Jenayah di sekolah peluang perkukuh pendidikan sahsiah secara kolektif
Kejadian tragis ini bukan sahaja menggemparkan masyarakat, malah menimbulkan kebimbangan serius mengenai tahap moral dan disiplin dalam kalangan pelajar masa kini.

SATU kes jenayah yang amat mengejutkan negara telah berlaku baru-baru ini, melibatkan seorang pelajar Tingkatan Dua yang membunuh pelajar Tingkatan Empat di sekolah.
Kejadian tragis ini bukan sahaja menggemparkan masyarakat, malah menimbulkan kebimbangan serius mengenai tahap moral dan disiplin dalam kalangan pelajar masa kini.
Dalam insiden berasingan di Melaka pada awal Oktober 2025, empat pelajar lelaki Tingkatan Lima telah ditahan selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di kawasan sekolah.
Difahamkan, dua daripada suspek telah merogol mangsa secara bergilir-gilir, manakala dua lagi merakam kejadian tersebut sebelum rakaman berkenaan tersebar di media sosial. Terbaru, kes yang sama telah berlaku di Baling, Kedah.
Lebih membimbangkan, ketiga-tiga kejadian ini berlaku di kawasan sekolah. Ia menimbulkan persoalan sejauh mana keberkesanan sistem pendidikan negara, khususnya dalam aspek pengajaran agama, moral, dan pembentukan sahsiah pelajar.
Adakah remaja masa kini semakin hilang pedoman akibat pengaruh media sosial yang tidak terkawal serta penyerapan budaya luar yang menipiskan nilai kemanusiaan?.
Realitinya, kes jenayah melibatkan pelajar sekolah bukan lagi merupakan kejadian terpencil. Sebaliknya, ia mencerminkan kemerosotan nilai moral, empati, dan rasa hormat dalam kalangan generasi muda, suatu petanda jelas bahawa masyarakat kini sedang berdepan krisis nilai yang semakin meruncing.
Dari sudut psikososial, kejadian jenayah dalam kalangan pelajar ini memperlihatkan wujudnya tekanan sosial dan emosi yang tidak ditangani dengan baik.
Ramai remaja berdepan kekeliruan identiti, rasa terpinggir dan keinginan untuk diterima oleh kumpulan sebaya. Apabila persekitaran sosial mereka lebih banyak membentuk tekanan berbanding sokongan, remaja cenderung mencari pengiktirafan melalui cara yang salah termasuk tingkah laku agresif dan berisiko.
Pendedahan berlebihan terhadap kandungan tidak bermoral di media sosial telah menghakis nilai empati serta batas moral dalam kalangan remaja. Lambakan video berkaitan keganasan, buli dan perlakuan tidak senonoh menjadikan mereka semakin tidak sensitif terhadap penderitaan mangsa.
Penyalahgunaan teknologi turut menjadi faktor utama peningkatan perilaku tidak bermoral. Telefon pintar bukan lagi sekadar alat komunikasi tetapi berfungsi sebagai medium penyebaran bahan lucah dan rakaman jenayah.
Lebih membimbangkan, terdapat pelajar yang menganggap perbuatan tersebut sebagai sesuatu yang lucu atau membanggakan. Budaya takut untuk melapor, ditambah dengan sikap sesetengah pihak sekolah yang menutup kes demi menjaga imej institusi, hanya memperkukuh normalisasi jenayah dalam kalangan pelajar dan menjejaskan usaha membentuk persekitaran pendidikan yang selamat serta beretika.
Kesan jenayah sebegini amat mendalam dan meninggalkan trauma berpanjangan kepada mangsa, keluarga serta masyarakat. Bagi kes rogol, mangsa bukan sahaja menanggung penderitaan emosi dan fizikal tetapi juga rasa malu, takut dan stigma sosial yang menyebabkan mereka terasing daripada persekitaran.
Ada yang terpaksa berhenti sekolah dan kehilangan keyakinan diri. Lebih tragis, bagi kes pembunuhan, mangsa kehilangan nyawa akibat tindakan kejam rakan sekolah suatu kehilangan yang tidak mampu ditebus.
Kesan psikologi terhadap keluarga amat mendalam; mereka bukan sahaja berdepan kesedihan yang berpanjangan, malah trauma, kemarahan dan hilang kepercayaan terhadap sistem pendidikan serta keselamatan sekolah.
Pada masa sama, imej institusi pendidikan turut tercalar dan kepercayaan masyarakat terhadap keselamatan anak-anak di sekolah semakin terhakis.
Fenomena ini jelas menggambarkan krisis nilai, empati dan tanggungjawab sosial yang semakin serius dalam masyarakat menuntut tindakan bersepadu dan segera daripada semua pihak.
Bagi menangani masalah ini, beberapa langkah perlu diambil secara menyeluruh. Pertama, pendidikan sahsiah, moral dan kawalan emosi mesti diperkasakan agar pelajar mampu mengurus tekanan serta konflik tanpa bertindak ganas.
Guru dan kaunselor perlu dilatih mengenal pasti pelajar berisiko dan melaksanakan intervensi awal melalui kaunseling serta program mentor-mentee.
Selain itu, kurikulum pendidikan sivik, agama dan moral wajar diperkaya dengan elemen empati, nilai kemanusiaan, keselamatan diri serta kesedaran undang-undang jenayah seksual dan kekerasan.
Pendidikan ini penting untuk membentuk generasi pelajar yang berakhlak, berdisiplin dan menghormati nyawa serta maruah orang lain.
Kedua, kawalan terhadap penggunaan teknologi digital perlu diperketat. Sekolah disaran menguatkuasakan dasar larangan penggunaan telefon bimbit semasa sesi pembelajaran serta memperkukuh pendidikan literasi digital dan etika dalam talian.
Pelajar harus didedahkan kepada implikasi undang-undang berkaitan penyebaran bahan tidak bermoral. Kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga penting bagi memperluas kempen kesedaran keselamatan siber di institusi pendidikan.
Selain itu, aspek sokongan psikologi dan pemulihan perlu diberi penekanan. Mangsa harus dilindungi daripada stigma masyarakat dan diberikan bimbingan oleh kaunselor bertauliah.
Bagi pelaku bawah umur, pendekatan pemulihan seperti modifikasi tingkah laku lebih berkesan daripada hukuman keras. Pendekatan ini bukan sahaja menyedarkan mereka tentang kesalahan yang dilakukan, tetapi turut membantu membina semula moral dan empati agar peluang kedua dapat dimanfaatkan ke arah perubahan positif.
Akhirnya, penguatkuasaan undang-undang dan akauntabiliti sekolah mesti diperketat. Setiap kes salah laku atau jenayah wajib dilaporkan kepada pihak berkuasa tanpa kompromi.
Kementerian Pendidikan Malaysia perlu melaksanakan audit keselamatan secara berkala dan memastikan pematuhan penuh terhadap garis panduan perlindungan pelajar.
Pada masa sama, ibu bapa hendaklah berperanan aktif memantau pergaulan serta penggunaan teknologi anak-anak bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan mereka.
Kesimpulannya, kejadian bunuh dan rogol yang berlaku di sekolah mencerminkan kegagalan kolektif masyarakat dalam mendidik, melindungi dan membentuk sahsiah generasi muda.
Insiden ini menuntut reformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan, pengawasan sosial dan penerapan nilai moral. Kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa serta masyarakat perlu berganding bahu memperkukuh pendidikan sahsiah, mengawal pengaruh teknologi dan memupuk semula budaya empati.
Hanya melalui komitmen bersama, sekolah dapat dikembalikan kepada peranannya sebagai institusi yang selamat, berdisiplin dan berfungsi membentuk masa depan bangsa.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
