Mengatasi kerapuhan emosi masayarakat kini
Apabila tekanan hidup, kegagalan mengurus perasaan secara berkesan serta pengaruh sosial yang toksik bergabung mencipta ruang gelap di mana tindakan melampau batas mungkin boleh berlaku.

BEBERAPA tahun kebelakangan ini, masyarakat dikejutkan dengan pelbagai krisis penuh tragis, daripada insiden buli yang meragut nyawa hinggalah kepada pembunuhan yang dilakukan oleh golongan muda. Fenomena ini menimbulkan persoalan besar, apakah yang sedang berlaku kepada emosi dan kesejahteraan psikologi masyarakat kita?
Kerapuhan emosi bukanlah isu baharu, namun intensiti dan kesannya semakin ketara. Apabila tekanan hidup, kegagalan mengurus perasaan secara berkesan serta pengaruh sosial yang toksik bergabung mencipta ruang gelap di mana tindakan melampau batas mungkin boleh berlaku.
Secara konsepnya, kerapuhan emosi merujuk kepada keadaan mental di mana seseorang mudah terjejas, sukar mengekang kemarahan, hilang kemampuan menilai tindakan dan bertindak secara impulsif. Ia bukan hanya isu individu tetapi gambaran kepada tekanan sosial yang semakin meningkat.
Tidak dinafikan faktor pendorong seperti tekanan akademik dan kerjaya yang tinggi, hubungan keluarga yang tegang atau kurang sokongan emosi, pengaruh media sosial yang mendorong perbandingan tidak sihat, normalisasi budaya ‘ketegasan tanpa empati’ termasuklah pendedahan kepada kemahiran pengurusan emosi yang terhad sejak kecil memperparah lagi isu sosial dalam masyarakat.
Justeru, apabila kerapuhan ini tidak dirawat mampu mencetuskan perilaku agresif termasuk buli, kecederaan diri dan dalam kes ekstrem, boleh mencetus kepada pembunuhan.
Sisi gelap gejala sosial seperti kes buli bukanlah sekadar ‘gurauan kasar’ sebaliknya manifestasi ketidakseimbangan kuasa dan ketidakupayaan emosi pelaku. Pelaku sering bermula dengan emosi yang tidak stabil, rasa superior yang palsu, atau dendam sosial yang dipupuk lama yang akhirnya membawa implikasi yang serius termasuklah trauma jangka panjang kepada mangsa, kehilangan harga diri, kerisauan dan risiko mangsa bertukar menjadi pelaku pada masa hadapan.
Kes-kes buli yang membawa maut mengingatkan kita bahawa ia bukan isu remeh tetapi cerminan masyarakat yang terlepas pandang untuk menyediakan ruang selamat untuk anggotanya.
Sebelum menuding jari kepada sistem, kita juga perlu menilai diri. Setiap individu bertanggungjawab memupuk kekuatan emosi dan telah tiba masa untuk memperkasa Kemahiran termasuk kesedaran kendiri kemampuan mengurus tekanan dengan berkesan, sifat empati dan belas ihsan, kemahiran komunikasi tanpa kekerasan dan paling penting untuk belajar meminta bantuan tanpa rasa malu.
Tidak ketinggalan, validasi perasaan sendiri dan belajar mengekspresinya secara sihat adalah langkah kritikal untuk mengelakkan kerapuhan berkembang menjadi agresi yang memusnahkan.
Secara holistiknya, kesejahteraan emosi bukan tanggungjawab individu semata-mata. Peranan Komuniti dalam memupuk ekosistem emosi yang sihat termasuk keluarga, sekolah, rakan, jiran, institusi memainkan peranan sama penting. Kita perlu beralih daripada budaya ‘diam dan lihat’ kepada budaya ‘ambil tahu dan bertindak’.
Selain itu, ruang sokongan psikologi seperti program sokongan emosi dan aktiviti komuniti boleh menjadi saluran untuk individu meluahkan tekanan.
Masyarakat juga perlu berhenti menganggap kaunseling atau terapi sebagai ‘tanda kelemahan’. Kemahiran mengenal emosi, empati dan menyelesaikan konflik dilihat wajar diajar seperti pentingnya kita mengajar subjek akademik yang lain. Dari sudut perundangan, polisi anti buli yang tegas perlu diimplimentasi di mana institusi perlu menguatkuasakan tindakan pencegahan dan pemulihan dengan baik dan berkesan secara menyeluruh.
Konklusinya, kes buli dan pembunuhan bukan hanya tragedi peribadi, ia adalah cerminan kerapuhan sistem sokongan emosi dalam komuniti kita. Untuk mengatasinya, kita perlu bergerak sebagai sebuah ekosistem di mana individu yang sedar dan bertanggungjawab terhadap emosinya dibantu oleh komuniti yang peka dan menyokong, institusi yang tegas dan berfungsi termasuklah keluarga yang menjadi ruang selamat.
Kita tidak mampu menghapuskan sepenuhnya tragedi tetapi kita mampu mengurangkan risiko, membina masyarakat yang lebih empati, dan menyelamatkan nyawa melalui kekuatan emosi yang dibina bersama.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
