Mata Helang: UEC – Antara pendidikan, politik dan ketakutan lama
Isu UEC dilihat sebagai cermin kegagalan politik Malaysia membina naratif kebangsaan yang jujur. Selagi pendidikan dijadikan medan politik, selagi itulah UEC akan terus menjadi senjata, bukan penyelesaian.
ISU Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan isu baharu tetapi ia terus menjadi duri dalam daging politik Malaysia setiap kali kerajaan bertukar, manifesto dilancarkan atau perpaduan nasional dijadikan slogan.
UEC bukan sekadar peperiksaan akademik, ia telah lama berubah menjadi simbol pertembungan identiti, kuasa politik, ketakutan sejarah dan kegagalan negara membina satu sistem pendidikan yang benar-benar inklusif. Selama lebih enam dekad, UEC tidak pernah benar-benar dibincangkan secara jujur. Ia hanya diuar-uarkan, dipolemikkan dan diperalatkan.
UEC lahir daripada sistem pendidikan sekolah menengah persendirian Cina yang berkembang selepas kemerdekaan. Ketika itu, komuniti Cina memilih untuk mengekalkan sistem pendidikan berbahasa ibunda mereka kerana bimbang kehilangan identiti, bahasa dan peluang ekonomi.
Maka lahirlah peperiksaan sendiri yang diuruskan oleh Dong Zong, tanpa pengiktirafan kerajaan Persekutuan. Sejak awal, UEC tidak pernah menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan tetapi dibiarkan hidup sebagai ‘entiti luar’ iaitu tidak diharamkan, tidak diiktiraf tetapi diterima secara tidak rasmi oleh universiti swasta dan luar negara.
Masalah bermula apabila UEC bukan lagi isu pendidikan tetapi tuntutan politik. Setiap kali pilihan raya, ia diangkat sebagai janji. Setiap kali janji gagal ditunaikan, alasan lama dikitar semula iaitu sensitiviti Melayu, Perlembagaan, bahasa kebangsaan dan perpaduan nasional. Akhirnya, UEC menjadi isu tergantung iaitu tidak mati dan tidak hidup.
Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu UEC sekali lagi muncul ke permukaan. Anwar mengambil pendekatan berhati-hati, konsisten dengan pendirian lama beliau bahawa pengiktirafan UEC perlu disertai syarat ketat, termasuk penguasaan bahasa Melayu, Sejarah dan prinsip Perlembagaan.
Kenyataan beliau jelas iaitu kerajaan tidak menolak UEC secara mutlak tetapi tidak akan mengiktirafnya secara automatik. Ini bukan jawapan tegas, tetapi jawapan politik yang hanya cukup untuk meredakan DAP, cukup untuk menenangkan orang Melayu tetapi tidak cukup untuk menyelesaikan isu.
DAP pula kekal konsisten dengan tuntutan mereka iaitu pengiktirafan penuh UEC sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara, tanpa diskriminasi. Bagi DAP, UEC ialah isu keadilan dan hak pendidikan. Namun, kritikan utama terhadap DAP ialah kegagalan mereka mengakui realiti politik Malaysia.
Mereka menuntut pengiktirafan tetapi jarang berbicara secara serius tentang integrasi UEC ke dalam kerangka kebangsaan. Mereka mahukan pengiktirafan tetapi enggan menerima bahawa sistem pendidikan negara tidak boleh dibina di atas pluralisme mutlak tanpa asas bersama.
Di pihak parti politik Melayu, pendirian mereka hampir seragam tetapi berbeza nada. PAS secara konsisten menolak pengiktirafan UEC atas alasan kedaulatan bahasa Melayu dan identiti Islam.
Bagi PAS, UEC adalah ancaman kepada sistem pendidikan kebangsaan dan simbol kegagalan asimilasi nasional. UMNO pula berada di tengah-tengah iaitu secara rasmi menolak tetapi secara praktikal tidak pernah bertindak tegas. UMNO memahami bahawa isu UEC sensitif di mata Melayu tetapi juga sedar mereka tidak mampu kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu. Maka lahirlah pendirian ‘tidak tolak, tidak terima’.
Perikatan Nasional (PN) pula mengambil pendekatan lebih populis. Mereka menolak UEC secara terbuka, menjadikannya modal politik untuk meraih sokongan Melayu luar bandar. Dalam naratif PN, UEC sering digambarkan sebagai ancaman kepada bahasa kebangsaan, walaupun hakikatnya sistem pendidikan kebangsaan sendiri sedang bergelut dengan isu kualiti dan ketidaksamaan. PN menjual ketakutan, bukan penyelesaian.
Persoalan paling penting yang jarang dibincangkan ialah mengapa UEC wujud begitu lama tanpa penyelesaian?
Jawapannya mudah iaitu kerajaan demi kerajaan gagal membina keyakinan nasional. Sistem pendidikan kebangsaan gagal menjadi sistem yang diyakini semua kaum. Apabila ibu bapa bukan Melayu tidak yakin anak mereka akan mendapat peluang adil dalam sistem kebangsaan, mereka memilih alternatif. UEC adalah simptom, bukan punca.
Mengiktiraf UEC tanpa syarat adalah tidak realistik. Menolak UEC secara total juga tidak menyelesaikan masalah. Apa yang diperlukan ialah integrasi, bukan pengiktirafan kosong. Jika kerajaan benar-benar serius, UEC boleh disepadukan dengan syarat jelas iaitu penguasaan bahasa Melayu setara SPM, lulus Sejarah Malaysia dan pengiktirafan Perlembagaan Persekutuan sebagai asas negara. Tanpa itu, UEC akan kekal sebagai simbol pemisahan, bukan perpaduan.
Namun persoalannya, adakah kerajaan Madani berani? Keberanian politik menuntut keputusan tidak popular. Mengiktiraf UEC akan mengundang kemarahan sebahagian orang Melayu. Menolaknya pula akan mengundang tekanan daripada DAP dan komuniti Cina. Maka pilihan paling selamat ialah menangguhkan dan itulah yang berlaku sejak puluhan tahun.
Mata Helang melihat isu UEC sebagai cermin kegagalan politik Malaysia membina naratif kebangsaan yang jujur. Selagi pendidikan dijadikan medan politik, selagi itulah UEC akan terus menjadi senjata, bukan penyelesaian.
Isu ini tidak akan selesai dengan kenyataan media, jawatankuasa khas atau janji manifesto. Ia hanya akan selesai apabila negara berani mengakui bahawa perpaduan tidak lahir daripada paksaan tetapi daripada keadilan dan keyakinan bersama.
UEC bukan ancaman terbesar negara. Ancaman sebenar ialah ketidakmampuan kita membuat keputusan dan selagi politik lebih takut kehilangan undi daripada membina masa depan, isu UEC akan terus berlegar, menjadi luka lama yang sentiasa dibuka tetapi tidak pernah dirawat.
