Tangani isu kenaikan minyak global dengan berhemah, bijak

Sekatan terhadap laluan Selat Hormuz telah memberi impak negatif terhadap krisis tenaga global dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat di pelbagai negara.

Feature Image (4)

KONFLIK Asia Barat yang masih berlangsung tanpa noktah untuk menamatkan peperangan telah meninggalkan impak yang besar terhadap ekonomi global khususnya permintaan terhadap bahan mentah yang semakin meruncing. Laluan Selat Hormuz yang merupakan laluan maritim penting bagi pengangkutan minyak dan gas asli cecair (LNG) yang dikawal oleh Iran, berfungsi sebagai laluan utama bagi kapal-kapal dari seluruh dunia untuk memperolehi bekalan minyak mentah.

Namun sekatan yang dikenakan oleh Iran terhadap laluan tersebut telah mengakibatkan kenaikan harga minyak global di awal tahun 2026. Keadaan ini telah menimbulkan kebimbangan global kerana bekalan minyak mentah yang merupakan salah satu keperluan asas yang berperanan sebagai nadi penggerak ekonomi dalam sesebuah negara, telah mula disekat oleh negara Iran.

Sekatan terhadap laluan strategik tersebut bukan sahaja menjejaskan kestabilan bekalan tenaga, malah turut meningkatkan tekanan terhadap permintaan global yang semakin meruncing serta menyukarkan akses kepada sumber tersebut. Kesan daripada krisis ini dapat dilihat melalui langkah-langkah yang diambil oleh beberapa negara seperti Thailand, Filipina, Myanmar dan Indonesia, yang mula melaksanakan kawalan penggunaan bahan api melalui catuan, penjimatan tenaga serta sekatan terhadap aktiviti harian.

Situasi ini memperlihatkan bahawa sekatan terhadap laluan Selat Hormuz telah memberi impak negatif terhadap krisis tenaga global dan memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat di pelbagai negara.

Bagi mengurangkan pembaziran penggunaan minyak mentah, pelbagai langkah penjimatan telah dilaksanakan oleh negara-negara di Asia Tenggara. Antaranya termasuk pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (WFH), pengurangan penggunaan penghawa dingin serta pelonggaran kod pakaian rasmi bagi menyesuaikan diri dengan suhu tinggi khususnya di negara seperti Thailand, Indonesia, Malaysia dan Filipina. Langkah ini bertujuan bagi mengurangkan penggunaan bahan api secara berlebihan serta memastikan kelestarian sumber tenaga dalam keadaan krisis.

Sebagai contohnya di Myanmar, kerajaan telah melaksanakan sistem catuan bahan api yang melibatkan kenderaan persendirian, dan kenderaan hanya dibenarkan berada di jalan raya mengikut tarikh tertentu. Walau bagaimanapun sekatan tersebut tidak dikenakan terhadap kenderaan elektrik manakala kerajaan Bangladesh telah mula mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak 30 peratus bagi kegunaan Perdana Menteri dan menteri kabinet. Malah beberapa universiti termasuk Universiti Dhaka telah ditutup sementara bagi menjimatkan penggunaan tenaga, di samping menghentikan perkhidmatan bas sekolah.

Situasi di atas menunjukkan bahawa kenaikan harga minyak global bukan fenomena yang hanya terhad di Malaysia atau bersifat setempat, sebaliknya ia telah menjadi cabaran global yang memberi kesan secara langsung terhadap kestabilan ekonomi dunia. Lonjakan harga minyak global sehingga 25 peratus telah meningkatkan tekanan terhadap kos sara hidup serta operasi ekonomi di pelbagai negara.

Kegawatan ekonomi global yang dihadapi oleh seluruh dunia ini menunjukkan betapa krisis ini menjadi semakin serius, sekali gus menuntut kefahaman masyarakat terhadap kepentingan mematuhi langkah penjimatan bahan api dan amalan berjimat cermat yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan.

Di dalam konteks Malaysia, kesan krisis bekalan dan kenaikan harga minyak mungkin tidak seteruk situasi yang dialami oleh penduduk di beberapa negara lain memandangkan rakyat masih berupaya mendapat bahan api dengan bebas tanpa dikenakan sistem catuan.

Langkah penjimatan yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia iaitu BUDI95 dan fleet card yang diberikan khususnya kepada warganegara Malaysia yang memiliki kad pengenalan dan lesen memandu sebagai usaha mengurangkan beban kos akibat peningkatan harga minyak mentah. Langkah-langkah ini menunjukkan pendekatan proaktif dalam mengurus impak krisis tenaga global serta memastikan kesejahteraan ekonomi rakyat terus terpelihara.

Tangani dengan sabar, syukur dan bijak

Selaras dengan peningkatan harga bahan api yang berlaku di seluruh dunia termasuk Malaysia, pelbagai reaksi dapat diperhatikan dalam kalangan masyarakat khususnya dalam menghadapi suasana ekonomi yang tidak menentu akibat daripada konflik di Asia-Barat. Dalam konteks ini, media sosial telah menjadi platform utama untuk rakyat menzahirkan pandangan dan reaksi mereka terhadap situasi semasa.

Reaksi yang ditunjukkan sama ada berbentuk positif atau negatif terhadap suasana yang dihadapi pada hari ini adalah merupakan manifestasi kepada tiga kecenderungan utama dalam diri manusia.
i. Kecenderungan intelektual iaitu individu yang berupaya berfikir secara rasional dan kritis serta mengemukakan pandangan yang konstruktif terhadap isu yang berlaku,
ii. Sikap tidak ambil peduli iaitu tiada pandangan khusus dalam isu yang berlaku dan tidak cakna terhadap isu semasa khususnya melibatkan isu global
iii. Kecenderungan mengkritik secara berlebihan; iaitu sentiasa melihat kelemahan dan keburukan terhadap pelbagai usaha yang dilakukan untuk mengurangkan krisis kenaikan harga minyak mentah.

Dalam konteks masyarakat di Malaysia, isu ini sewajarnya difahami sebagai satu isu global yang perlu kepada pengetahuan umum yang mencukupi untuk meningkatkan kesedaran terhadap keseriusan impak daripada krisis Asia Barat terhadap ekonomi dunia, termasuk Malaysia.

Isu kenaikan harga bahan api tidak boleh dilihat sebagai permasalahan setempat semata-mata, sebaliknya merupakan cabaran berskala global yang melibatkan pelbagai negara dan sistem ekonomi yang saling berkait. Lebih membimbangkan apabila isu kenaikan harga bahan api global turut dimanipulasi oleh golongan tertentu sebagai naratif politik untuk kepentingan masing-masing.

Tindakan ini bukan sahaja mengaburkan kefahaman sebenar masyarakat terhadap punca krisis, malah berpotensi menyemarakkan sentimen kebencian, penyebaran fitnah serta penularan maklumat palsu terhadap sistem governan, khususnya dalam suasana ekonomi global yang semakin meruncing.

Isu krisis ekonomi global wajar ditangani secara bijaksana dan berhemah, khususnya melalui usaha mendidik ahli keluarga, rakan sekerja dan masyarakat tentang implikasi negatif krisis tersebut terhadap kelangsungan kehidupan, peluang pekerjaan serta kestabilan kewangan individu dan komuniti. Kefahaman yang menyeluruh mengenai kesan krisis di Asia Barat adalah penting bagi membentuk sikap responsif dan bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan dengan itu, masyarakat perlu dipupuk dengan nilai sentiasa bersyukur dan qanā‘ah (merasa cukup) terhadap nikmat yang masih dinikmati. Antaranya termasuk kebebasan menggunakan kenderaan tanpa catuan bahan api, harga bahan api yang relatif terkawal, serta ketiadaan had jarak perjalanan.

Sifat bersyukur telah dinyatakan oleh Allah dalam Surah al-Naml ayat 40 yang bermaksud: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya.”