Projek BacaBaca raikan perjalanan literasi transformatif 100 murid
Projek BacaBaca telah memberi manfaat kepada lebih 700 murid, masing-masing dengan kisah perkembangan dan transformasi tersendiri.
KUALA LUMPUR, 20 April 2026 – Projek BacaBaca meraikan kejayaan 100 murid dalam perjalanan penguasaan literasi mereka menerusi satu majlis penuh bermakna yang menghimpunkan kohort 2025 bagi memperlihatkan kemajuan serta ketekunan sepanjang program.
Murid-murid yang terdiri daripada pelbagai sekolah dan latar belakang komuniti ini membuktikan bahawa sokongan berterusan sejak peringkat awal mampu memperkukuh kemahiran membaca dengan ketara.
Dalam konteks kepentingan literasi awal sebagai asas pembelajaran sepanjang hayat, Projek BacaBaca terus memainkan peranan signifikan dalam merapatkan jurang penguasaan literasi. Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, inisiatif berasaskan penyelidikan yang diterajui oleh Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Taylor’s University ini komited memperkukuh penguasaan literasi Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak berusia 6 hingga 9 tahun.
Majlis berkenaan turut menghimpunkan murid bersama jurulatih bacaan, guru-guru serta rakan kerjasama pendidikan bagi meraikan pencapaian penting dalam perkembangan literasi mereka. Kohort ini terdiri daripada murid dari SK Bandar Sunway, SJK (T) Batu Ampat, SJK (T) Effingham, SJK (T) Ladang Sungai Choh dan SJK (T) Vivekananda.
Program majlis termasuk sesi pembacaan oleh murid serta penyampaian anugerah yang disempurnakan dengan kehadiran Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum) daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Rusmini Ku Ahmad.
Kini memasuki tahun keenam pelaksanaannya, Projek BacaBaca telah memberi manfaat kepada lebih 700 murid, masing-masing dengan kisah perkembangan dan transformasi tersendiri. Sejak 2021, inisiatif ini mencatatkan peningkatan kadar literasi sebanyak 100% merentasi lebih 20 sekolah dan pelbagai komuniti, termasuk kawasan bandar berpendapatan rendah, komuniti luar bandar, masyarakat Orang Asli serta kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik.

Dengan sokongan rakan strategik seperti Mah Sing Foundation, Trinovik Labs, Twinkl Malaysia dan Yayasan Hasanah, pencapaian ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa generasi muda serta memperkukuh literasi sebagai tunjang pembangunan pendidikan negara.
Ketua Projek dan Pensyarah Kanan di Taylor’s University, Hema Letchamanan berkata, kekuatan inisiatif ini terletak pada komitmen kolektif terhadap matlamat yang lebih besar.
“Projek BacaBaca bermula dengan matlamat jelas iaitu memastikan setiap kanak-kanak, tanpa mengira latar belakang, mampu membaca mengikut tahap sepatutnya. Kini, ia berkembang menjadi usaha kolektif melibatkan pendidik, rakan kerjasama dan komuniti yang berkongsi aspirasi untuk memberi permulaan terbaik kepada kanak-kanak. Apabila seseorang kanak-kanak mampu membaca dengan yakin, ia membuka peluang luas dalam pembelajaran dan masa depan mereka. Hakikat inilah yang terus menjadi dorongan kepada usaha ini,” katanya.
Selain pencapaian akademik, peningkatan kemahiran membaca turut menyumbang kepada pembentukan keyakinan diri, sifat ingin tahu serta amalan pembelajaran kendiri. Impak ini melangkaui ukuran akademik semata-mata dengan memupuk nilai murni seperti disiplin, kepercayaan diri dan minat mendalam terhadap pembelajaran sepanjang hayat.
Sebagai peluasan kepada inisiatif sedia ada, Projek BacaBaca+ diperkenalkan bagi menyokong murid berusia 11 dan 12 tahun dari sekolah rendah Cina dan Tamil dalam mencapai Tahap Penguasaan (TP4 hingga TP6) bagi Bahasa Melayu. Program ini dilaksanakan secara bersemuka dalam kumpulan kecil, sekali gus membantu melancarkan peralihan murid ke sekolah menengah di samping memperkukuh penguasaan bahasa kebangsaan.
Bagi kebanyakan murid, perjalanan ini bersifat peribadi dan penuh makna. Dua murid dari SJK (T) Ladang Sungai Choh, Nithiya Sri Subramaniam dan Kamala Devi Mathavan, menunjukkan inisiatif tinggi dalam meningkatkan kemahiran Bahasa Melayu di luar bilik darjah.
“Saya memilih sendiri buku cerita Bahasa Melayu untuk dibaca dan merakam bacaan tersebut sebelum dihantar kepada jurulatih bacaan untuk maklum balas. Jika terdapat perkataan yang tidak difahami, saya akan merujuk kamus dan mencatat perkataan baharu dalam buku nota,” kata Nithiya, mencerminkan peningkatan keupayaan pembelajaran kendiri serta komitmen terhadap penguasaan kemahiran membaca sebagai asas pendidikan.

Projek BacaBaca kini telah memulakan fasa pelaksanaan bagi tahun 2026 dan mengalu-alukan penyertaan sukarelawan dari pelbagai lapisan masyarakat untuk berperanan sebagai jurulatih bacaan.
“Kekuatan utama inisiatif ini terletak pada sokongan para sukarelawan. Sepanjang lima tahun lalu, lebih 500 individu telah menyertai kami dalam membawa perubahan bermakna kepada kehidupan kanak-kanak ini. Kami berharap lebih ramai akan tampil ke hadapan agar usaha ini dapat diperluaskan dan diperkukuh pada masa hadapan,” tambah Hema.
Projek BacaBaca merupakan sebahagian daripada Education for All Impact Lab di Taylor’s University, dengan pengambilan seterusnya bagi sukarelawan jurulatih bacaan akan bermula pada Mei 2026 dan individu yang berminat dialu-alukan untuk mendaftar.
