Calon SPM 2025, ulang kajilah dengan bijak
Sekarang merupakan masa bagi setiap calon untuk mengubah momentum persediaan ke dalam bentuk pencapaian.

KITA sudah berada di ambang peperiksaan besar sekolah menengah iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Menurut statistik Kementerian Pendidikan Malaysia, seramai 413, 372 calon mendaftar pada tahun ini dan sesi peperiksaan kali ini melibatkan 3,350 pusat di seluruh negara.
Maka, minggu-minggu ini boleh diibaratkan seperti pecutan, bukan lagi larian biasa bagi para pelajar Tingkatan 5. Ada pakar berpendapat pada masa ini yang lebih penting adalah bagaimana pelajar-pelajar menggunakan masa yang ada berbanding berapa lama mereka peruntukkan untuk menelaah.
Di sekolah, guru-guru dan para kaunselor mencadangkan rutin yang tenang dan berfokus untuk menghadapi musim peperiksaan ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut tidak ketinggalan menitipkan pesanan kepada calon-calon SPM di mana beliau menyeru ketenangan dan keyakinan perlu ada sebelum memasuki ke dalam dewan peperiksaan.
Sebenarnya, kata-kata Perdana Menteri ini merupakan peringatan bahawa kemantapan dan kestabilan emosi ialah sebahagian daripada kejayaan. Pada saat-saat akhir ini, apakah cara ulangkaji yang baik? Sains kognitif memberi cadangan yang jelas. Kebanyakan kajian berkenaan teknik belajar menyimpulkan latihan ujian seperti ujian kendiri pendek dan kerap atau soalan-soalan peperiksaan lepas dan pengagihan latihan merentasi beberapa hari, merupakan kaedah terbaik dalam mengekalkan ilmu dalam tempoh masa jangka panjang.
Sebaliknya, teknik ulang kaji pasif seperti membaca semula nota membuahkan faedah yang kecil. Dalam erti kata lain, sesi latihan berfokus, pendek dan menggunakan soalan-soalan yang lepas, diikuti dengan semakan pantas atas kesalahan yang dilakukan dan kembali semula kepada topik-topik yang lemah, telah terbukti sebagai pendekatan yang berkesan.
Di samping itu, tip biasa daripada para guru boleh diamalkan. Antaranya ialah buat rancangan ulangkaji terhadap topik-topik tertentu bagi tempoh 7-10 hari, tetapkan waktu mengikut tempoh peperiksaan sebenar semasa menjawab soalan-soalan lepas, semak jawapan untuk perbetulkan kesilapan dan ambil waktu untuk berehat bagi mengelakkan keletihan.
Pakar-pakar mengingatkan untuk tidak menelaah berlebihan pada satu malam. Jadi, rancang masa untuk dapatkan tidur yang konsisten kerana tidur dapat mengukuhkan ingatan. Seterusnya, guru-guru sering mengingatkan kepentingan perancangan dan persediaan asas, misalnya, semak jadual peperiksaan, bawa dokumen pengenalan yang sah dan pastikan tiba di dewan peperiksaan mengikut waktu yang disarankan bagi menghindari tekanan saat akhir.
Kesejahteraan psikologi juga berkait rapat dengan situasi peperiksaan besar sebegini. Agensi kesihatan global menerangkan bahawa kebimbangan dan kemurungan di kalangan anak-anak remaja adalah perkara biasa. Data menunjukkan gangguan kesihatan mental berlaku kepada 14.3 peratus anak-anak muda berusia sekitar 10 hingga 19 tahun dan melalui situasi yang memberi tekanan tinggi memburukkan lagi simptom kesihatan mental ini.
Maka, pihak sekolah disarankan menyediakan perkhidmatan kaunseling pada tempoh ini, menggalakkan sokongan rakan sebaya dan menasihati ibu bapa untuk memantau anak-anak sekiranya berlaku ketidakupayaan tidur, penarikan diri atau panik. Jika muncul ketegangan yang teruk, ibu bapa perlu mendapatkan pertolongan profesional untuk membantu anak tersebut.
Pada tempoh peperiksaan yang memberi tekanan ini, ibu bapa dan masyarakat perlu memainkan peranan yang seimbang bagi menyokong golongan ini, contohnya, mengurangkan tekanan di dalam dan luar rumah, menyediakan makanan yang sihat dan memperuntukkan waktu ulangkaji yang aman.
Selain itu, rutin yang ringkas, tamsilnya, masuk tidur seperti yang disarankan, ada gangguan telefon pintar semasa aktiviti ulangkaji dan menyediakan ruang yang senyap untuk belajar, boleh memberi perubahan ketara kepada fokus dan angin emosi para pelajar. Pada masa yang sama, guru-guru boleh mengadakan kumpulan ulang kaji bagi subjek yang sukar dan sesi individu bagi para pelajar yang memerlukan suntikan keyakinan akhir.
Hari-hari peperiksaan telah tiba, pesanan daripada para pakar adalah mudah dan konsisten iaitu lakukan kaedah latihan ujian, utamakan waktu tidur, jaga kesihatan mental dan lakukan persediaan awal. Dengan terlibatnya 127,526 petugas peperiksaan yang dilantik untuk mengendalikan peperiksaan SPM dan beribu pusat telah tersedia, ia menunjukkan sistem peperiksaan telah berada di tempatnya.
Maka, sekarang merupakan masa bagi setiap calon untuk mengubah momentum persediaan ke dalam bentuk pencapaian, oleh itu wahai calon SPM sekalian, berikan dan buatlah yang terbaik.
Kami, para pendidik dan warga staf Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya mendoakan segala urusan calon-calon SPM 2025 dipermudahkan semasa sesi peperiksaan berlangsung, diberi ketenangan dan keyakinan yang tinggi dan semoga kejayaan itu menjadi milik anda semua.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
