Jadikan al-Quran sebagai syifa’ dalam mencari penawar tekanan hidup
Dalam keadaan dunia yang semakin menekan ini, timbul satu persoalan besar iaitu adakah manusia hari ini sebenarnya kekurangan rawatan atau kekurangan ketenangan?.

DUNIA hari ini semakin canggih tetapi jiwa manusia semakin letih. Ramai tidak penat kerana kerja fizikal, sebaliknya penat kerana tekanan emosi yang berpanjangan.
Tuntutan kerja tanpa henti, masalah kewangan, konflik keluarga, kesunyian emosi serta perbandingan di media sosial menjadikan kemurungan dan keresahan sebagai masalah senyap zaman moden. Di Malaysia, isu kesihatan mental semakin mendapat perhatian. Kes tekanan emosi, kecederaan kendiri dan bunuh diri sering dilaporkan.
Namun, apa yang lebih membimbangkan ialah ramai yang menderita secara senyap. Mereka takut bersuara kerana bimbang dilabel lemah, tidak bersyukur atau kurang iman. Akibatnya, luka di dalam hati semakin dalam tanpa rawatan.
Hakikatnya, kesihatan mental bukan tanda kelemahan. Jiwa manusia boleh sakit sebagaimana tubuh boleh sakit. Islam sendiri mengiktiraf bahawa manusia diciptakan dalam keadaan lemah dan memerlukan sokongan bukan hanya daripada manusia, tetapi juga daripada Allah SWT. Dalam keadaan dunia yang semakin menekan ini, timbul satu persoalan besar iaitu adakah manusia hari ini sebenarnya kekurangan rawatan atau kekurangan ketenangan?.
Al-quran sering difahami sebagai kitab ibadah semata-mata, dibaca dalam solat atau majlis keagamaan. Namun hakikatnya, al-Quran diturunkan sebagai panduan hidup yang lengkap, termasuk sebagai penawar kepada luka jiwa.
Allah SWT menyebut bahawa al-Quran adalah syifa’ dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Perkataan syifa’ membawa maksud penyembuhan yang menyeluruh. Ia bukan sekadar untuk penyakit fizikal tetapi juga penyakit hati seperti keresahan, kesedihan melampau, trauma, ketakutan dan rasa putus asa.
Kemurungan bukan sekadar rasa sedih biasa. Ia boleh menyebabkan seseorang hilang minat hidup, keletihan berpanjangan, gangguan tidur, rasa tidak berguna dan hilang harapan terhadap masa depan. Ramai penghidap kemurungan kelihatan baik-baik sahaja di luar di mana mereka bekerja, tersenyum dan bergaul seperti biasa, namun di dalam diri, mereka sedang berperang dengan suara negatif yang berulang-ulang.
Islam tidak pernah melihat kemurungan sebagai tanda iman lemah. Rasulullah SAW sendiri pernah melalui episod kesedihan dan tekanan emosi yang sangat berat. Ini menunjukkan bahawa perasaan lemah adalah fitrah manusia dan Islam hadir untuk membimbing serta menenangkan, bukan menghukum.
Al-Quran memainkan peranan besar dalam menenangkan hati yang gelisah. Bacaan ayat-ayatnya, dengan susunan bahasa dan ritma yang indah, mampu memberi rasa aman walaupun seseorang belum memahami sepenuhnya maknanya. Jiwa terasa lebih tenang, seolah-olah tidak lagi bersendirian. Allah SWT menegaskan bahawa dengan mengingati-Nya, hati akan menjadi tenang.
Selain menenangkan, al-Quran juga menghidupkan kembali harapan yang hampir padam. Salah satu tanda kemurungan paling berbahaya ialah rasa putus asa. Al-Quran berulang kali mengingatkan bahawa rahmat Allah sentiasa terbuka dan manusia tidak dibenarkan berputus asa. Ayat-ayat ini sering menjadi kekuatan bagi mereka yang hampir menyerah kepada kehidupan.
Al-Quran turut membantu manusia membina semula makna hidup. Apabila seseorang kehilangan arah akibat kegagalan, kehilangan atau penderitaan, Al-Quran mengajar bahawa hidup ini adalah satu perjalanan ujian dan pembentukan diri.
Kesakitan bukan tanda kegagalan tetapi sebahagian daripada proses kehidupan yang mengandungi hikmah. Ramai individu yang mengalami kemurungan juga merasa sangat keseorangan. Dalam keadaan ini, al-Quran meneguhkan keyakinan bahawa Allah sentiasa dekat dan mendengar luahan hamba-Nya. Kesedaran bahawa seseorang tidak pernah benar-benar bersendirian memberi kekuatan emosi yang besar.
Pendekatan rawatan kesihatan mental hari ini semakin menekankan rawatan holistik iaitu gabungan perubatan moden, terapi psikologi, sokongan sosial dan dimensi spiritual. Al-Quran bukan pengganti rawatan klinikal, tetapi pelengkap yang penting dalam proses penyembuhan jiwa. Dalam dunia yang semakin bising dan menekan, ramai mencari ketenangan di luar, namun sering kecewa.
Al-Quran mengajak manusia kembali kepada fitrah asal di mana jiwa yang tenang apabila mengingati Allah dan kuat apabila bersandar kepada-Nya. Di dalamnya terkandung syifa’ yang menenangkan hati, menghidupkan harapan dan membantu manusia bangkit semula dengan lebih tenang dan bermakna.

