Mata Helang: PRN Sabah – Apabila undi rakyat jadi barang ‘dagangan’

Ini bukan medan untuk eksperimen kuasa atau projek percubaan. Sabah perlukan pemimpin bukan perunding, penguat janji bukan tukar janji atau keberanian bukan kepura-puraan.

Feature Image

PILIHANRAYA Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 seperti segar popcorn ketika menonton filem, tidak pernah dijanjikan adil, malah sekadar lagu lama dalam versi baharu.

Jika anda menaruh harapan untuk melihat perubahan sebenar, bersedia lah untuk berasa kecewa. Sebab realitinya, PRN Sabah ke-17 bukan medan untuk pemimpin ikhlas merebut mandat tetapi medan pedagang kuasa saling berpaut iaitu tawar-menawar seperti menjual ikan di pasar malam.

Tengok senarionya. Parti besar rasa yakin. Parti kecil merangkul keghairahan. Calon bebas menghulurkan senyuman. “Pilihan raya untuk rakyat,” katanya, “Dukungan untuk Sabah,” katanya tapi ketika lobi malam selepas undi, semua itu dibalut dalam kertas tandatangan, janji jawatan dan slogan kosong. Ketika itu, suara rakyat hilang, diganti dengan bunyi deru enjin kereta mewah dan bisikan ‘apa syarat, bro?’.

Kerusi Banyak, Kuasa Rahsia

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ada 73 kerusi. Untuk majoriti mutlak perlu 37 kerusi tapi lihat proses penamaan calon, persaingan sengit di hampir setiap kerusi, ramai calon (bukan dua, bukan tiga) tetapi empat, lima, kadang-kadang enam penjuru. Ada yang sampai 14 penjuru. Bila undi tercurah, pecahan undi hampir pasti. Pecah undi, terlalu sukar untuk mana-mana gabungan mendapat majoriti.

Bila majoriti gagal dikecapi? Maka mula bergulung meja, perbincangan tertutup, janji manis, konsesi halus atau ‘insentif khusus’ bagi calon bebas dan parti kecil. Parti Warisan Sabah (Warisan) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS)? Mungkin paling hampir tapi memerlukan talian mudah kepada bekas musuh politik, wakil kaum kecil, kaum minoriti, pemimpin luar bandar yang kini jadi ‘kingmaker’. Itulah realiti Sabah, kuasa bukan datang daripada undi tetapi siapa paling pintar berunding menghimpun serpihan.

Kenapa Sabah Tidak Pernah Stabil?

Ini adalah kerana asas pemerintahan di Sabah ialah perjanjian bipolar, bukan ideologi tetapi kepentingan kaum, pangkat, kontrak, kuasa tempatan. Bila kuasa berpaut pada janji dan konsesi, bukannya mandat rakyat, pemerintahan akan rapuh sejak awal. Projek besar tertangguh, pelaburan luar takut datang, pembangunan lambat, rasuah mudah merebak. Itu bukan ramalan tapi itu sejarah yang sudah berulang.

Lebih parah: bila kerajaan dibentuk oleh gabungan longgar, siapa yang berani tukar dasar besar? Siapa berani benarkan tuntutan hak negeri seperti 40 peratus hasil negeri, autonomi tanah adat, hak Sabah dalam perjanjian Persekutuan? Jawapannya, tiada. Sebab kuasa itu dah dijual dengan kerusi, bukan prinsip.

Pemimpin atau Pembekal Kuasa?

PRN kali ini bukan soal siapa paling layak memimpin. Ia soal siapa paling pandai licik, pandai merayu sokongan, pandai ‘cover up’ identiti sebenar. Parti nasional masuk dengan harapan kuasa pusat, parti tempatan masuk dengan harapan sokongan akar umbi, calon bebas dengan harapan jadi penguji undi. Tiada yang benar-benar membawa identiti rakyat Sabah tetapi identiti politikus Malaysia.

Kita tahu siapa pemimpin sebenar? Mereka yang berani tegas bila mudah, bukan bila susah tapi di Sabah, calon-calon takut tegas sebab takut hilang sokongan daripada rakan runding mereka. Jadi mereka memilih untuk senyap mengenai isu besar terutama yang melibatkan hak negeri dan autonomi. Tidak ada manifesto jujur, hanya janji lisan dan plak poster penuh gambar.

Deklamasi Politik dan Budaya Janji Ringan

Jika ditanya “Siapa calon paling berintegriti?”, ramai akan mengangkat suara menuntut nama lama yang pernah berkhidmat tetapi ironinya, banyak nama itu terus dipecat, dipinggirkan atau dipinggirkan secara senyap. Kenapa? Sebab integriti tidak menjanjikan kuasa. Sebab jualan kerusi lebih laku daripada integriti.

Dalam pilihan raya, yang dijual ialah masa depan rakyat, bukan masa depan pemimpin tetapi kita biarkan. Kita masih anggap pilihan ‘antara parti’ sebagai perubahan. Padahal, perubahan sebenar memerlukan pilihan ‘antara prinsip’, bukan ‘antara parti’.

Rakyat Sabah – Jangan Terkejut Jika Dikhianati Dua Kali

Jika selepas ini anda lihat kerajaan baharu Sabah dibentuk dengan tiga atau empat blok, dengan menteri daripada parti pelbagai warna, jangan terkejut. Itu bukan anomali. Itu episod biasa.

Bila kerajaan rapuh itu berdiri, siapa yang akan sedar? Rakyat Sabah akan sedar bila projek tertangguh. Bila tanah adat terus dirampas. Bila hasil negeri tidak sampai ke rakyat. Bila pelaburan luar takut masuk sebab kestabilan politik diragui dan paling parah bila suara rakyat yang punyai harapan besar dibuang dalam timbunan rundingan.

Rakyat akan sedar pilihan awal tidak sama dengan pilihan akhir. Undi bukan lagi amanah tetapi komoditi yang dijual, ditukar dan diperjanjikan.

Sabah Perlu Pemimpin, Bukan Perunding — Bukan Pekung Tukar Kuasa

Malaysia mungkin pernah berdepan politik belah bahagi tetapi Sabah mempunyai isu tersendiri iaitu kepelbagaian kaum, kekayaan sumber, persaingan hak negeri dan pusat. Ini bukan medan untuk eksperimen kuasa atau projek percubaan. Sabah perlukan pemimpin bukan perunding, penguat janji bukan tukar janji atau keberanian bukan kepura-puraan.

Jika parti masuk Sabah hanya sebab mahu kuasa atau angka, rakyat silap jika memilih mereka. Jika calon bertanding atas nama rakyat tetapi menggunakan rundingan wang dan janji kosong, itu pengkhianat.

Sabah tidak layak dikecoh, ditukar-tukar dan dijual seperti aset lelong. Hak Sabah bukan benda tukar beli. Kuasa dan mandat bukan upah mudah.

Ramalan Kelam: Kita Belum Selesai, Sabah Masih Menunggu

Malam Sabtu mungkin menamatkan kempen tetapi ia hanya permulaan kepada tawar-menawar politik. Sabah tidak akan bangun dengan kemenangan besar. Sabah mungkin bangkit dengan kerajaan rapuh, janji kosong dan rundingan tertutup tetapi jika pengundi Sabah bangkit, tanyakan soalan sukar semasa pilihan raya, nilai tindakan sebelum cerita mungkin masih ada harapan.

Harapan bahawa undi bukan lagi komoditi tetapi amanah. Harapan bahawa Sabah bukan lagi tanah rundingan tetapi tanah hak dan martabat. Sehingga itu terjadi, politik Sabah akan terus jadi panggung, bukan panggung harapan tetapi panggung tipuan.