Belanjawan 2026: Harapan besar untuk kemakmuran rakyat

Belanjawan 2026 bakal menumpukan kepada tiga tonggak utama iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai, dan memacu reformasi.

Feature Image (2)

SABAN tahun pembentangan belanjawan negara sering dinantikan untuk rakyat tahu tentang hala tuju ekonomi Malaysia dengan lebih tepat. Belanjawan 2026 menjadi langkah awal Kerajaan MADANI dalam memacu agenda Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), disamping menghadapi landskap ekonomi global yang kian mencabar.

Umum mengetahui Belanjawan 2026 bakal menumpukan kepada tiga tonggak utama iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai, dan memacu reformasi. Tuntas, ia dikatakan seiring dengan usaha memperbaiki kualiti hidup rakyat melalui subsidi bersasar, modal insan cemerlang, tadbir urus baik dan pembangunan inklusif.

Seperti kebiasaanya, setiap belanjawan yang disediakan akan bersifat mengembang kerana kerajaan akan meningkatkan sedikit peruntukan dari tahun sebelumnya. Tindakan sedemikian menandakan komitmen kerajaan untuk terus merangsang pertumbuhan ekonomi domestik walaupun berdepan dengan tekanan ekonomi global.

Dalam usaha kerajaan menampung peningkatan ini, sudah pastinya pendapatan negara juga perlu meningkat lebih tinggi dengan peratusan meningkat secara menaik.

Hasrat ini selaras dengan beberapa inisiatif yang telah dilaksanakan sejak awal tahun 2025 ini seperti pelaksanaan e-invois, cukai ke atas dividen serta peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Impak kewangannya yang terus dinantikan oleh kebanyakan rakyat dalam pembentangan pada Jumaat ini.

Tidak dilupakan juga hasil cukai keuntungan modal yang baru dilaksanakan pada tahun 2024 juga mampu memberikan tambahan pendapatan yang baik kepada kerajaan. Kementerian Kewangan (MoF) telah mengunjurkan jumlah yang agak baik dan semestinya data ini amat dinanti-nantikan untuk rakyat melihat nilai yang dikutip.

Seharusnya semua inisiatif yang berimpak ini dapat dijelaskan dengan lebih terperinci terhadap kejayaan pelaksanaan terutama nilai kewangan yang dijana serta kesan pengagihan yang dibuat.

Selain itu, cukai ke atas dividen yang diterima oleh individu, iaitu kenaan sebanyak 2 peratus juga harus disebarluaskan maklumatnya agar mudah umum mengetahuinya. Ia melambangkan komitmen kerajaan dalam merealisasikan cukai ke atas golongan individu yang mempunyai pendapatan maha tinggi.

Di samping peningkatan hasil negara, adalah diharapkan juga kerajaan dapat mengurangkan defisit fiskal dengan angka yang memberangsangkan. Lantas menyerlahkan kewibaan kerajaan MADANI dalam memastikan pengurusan fiskal yang lebih terkawal.

Sehingga kini kerajaan memang komited untuk memastikan pelaksanaan pembaharuan dalam pelbagai bidang demi kemakmuran negara. Malah, tindakan tegas seperti penyasaran subsidi, kutipan hasil yang dipertingkatkan dan rangka kerja fiskal yang lebih utuh, mengukuhkan kemampanan fiskal jangka masa panjang.

Komitmen kerajaan ini selaras dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) iaitu mengurangkan defisit fiskal kepada 3.0 peratus untuk kedudukan kewangan yang mampan. Pelaporan hasilnya perlu dilakukan dengan kerap, sama seperti langkah pengurusan krisis yang kritikal.

Konsep subsidi bersasar yang dilaksanakan sekarang ini adalah pendekatan yang cekap untuk mengurangkan pembaziran dan ketirisan, sekaligus meningkatkan keberkesanan bantuan. Oleh itu, dalam Belanjawan 2026 ini, sudsidi bersasar mungkin menjadi tumpuan rakyat untuk ditambah baik selaras dengan matlamat merapatkan jurang bandar dengan luar bandar.

Kena ingat, keadaan ketika negara berhadapan isu pandemik amat ketara bezanya jika dibandingkan landskap ekonomi sekarang ini. Kali ini, walaupun banyak tekanan, tetapi ruang lebih terbuka, malah peluang lebih banyak.

Perbandingan subsidi yang diperluaskan harus berpandukan kepada keadaan yang sama situasinya. Harapnya perbandingan lebih terbuka dan bukan kerap diulang perbezaan perbelanjaan semasa pandemic Covid-19.

Dari sudut lain, kerajaan perlu memastikan belanjawan ini berusaha meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah. Walaupun faktor ini sangat kurang ditekankan dalam belanjawan sebelum-sebelum ini, harapan masih wujud agar hal ini difikirkan dengan lebih teliti.

Pendapatan boleh guna yang tinggi dijangka dapat mengimbangi tekanan daripada pelaksanaan SST yang diperluas serta pelarasan tarif elektrik yang telah diperkenalkan baru-baru ini. Kelangsungan hidup segenap lapisan rakyat mampu diperkasakan melalui penyertaan semua golongan dalam ekonomi negara.

Memang rakyat tahu tidak semua keperluan dapat diselesaikan di dalam belanjawan yang disediakan setiap tahun. Namun, perlu ada inisiatif yang mampu buatkan segenap lapisan rakyat boleh tersenyum selepas mendengar pembentangannya.

Kalangan pemimpin kerajaan lantang menjelaskan bahawa ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, dengan pencapaian pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi dalam sejarah, pengukuhan nilai ringgit, peningkatan daya saing, kadar pengangguran menurun, serta kadar inflasi yang kekal rendah. Jadinya, perlulah diterjemahkan dengan adil dalam Belanjawan 2026 nanti.

Ramai rakyat sudah celik kewangan, ada ilmu dan rajin membaca portal-portal kerajaan yang lebih tepat maklumatnya. Oleh itu, mereka sering menantikan limpahan ekonomi yang boleh dinikmati atas pengakuan sebegini.

Rakyat bukannya pengemis di negara sendiri, tetapi hatinya ada harapan dengan penuh kepercayaan agar kemakmuran negara diagihkan secara cekap dan lebih adil kepada yang layak dan berhak.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.