Tetap positif walau badai melanda

Al-Quran dan sunah hadir sebagai cahaya yang membimbing langkah agar kita tidak tersesat dalam gelapnya ujian.

Feature Image (2)

HIDUP sering digambarkan sebagai sebuah perjalanan panjang yang penuh dengan selekoh tajam, jalan yang tidak rata dan cuaca yang sukar dijangka. Setiap insan pasti akan melalui badai kesukaran dalam bentuk berbeza sama ada melibatkan kesihatan, kewangan, kerjaya, mahupun hubungan.

Dalam menghadapi masa depan yang penuh cabaran ini, timbul persoalan penting iaitu apakah tindakan yang wajar kita ambil dan ke manakah harus kita mencari jalan keluar?.

Hakikatnya, manusia tidak mampu mengawal sesuatu yang berada di luar kekuasaannya. Apa yang boleh dilakukan hanyalah bersiap siaga, bertahan dan mengambil langkah yang bijak untuk melindungi diri. Kita tidak mampu menghentikan hujan daripada turun, namun kita boleh mencari tempat berteduh agar kekal selamat dan kering.

Begitu jugalah hakikat kehidupan. Tiada siapa dapat menolak kehadiran ujian atau menghentikan cabaran yang mendatang. Namun manusia mampu menempuhnya dengan bekalan kekuatan iman, ketenangan hati dan kebijaksanaan dalam mengurus emosi.

Sesungguhnya Allah tidak pernah membiarkan manusia terkapai tanpa panduan. Al-Quran dan sunah hadir sebagai cahaya yang membimbing langkah agar kita tidak tersesat dalam gelapnya ujian. Melalui panduan ini, seseorang dapat membina benteng dalaman yang kukuh sehingga tetap teguh meskipun badai kehidupan bertiup dengan kencang.

Fokus kepada perkara positif adalah kunci

Prinsip utama yang boleh menjadi pelindung jiwa dalam menghadapi cabaran ialah kemampuan melihat segala yang berlaku melalui sudut pandang yang positif. Timbul pula persoalan, bagaimana mungkin seseorang mengekalkan fikiran positif dalam suasana dunia hari ini yang sarat dengan tekanan?.

Jawapannya terletak pada fokus hidup kita. Apabila fokus manusia adalah Allah SWT, segala ujian akan terasa lebih ringan. Fokus yang benar akan memandu hati untuk melihat hikmah di sebalik cabaran dan bukan hanya melihat kesulitannya.

Dalam dunia yang semakin mencabar, kemampuan untuk kekal positif bukan lagi sekadar pilihan sampingan tetapi satu keperluan asas untuk membina ketahanan mental dan spiritual. Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2024 menunjukkan peningkatan ketara dalam masalah kesihatan mental, dengan lebih 436,000 individu direkodkan mengalami simptom stres, keresahan dan depresi hasil saringan kesihatan awam.

Trend ini dijangka meningkat pada tahun 2025 sekiranya langkah pencegahan dan sokongan psikososial tidak diperkukuh. Dalam suasana yang menekan ini, Allah mengingatkan kita melalui firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 159 bahawa apabila seseorang telah berusaha dan berserah kepada Allah, maka Allah akan memimpin hatinya dengan ketenangan dan kasih sayang. Ini menunjukkan bahawa positiviti bukan sekadar sikap yang bersifat luaran tetapi cahaya dalaman yang memelihara hati daripada keputusasaan.

Dalam membina positiviti, fokus memainkan peranan yang amat besar. Sesuatu yang menjadi fokus kita akan membesar dalam jiwa dan mempengaruhi cara kita bertindak. Kisah Nabi Musa AS ketika baginda dan kaumnya dikejar tentera Firaun adalah contoh paling jelas tentang bagaimana fokus mampu menentukan arah kehidupan seseorang.

Ketika Bani Israil melihat derapan kuda dan ancaman maut yang semakin menghampiri, hati mereka dipenuhi rasa gentar sehingga mereka berkata bahawa mereka pasti akan tertangkap. Namun Nabi Musa melihat sesuatu yang jauh lebih besar daripada ancaman di hadapannya. Baginda tidak menumpukan perhatian kepada bahaya itu, sebaliknya memusatkan fokus kepada Tuhan yang berkuasa atas segala sesuatu. Dengan penuh keyakinan, baginda berkata bahawa Tuhannya sentiasa bersama dan akan memberikan petunjuk.

Fokus inilah, iaitu fokus kepada pertolongan Allah dan bukan kepada ancaman manusia, yang akhirnya membuka jalan laut yang luas sebagai tempat penyelamatan. Peristiwa itu bukan sahaja mukjizat yang berlaku di hadapan mata tetapi juga gambaran mukjizat ketenangan jiwa.

Ia mengajar manusia bahawa hati yang memberi tumpuan kepada Allah akan diperkuatkan dengan keyakinan yang teguh sehingga mampu melihat jalan keluar walaupun di hadapannya hanya kelihatan dinding air dan bahaya yang mengancam.

Ibnu Qayyim al-Jawziyyah menegaskan bahawa hati akan mati apabila dipenuhi perkara selain daripada mengingati Allah. Kata-kata ini menjadi peringatan bahawa fokus spiritual bukan sekadar amalan rohani tetapi sumber kekuatan psikologi yang paling mendalam.

Apabila hati dipenuhi zikir dan pergantungan kepada Allah, ketakutan akan mengecil, keyakinan akan mengembang dan setiap keputusan dapat dibuat dengan tenang. Inilah kekuatan sebenar yang tidak mungkin dicapai jika manusia hanya bergantung kepada kemampuan dirinya semata mata.

Setiap ujian adalah pengajaran dan mempunyai hikmah tersendiri

Seterusnya, Allah menjelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 155 hingga 157 bahawa ujian adalah sebahagian daripada tarbiah Ilahi yang membentuk jiwa menjadi lebih matang, tenang dan kuat. Kisah Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan mengorbankan anaknya Ismail AS adalah gambaran kemuncak ketundukan, tawakal dan kepatuhan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah.

Ujian itu bukan sahaja mengukur ketaatan tetapi mengukuhkan kebergantungan seorang hamba kepada Tuhannya. Dengan memahami keadaan emosi kita sewaktu melalui ujian, kita sebenarnya sedang menyaksikan kekuatan dalaman yang Allah sembunyikan di sebalik setiap kesakitan. Seperti awan mendung yang tetap memiliki cahaya di tepian, begitu jugalah hati yang sabar akan menemukan rahmah Allah di saat paling tidak dijangka.

Setiap dugaan yang datang membawa hikmah tersendiri yang perlu dicari, bukan sekadar ditangisi. Allah mengingatkan dalam surah al-Anfal ayat 53 bahawa perubahan nikmat bermula daripada perubahan sikap manusia itu sendiri. Kisah Hajar yang ditinggalkan bersama anak kecilnya di padang pasir tandus menunjukkan bahawa usaha dan tawakal tidak pernah sia-sia. Hentakan kaki kecil Nabi Ismail AS menjadi sebab lahirnya mata air zam zam yang tidak pernah kering hingga ke hari ini.

Akhirnya, kehidupan tidak pernah menjanjikan kesempurnaan. Namun ia sentiasa menawarkan peluang untuk memperbaiki diri. Dengan fokus yang benar, doa yang berterusan, kesyukuran yang ikhlas, sokongan sosial dan perlindungan daripada Allah melalui zikir serta amal ibadah, setiap insan mampu menghadapi apa sahaja cabaran yang datang. Dunia mungkin penuh tribulasi tetapi hati yang yakin kepada Allah akan sentiasa menemui jalan keluar.