Kaya dalam diam, bererti di sisi Allah
Kekayaan tidak diukur dengan jumlah harta atau jenama pakaian tetapi pada bagaimana harta itu digunakan untuk memberi manfaat.

SERINGKALI tular di media sosial kisah seorang selebriti yang menunjukkan gaya hidup mewahnya. Rakaman video menampilkan deretan kereta import, koleksi jam tangan bernilai ratusan ribu ringgit dan percutian mewah di luar negara. Ribuan pengguna meninggalkan komen yang bercampur antara kagum dan sinis. Ada yang menganggap itu bukti kejayaan, ada juga yang menyindir, ‘kaya belum tentu bahagia’.
Dalam dunia digital hari ini, ukuran kejayaan sering kali diletakkan pada apa yang boleh dipamerkan di skrin telefon. Dunia media sosial membentuk budaya yang mengaitkan kebahagiaan dengan kemewahan yang dapat dilihat. Semakin mahal sesuatu barang, semakin tinggi darjat yang dirasakan. Namun di sebalik semua itu, ada persoalan besar yang jarang dibincangkan, benarkah kemewahan yang ditunjukkan itu membawa ketenangan jiwa?
Di sisi Islam, kekayaan tidak diukur dengan jumlah harta atau jenama pakaian tetapi pada bagaimana harta itu digunakan untuk memberi manfaat. Seperti kata bijak pandai, the flashiest people in the room are often the ones with the least behind the scenes. Orang yang paling suka menonjolkan kemewahan kadang-kadang adalah orang yang paling kekurangan makna dan ketenangan dalam hidupnya.
Riak yang halus
Dalam budaya digital hari ini, riak datang dalam bentuk baharu. Ia bukan lagi hanya berjalan dengan sombong atau berucap angkuh tetapi melalui posting dan stories yang berlebihan. Seseorang mungkin menulis ‘Alhamdulillah, rezeki hari ini dapat kereta baru’, dengan niat untuk menunjuk, bukan benar-benar bersyukur.
Ulama menyebut bahawa riak adalah penyakit hati yang paling halus kerana ia sering disamarkan dengan alasan ‘sekadar berkongsi’. Sedangkan riak boleh membatalkan ganjaran amal. Rasulullah SAW memberi amaran bahawa di akhirat nanti ada orang yang datang dengan pahala seperti gunung tetapi semuanya lenyap kerana sedikit riak dalam amalnya.
Kita mungkin tidak sedar bahawa tindakan menonjolkan kemewahan di media sosial boleh menyakitkan hati orang lain. Ia boleh menimbulkan rasa rendah diri, iri hati dan kesedihan dalam kalangan yang kurang bernasib baik. Padahal Islam mengajar empati dan kesederhanaan. Nabi SAW bersabda: “Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripadamu dan jangan melihat kepada orang yang lebih tinggi, kerana itu lebih baik agar kamu tidak meremehkan nikmat Allah kepadamu.” (Riwayat Muslim)
Harta untuk membina, bukan menunjuk
Dalam pandangan Islam, harta adalah amanah yang mesti digunakan untuk membina kebaikan. Allah berfirman dalam Surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud, “Carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu kebahagiaan negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari dunia.”
Ayat ini menegaskan bahawa kita tidak dilarang mencari harta atau hidup selesa tetapi harta itu mesti menjadi jambatan menuju akhirat. Orang yang benar-benar kaya ialah yang menjadikan kekayaannya sebagai alat untuk menolong orang lain, bukan alat untuk memuji diri.
Sebagai contoh, kita melihat semakin ramai usahawan Muslim muda yang mengubah paradigma ini. Mereka tidak hanya mengejar keuntungan tetapi membina perniagaan dengan nilai sedekah. Ada yang menaja makanan untuk gelandangan setiap minggu, ada yang menubuhkan tabung pendidikan untuk pelajar miskin, dan ada yang memperuntukkan sebahagian keuntungan untuk dana wakaf. Inilah bukti bahawa harta yang digunakan untuk membantu akan terus hidup walaupun pemiliknya telah tiada.
Rasulullah SAW bersabda bahawa “Apabila anak Adam meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)
Apa sahaja yang kita gunakan untuk memberi, walau kecil nilainya, akan kekal abadi dalam catatan amal. Satu sen yang disedekahkan ikhlas lebih berharga daripada seribu ringgit yang ditunjukkan untuk pujian.
Menilai semula erti sebuah kejayaan
Sudah tiba masanya masyarakat menilai semula makna kejayaan. Dalam dunia media hari ini, ramai yang dikejar oleh angka pengikut dan tontonan tetapi kehilangan arah hidup. Seseorang mungkin disanjung di dunia maya tetapi tidak dikenali oleh para malaikat di langit kerana amalnya sedikit.
Kejayaan sebenar ialah apabila kita mampu tidur dengan hati yang tenang, bukan dengan rasa takut kehilangan perhatian manusia. Kejayaan ialah apabila rezeki kita mengenyangkan perut orang lain, bukan sekadar memenuhi keinginan diri.
Bayangkan jika setiap individu Muslim yang berjaya menjadikan sebahagian rezekinya sebagai sumber manfaat kepada orang lain. Dunia ini pasti lebih seimbang dan jurang antara kaya dan miskin semakin rapat. Inilah yang dimaksudkan oleh para ulama sebagai barakah iaitu keberkatan yang tidak hanya memberi nikmat kepada diri sendiri, tetapi kepada ramai orang di sekeliling.
Diam yang bernilai di sisi Allah
Apabila seseorang meninggal dunia, segala pakaian mahal, rumah besar dan kenderaan mewah akan tinggal di dunia. Yang dibawa hanyalah amal dan keikhlasan. Dunia akan melupakan berapa banyak yang kita miliki, tetapi Allah tidak akan lupa berapa banyak yang kita beri.
Benarlah kata pepatah moden, ‘apa yang kamu tunjuk akan berakhir di dunia tetapi apa yang kamu beri akan kekal di akhirat’. Maka, jadilah insan yang memberi dalam diam, berbuat baik tanpa nama dan berinfak tanpa perlu dipuji.
Ini adalah kerana di sisi Allah, kekayaan bukan tentang siapa yang paling banyak memiliki, tetapi siapa yang paling banyak memberi manfaat.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
