip, kualiti pembikinan, barisan pelakon, promosi dan gaya sentuhan pengarahan turut memberi impak kepada penerbitan drama.

Feature Image (1)

MELIHAT kepada prestasi cemerlang penerbitan drama kini, hampir pasti bahawa salah satu faktor utama yang memacu kejayaan adalah tentang dimensi kandungan berteraskan tema yang dibawa lantas menjadi peralihan paradigma kepada popularitinya.

Malahan, elemen seperti keindahan skrip, kualiti pembikinan, barisan pelakon, promosi dan gaya sentuhan pengarahan turut memberi impak kepada penerbitannya.

Tidak boleh tidak, seharusnya usaha dan galakan harus diberi kepada penggiat industri ini memandangkan ia merupakan komoditi yang berharga kepada masyarakat jika dihuraikan dari sudut matlamat dan manfaat yang menjadi dasar penerbitannya.

Penerokaan idea menerusi drama merupakan mencerakin harapan dan persaingan sihat dalam memvariasikan cerita serta membuka peluang kepada kebangkitan generasi baharu yang berpotensi untuk diketengahkan.

Salah satu fungsi drama ialah sebagai medium untuk berkongsi pengalaman dan realiti kehidupan dalam memberi kepuasan visual dengan pendekatan tersendiri. Ia memerlukan segala ramuan seni untuk menggerakkan cerita secara kreatif bagi menarik minat penonton.

Sesudah itu, terserah kepada penonton untuk menonton, menghadam dan menghargainya. Penonton perlu pintar dalam membuat tapisan dan bersedia untuk menerima kandungan melalui sudut pandangan tersendiri. Beberapa persediaan dalam memulakan tontonan adalah penting bagi menjayakan hubungan antara drama dan sasaran tontonan.

Antara panduan yang boleh diterokai adalah mulakan tontonan dengan sifat terbuka. Jangan mulakan tontonan dengan membina persepsi terlebih dahulu seperti memulakan sesuatu jangkaan yang kita harapkan ia berlangsung mengikut alur pemikiran sendiri.

Seharusnya kita hanya mula berfikir sejurus menonton sesuatu drama, tanpa dipengaruhi oleh tajuk yang dipaparkan secara keseluruhan.

Walaupun umum mengetahui bahawa tajuk merupakan asas andaian awal mengenai tawaran jalan cerita tetapi penonton tidak perlu mendahului dengan membentuk halangan idea sebelum paparan cerita diteliti.

Dewasa ini banyak tajuk drama yang agak berterus terang berkenaan naratif atau petunjuk yang menghubungkan jalan cerita yang hendak dibawakan walaupun penggunaan hanya deretan perkataan sahaja.

Namun mekanisme makna berjaya dibina untuk membentuk struktur idea yang dapat difahami oleh penonton. Ini kerana drama merupakan medium penyampaian yang menggabungjalinkan pengkisahan watak dan penciptaan pengalaman penonton.

Jika perkara berkenaan berlaku maka garapan naratif akan kelihatan longgar dari sudut kreativiti dalam membentuk persekitaran yang menyokong atau membantu tontonan dalam mengangkat kesan emosi yang bersesuaian.

Dalam hal ini, penonton harus menerima hakikat bahawa secara praktikal setiap drama mempunyai watak, jalan cerita, unsur emosi, pengajaran dan matlamat tertentu serta sudah pasti kesemuanya itu adalah bersandarkan sebuah lakonan realiti kehidupan. Dan kebiasaannya tidak begitu abstrak dengan sangkaan mudah penonton.

Menghadam pula lebih kepada memahami secara analisis, tafsiran dan penilaian. Kemudian melakukan penghakiman dengan bersandarkan justifikasi bagi sesuatu perkara atau tindakan. Ini merupakan teras keupayaan penonton dalam memahami kandungan.

Kebanyakan drama adalah bersifat langsung iaitu penyelesaian persoalan berkenaan sesuatu pengertian yang ada dalam fikiran ketika meniti naratif penceritaan. Cerita yang terbina selalunya berkait rapat melalui cerminan konflik kemasyarakatan dan menakluki logik serta urutan rangkuman elemen-elemen yang berulang pengkisahannya lalu memberi makna kepada realiti.

Penonton harus berani untuk membuat tafsiran berkenaan jalan cerita bersandarkan pemahaman pengkisahan dari sudut pandangan sendiri. Terkadang naratif yang diungkap, mengundang persoalan dalam kewajarannya.

Seperti contoh babak yang ditawarkan mungkin mencetuskan pertentangan antara realiti dan fiksyen, kewujudan dan kekaburan, konkrit dan ketidakpastian malah penyelesaian konflik dengan cara mudah tanpa bergantung pada jawapan yang tetap.

Tahap kebolehpercayaan harus mengundang justifikasi kepada sesuatu keadaan babak yang dipaparkan. Ternyata jika ia berlandaskan logika maka ia mudah diterima dan dimanfaatkan.

Begitulah sebaliknya jika ia hanya disulam dengan retorika adunan ilham yang longgar dari sudut realiti maka penolakan makna akan berlaku tanpa perlu diperbahaskan. Penonton akan menerima atau menolak sesuatu naratif seandainya ia bertembung dengan asas penilaian prinsip bersandarkan falsafah pemikiran dan pengalaman penonton.

Jika proses menghadam berjalan dengan lancar, maka penonton akan mendapat manfaat berupa rangkuman mesej yang menyokong objektif penerbitannya. Dengan kata mudah, keberkesanan drama sebagai medium untuk mendidik dan menghibur akan tercapai matlamatnya.

Pengajaran berupa pengkisahan pengalaman merupakan kekuatan yang ada pada nukilan drama. Ia bakal memberi inspirasi kepada penonton dalam mengharungi dan memaknakan kehidupan.

Menikmati pula lebih memberatkan kepada senario hubungkait pengalaman peribadi jika sesuatu perkara itu pernah berlaku atau dilalui yang mempunyai persamaan dengan penonton. Dengan ini kefahaman akan mudah terbentuk dan sampai secara keadaan perasaan emosi kepada penonton.

Naratif drama dan realiti kehidupan mempunyai hubungan yang signifikan iaitu sebuah eksplorasi babak permulaan, pertengahan dan pengakhiran yang kaya dengan pelbagai cerita yang mengangkat mesej serta mencari kesimpulan.

Penonton akan disajikan dengan perasaan cemas, marah, simpati, takut, sedih, gembira dan keterujaan dalam menikmati dan menghargai sebuah nukilan drama.

Lingkungan emosi berupaya untuk membuatkan penonton mudah menyelami mesej yang cuba disampaikan. Lantas, penyampaian makna menerusi tauladan cerita mampu diadaptasi dalam fikiran dengan mudah.

Begitu juga penonton bakal menikmati perjalanan audio visual diluar konteks cerita iaitu persis kehidupan yang diidamkan kebanyakan orang seperti gaya hidup, perkongsian tempat menarik, penggunaan bahasa, persekitaran alam, hubungan kekeluargaan, keakraban persahabatan dan lain-lain yang berjaya dipinjamkan seketika kepada penonton untuk turut sama menjiwai seolah-olah mereka berada di alam berkenaan.

Lantaran itu, penonton akan diajak menyelinap seketika daripada pengalaman hidup untuk menerokai sesuatu perkara baharu yang berbeza dari kehidupan seharian.

Sebagai contoh babak kebahagiaan antara adik beradik yang ditonjolkan mungkin berbeza dengan pengalaman peribadi. Maka ini adalah peluang untuk meminjamkan pengalaman drama kepada penonton untuk menikmati suasana yang di luar pengalaman mereka dalam kehidupan sebenar.

Kesimpulannya, penonton harus bijak dalam membuat saringan untuk menonton drama berdasarkan minat, masa, tumpuan dan keperluan serta manfaat berupa perkongsian makna dalam kehidupan.

Mungkin ia hanya bersifat sementara dan abstrak tetapi drama turut memainkan peranan dalam membentuk ikhtisar pemikiran dan persepsi individu terhadap mesej kehidupan. Gambaran kehidupan kerap menelusuri penceritaan drama maka mulakan tontonan, menghadam dan menikmatilah kandungan drama dengan sebaiknya.

Yang pasti, dari sudut makna dan keberkesanan drama hanya akan dapat ditentukan oleh penonton berdasarkan kefahaman dan pendirian serta keyakinan mereka.

Apa yang diimpikan, penerbitan drama mampu untuk pergi lebih jauh dalam erti kata mendidik penonton dengan nilai-nilai kemanusiaan secara terancang dan teliti serta selektif bagi memberikan panduan kehidupan yang boleh dicontohi melalui pendekatan audio visual untuk diwariskan kepada generasi akan datang.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.