Ramadan madrasah mendidik jiwa
Bulan ini menjanjikan 1,001 keberkatan, ganjaran pahala yang berlipat ganda dan peluang untuk meningkatkan ketakwaan serta mendidik jiwa ke arah kebaikan.

RAMADAN merupakan bulan yang menjadi satu kewajipan berpuasa kepada seluruh umat Islam dan diberi pengecualian kepada mereka yang tidak berkemampuan kerana ada halangan atau keuzuran tertentu.
Kewajipan berpuasa ini hanya dikhususkan kepada umat Islam kerana ia adalah salah satu daripada rukun Islam ketiga yang wajib dipatuhi oleh setiap Muslim.
Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Islam dibangun di atas lima perkara: bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan berhaji ke Baitullah jika mampu” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Bulan ini menjanjikan 1,001 keberkatan, ganjaran pahala yang berlipat ganda dan peluang untuk meningkatkan ketakwaan serta mendidik jiwa ke arah kebaikan.
Hakikat ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 183: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.
Dengan itu, kemuncak utama dalam ibadah berpuasa adalah melahirkan insan yang bertaqwa.
Di antara kaedah mendidik jiwa di bulan Ramadan adalah menanamkan nilai kesabaran dalam kehidupan sama ada di siang hari ketika berpuasa mahupun di malam hari.
Asasnya sabar bermaksud menahan diri dan bersikap tabah dalam menghadapi ujian tanpa mengeluh atau bertindak melampaui batas. Dalam Islam, sabar merupakan sifat yang sangat mulia dan sering disebut dalam al-Quran.
Sifat ini dapat dipupuk dan dilatih sepanjang Ramadan. Hasilnya, ia dapat membentuk keperibadian dan personaliti umat Islam yang lebih tenang dan damai.
Umpamanya, menahan rasa lapar dan dahaga di siang hari, melawan hawa nafsu yang mendorong ke arah kejahatan dan kemaksiatan, melawan rasa malas beribadat terutamanya selepas berbuka puasa dan sabar menahan diri ketika rasa marah.
Oleh itu, sifat sabar perlu dipupuk dalam setiap individu muslim kerana ia membentuk kekuatan jiwa. Ini selari dengan sabda Rasulullah SAW: “Sungguh menakjubkan urusan orang mukmin, sesunggunya semua urusannya adalah baik. Jika dia mendapat nikmat, dia bersyukur, maka itu baik baginya. Jika dia ditimpa musibah, dia sabar, maka itu juga baik baginya.” (HR Muslim)
Selain itu, untuk mendidik jiwa juga, melahirkan rasa syukur dapat diterapkan dalam kehidupan seorang Muslim. Pada dasarnya, syukur adalah manifestasi perasaan terima kasih seorang hamba kepada Allah SWT. Ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara.
Umpamanya dalam meningkatkan rasa syukur di bulan Ramadan adalah dengan memperbanyakkan amal ibadah, bersedekah, menjauhi perbuatan ghibah, tidak berkata kasar dan sebagainya.
Dengan itu, seseorang dapat membuktikan bahawa dia menghargai segala kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT melalui cara di atas.
Justeru, nilai seperti ini bukan hanya sekadar ucapan akan tetapi perlu dilaksanakan dengan tindakan dan amalan yang berterusan. Dalam surah Ibrahim, ayat 7, Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
Di samping itu, mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT merupakan asas utama dalam mendidik jiwa kehidupan seorang Muslim. Semakin kuat hubungan seseorang dengan Allah SWT, akan semakin tenang hati dan jiwanya.
Pengukuhan jiwa ini dapat dibentuk melalui cara memperbanyakkan solat dan ibadah sepanjang dalam bulan Ramadan, membaca dan bertadabbur intipati al-Quran dan membantu sesama insan yang saling memerlukan serta menjauhkan perkara-perkara yang melalaikan seperti tidur yang terlalu lama, bersembang perkara yang tidak bermanfaat dan sebagainya.
Justeru, Ramadan adalah peluang terbaik untuk memperbaiki diri ke arah kebaikan. Hal ini, kita dapat mencapai ketakwaan yang lebih tinggi.
Sehubungan dengan itu, bagi mendidik jiwa dalam bulan Ramadan juga menjadi satu peluang untuk menjauhkan diri dari segala kemaksiatan.
Bukan sahaja maksiat secara zahir akan tetapi yang batin juga perlu untuk kita jauhkan. Antara contoh maksiat zahir adalah melakukan zina, menyebar fitnah, mengumpat dan mendengar muzik yang melalaikan manakala maksiat batin pula adalah riak, iri hati, sombong dan sebagainya.
Sabda Rasulullah SAW: “Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya kamu semua tidak berbuat dosa, nescayalah Allah akan menghilangkan kamu (mematikan) dan Allah akan mendatangkan satu kaum yang berbuat dosa, lalu mereka beristighfar kepada Allah dan Dia akan mengampunkan mereka.” (HR Muslim).
Hal ini jelas bahawa menjauhkan diri daripada segala kemaksiatan sangat penting untuk mendidik jiwa di bulan Ramadan ini. Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Puasa adalah perisai. Maka janganlah seseorang berkata kotor atau berbuat bodoh. Jika ada yang memusuhinya atau mencelanya, maka katakanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Tuntasnya, Ramadan bukan hanya sekadar bulan untuk menahan diri daripada rasa lapar dan dahaga semata-mata tetapi ia juga adalah bulan yang mendidik jiwa ke arah kebaikan.
Dengan seseorang itu mempraktikkan segala kaedah umpama mengamalkan sifat sabar, menanamkan rasa syukur, mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT di samping menjauhkan diri dari segala kemaksiatan, ia dapat membentuk diri menjadi insan yang lebih baik.
Oleh itu, selepas berlalunya pentarbiahan di bulan Ramadan, seseorang itu masih dapat mengamalkan segala kaedah ini secara berterusan dalam kehidupan seharian mereka. Semoga Ramadan kali ini menjadi madrasah pendidikan jiwa yang terbaik untuk seluruh umat Islam.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.