Papa Zola dedah realiti penggiat gig

Filem ini mengangkat kesungguhan seorang ketua keluarga dalam memastikan kebahagiaan insan-insan tersayang, walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran hidup.

Feature Image (1)

FILEM Papa Zola The Movie, yang mula ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia bermula 11 Disember 2025, hadir dengan lebih daripada sekadar hiburan visual.

Di sebalik kisah animasi fiksyen sains dan komedi yang menghiburkan, filem ini menyorot realiti kehidupan penggiat ekonomi gig serta membuka ruang perbincangan tentang sisi kemanusiaan dalam ekonomi digital.

Filem ini mengangkat kesungguhan seorang ketua keluarga dalam memastikan kebahagiaan insan-insan tersayang, walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran hidup.

Watak Papazola digambarkan sebagai seorang bapa yang mencari rezeki sebagai penggiat gig, dengan menghantar makanan kepada pelanggan serta melalukan beberapa kerja sampingan yang lain demi kelangsungan hidup keluarganya. Gambaran ini mencerminkan realiti ramai pekerja gig yang bergelut dengan pendapatan yang tidak menentu dan keperluan untuk melakukan lebih daripada satu pekerjaan.

Melalui penceritaan ini, penonton didedahkan dengan cabaran sebenar yang sering dihadapi oleh penggiat gig. Bermula daripada menerima tugasan, menunggu makanan disiapkan, memastikan pesanan dihantar dalam keadaan baik dan selamat, sehinggalah berhadapan tekanan masa dan jangkaan tinggi oleh para pelanggan.

Semua ini menggambarkan realiti yang jarang difahami secara menyeluruh oleh masyarakat. Ia menonjolkan beban kerja penggiat gig yang jarang kelihatan, tekanan emosi dan fizikal yang dilalui serta tuntutan masa yang sering diabaikan dalam naratif umum tentang pekerjaan gig.

Tidak semua tugasan dan perjalanan penghantaran akan berjalan dengan lancar. Adakalanya penggiat gig diuji dengan pelbagai halangan yang berada di luar kawalan mereka. Namun, usaha dan komitmen mereka tetap diteruskan demi memenuhi amanah yang dipertanggungjawabkan.

Ketabahan ini menjadikan mereka antara penyumbang penting dalam ekosistem ekonomi gig, meskipun jarang diberi pengiktirafan sewajarnya. Dalam konteks cerita ini, Papa Zola secara halus mengetengahkan kepentingan sikap amanah dan kesungguhan dalam menjalankan tugasan penghantaran.

Walaupun dimarahi pelanggan, Papa Zola tetap bersabar dan pulang dengan tenang, serta tidak membawa pulang masalah ke rumah, malah, menjadikan pengalaman itu sebagai peluang untuk membawa kegembiraan kepada keluarganya.

Di sini, konsep ihsan dalam penggunaan platform digital diketengahkan, di mana setiap pihak sama ada penggiat gig, pengguna, mahupun penyedia platform, digalakkan mengamalkan ketelusan dan mengelakkan sikap menghukum. Kesilapan kecil seharusnya dijadikan ruang untuk perbincangan dan penambahbaikan bersama, bukan alasan untuk menjatuhkan mana-mana pihak.

Ekosistem gig yang matang dan sihat hanya dapat dibina melalui budaya saling menghormati, usaha memperbaiki bersama, dan memahami batasan tugas serta bidang masing-masing. Sikap saling memahami dan menyantuni inilah yang menjadi asas kepada hubungan lebih manusiawi dalam dunia kerja tidak formal.

Papa Zola bukan sekadar animasi, ia cermin realiti penggiat gig dan mengingatkan kita bahawa ekosistem gig hanya boleh berkembang jika semua pihak memainkan peranan masing-masing. Ihsan, empati dan saling memahami adalah kunci untuk menghadapi cabaran dan memanfaatkan peluang dalam dunia kerja tidak formal ini.

Akhirnya, filem ini mengajak kita melihat penggiat gig bukan sekadar penyampai pesanan tetapi sebagai individu yang membawa harapan, tanggungjawab dan perjuangan dalam hidup mereka serta memberi impak kepada masyarakat secara keseluruhan.