Bertempat bila menyokong rakan sekerja dengan anak autistik
Sokongan kecil yang kita berikan boleh menjadi ruang selamat bagi mereka untuk bernafas seketika.

DALAM dunia pekerjaan yang bergerak laju tanpa menunggu sesiapa, kita sering terlupa bahawa di sebalik setiap senyuman profesional dan rutin harian, ada jiwa yang sedang berjuang dalam diam dengan membawa beban yang tidak semua orang nampak, apatah lagi faham.
Di sebalik rutin harian itu, tersimpan kisah yang tidak semua mata mampu lihat. Ada yang pulang ke rumah bukan sekadar berehat tetapi menyambung satu lagi tanggungjawab yang menuntut kekuatan emosi yang luar biasa, iaitu membesarkan anak autistik.
Bagi ibu bapa ini, setiap hari bukan sekadar rutin biasa. Setiap hari mereka adalah perjalanan yang dipenuhi dengan cabaran komunikasi, keperluan terapi yang berterusan, keletihan emosi dan kadangkala kesunyian yang sukar dijelaskan.
Dalam perspektif psikologi klinikal, ini dikenali sebagai ‘chronic caregiving stress’, tekanan berpanjangan yang boleh memberi kesan kepada kesejahteraan mental jika tidak disokong dengan sistem sosial yang kukuh.
Di sinilah peranan kita sebagai rakan sekerja menjadi lebih daripada sekadar hubungan profesional. Sokongan kecil yang kita berikan boleh menjadi ruang selamat bagi mereka untuk bernafas seketika.
Langkah pertama yang paling penting ialah membina empati yang tulus. Dalam kaunseling, empati bukan sekadar memahami secara logik, tetapi ‘hadir’ bersama emosi seseorang tanpa cuba membetulkan atau menilai.
Kadangkala, kita tidak perlu jawapan yang sempurna. Cukup dengan kehadiran yang memahami. Seperti dalam pendekatan person-centered oleh Carl Rogers, penerimaan tanpa syarat (unconditional positive regard) adalah asas kepada penyembuhan emosi.
Apabila rakan sekerja berkongsi tentang anak mereka, amalkan ‘active listening’. Dengarkan tanpa mencelah, tanpa segera memberi solusi, tanpa membandingkan dengan kisah orang lain. Elakkan ayat seperti “cuba buat ini” atau “anak orang lain okay je” kerana ini boleh membuatkan mereka berasa tidak difahami.
Sebaliknya, gunakan respons reflektif seperti, “Saya dengar ini memang berat untuk awak” atau “Mesti penat hadap semua ini seorang.” Dalam kaunseling, refleksi emosi ini membantu individu merasa divalidasi dan kurang bersendirian.
Pada masa sama, fleksibiliti di tempat kerja adalah satu bentuk sokongan yang sangat besar nilainya. Memahami jika mereka perlu menghadiri sesi terapi anak, mengambil cuti kecemasan atau datang lewat bukanlah satu kelemahan tetapi satu bentuk kemanusiaan. Dari sudut psikososial, persekitaran kerja yang menyokong dapat mengurangkan risiko burnout dan meningkatkan daya tahan emosi seseorang.
Namun, dalam usaha untuk menyokong, kita juga perlu berhati-hati dengan kata-kata. Ada ayat yang kelihatan ringan tetapi boleh menyentuh luka yang dalam. Ungkapan seperti “Nampak normal sahaja” atau “Nanti besar okay lah tu” mungkin berniat baik tetapi secara tidak langsung menafikan realiti perjuangan mereka.
Dalam etika kaunseling, ini dikenali sebagai ‘minimizing experience’, iaitu merendahkan pengalaman emosi seseorang tanpa disedari. Sebaliknya, pilihlah bahasa yang lebih lembut dan menghormati. Kadangkala, diam yang memahami lebih bermakna daripada kata-kata yang tergesa-gesa.
Dari perspektif Islam, setiap anak adalah amanah yang Allah titipkan dengan hikmah yang tersendiri. Anak autistik bukan satu kekurangan, sebaliknya adalah satu bentuk ujian yang hadir bersama nilai, makna dan ganjaran yang besar di sisi-Nya. Hal ini mengajar tentang sabar, keikhlasan dan kekuatan dalaman serta membawa seseorang lebih dekat kepada Allah melalui perjalanan yang penuh makna.
Sebagai rakan sekerja, kita mungkin tidak mampu meringankan keseluruhan beban mereka tetapi kita boleh menjadi sebahagian daripada rahmat itu dengan melalui sikap memahami, tidak menghakimi dan sentiasa memberi ruang.
Kita juga boleh mengambil inisiatif untuk meningkatkan kesedaran tentang autisme di tempat kerja. Apabila kita faham bahawa autisme adalah spektrum yang luas, kita akan lebih berhati-hati dalam menilai dan lebih lembut dalam berinteraksi. Kesedaran ini bukan sahaja membantu ibu bapa tetapi juga membina budaya kerja yang lebih inklusif dan penuh ihsan.
Dalam masa yang sama, kita juga perlu mengelakkan kecenderungan untuk membandingkan. Membandingkan anak mereka dengan kanak-kanak lain walaupun secara tidak langsung boleh melukai hati ibu bapa tanpa kita sedari. Dalam psikologi, perbandingan sosial yang tidak sensitif boleh meningkatkan rasa terasing dan tidak cukup baik, bukan sahaja kepada ibu bapa tetapi juga kepada anak itu sendiri.
Apa yang lebih membantu adalah usaha untuk melayan mereka secara sama rata tanpa membezakan atau memberi layanan berlebihan yang boleh membuatkan mereka berasa ‘lain’. Normalisasi adalah kunci untuk melihat anak autisme sebagai individu yang unik, bukan sebagai sesuatu yang perlu dikasihani atau dijauhkan.
Apabila kita bersikap biasa, menerima mereka dalam ruang sosial yang sama, kita sebenarnya sedang membantu ibu bapa merasa diterima dan tidak keseorangan. Kadangkala, apa yang paling menyentuh bukanlah bantuan besar tetapi rasa bahawa anak mereka tidak dipandang asing oleh dunia sekeliling.
Akhirnya, sokongan tidak semestinya hadir dalam bentuk yang besar atau dramatik. Kadangkala, ia hadir dalam bentuk paling sederhana seperti bertanya khabar dengan ikhlas, menawarkan bantuan kecil atau sekadar tidak mempersoalkan keadaan mereka kerana dalam diam, mereka sedang berjuang setiap hari dan mungkin, apa yang mereka perlukan bukan seseorang yang memahami sepenuhnya tetapi seseorang yang sudi untuk tetap ada.
Setiap kesabaran yang tidak dilihat manusia, tidak pernah terlepas daripada pandangan Allah. Mungkin lelah itu tidak difahami orang sekeliling tetapi dihitung sebagai pahala yang berlipat ganda. Seperti yang sering diingatkan dalam dunia kaunseling dan kehidupan, “Kehadiran yang ikhlas mampu menyembuhkan luka yang tidak terlihat.”
Kadangkala, menjadi ‘hadir’ itu sudah cukup sebagai tanda sokongan yang paling tulus dan menenangkan.

