AKTA SYARIKAT VS AKTA KERJA / AKTA PERHUBUNGAN PERUSAHAAN.
MASUK tahun kelima kami bekas pekerja Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah diberhentikan kerja dan sehingga kini masih tiada sebarang berita atau harapan berkenaan pampasan apa yang kami akan terima.
Masuk 5 tahun berusaha dan berjuang demi pampasan kami, banyak pelajaran yang aku dapat.
Hari ni aku nak berkongsi secebis pandangan berkenaan Akta Syarikat 2016 yang kurang atau lebih tepat tidak menyebelahi pekerja apabila syarikat kau digulungkan secara sukarela.
Perkongsian aku hanya akan berkisar hal2 pengulungan syarikat secara sukarela sahaja, sebab ini yang aku dan 815 orang lain hadapi sampai sekarang.
Hantaran aku kali ni mungkin panjang sedikit, kalau korang malas nak baca terus scroll laju2.
Tapi kalau korang nak sedikit ilmu supaya boleh kongsi pada kawan2 yang lain, marilah membaca coretan aku ini.
Mana tau dari coretan ini kita mampu ubah akta yang aku istilahkan berat sebelah. Akta Syarikat yang memijak pekerja selaku aset utama sesebuah syarikat.
Apabila lembaga pengarah bersetuju untuk mengulungkan sebuah syarikat kerana alasan2 yang berkaitan kerugian. Pengulungan itu akan di daftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Syarikat itu akan diambil alih oleh Syarikat Pelikuidasi (liquidator) yang dipilih oleh Lembaga Pengarah…
Ya DIPILIH OLEH LEMBAGA PENGARAH dan akan diundi bagi mengesahkan pemilihan dalam satu mesyuarat khas pemiutang.
Pemiutang ni pula adalah orang atau badan2 yang Syarikat digulungkan itu berhutang, pekerja seperti kami juga adalah mereka yang termasuk dalam senarai pemiutang (Crediators)
Proses undian ni wayang je, sebab kebanyakan pemiutang yang datang ni tak tahu pun prosedur pengulungan syarikat dan tak tahu pun kepentingan undian pemilihan Syarikat Pelikuidasi ni.
Pemiutang datang untuk mengundi dan mengesahakan pelantikan, jika tak setuju pemiutang kena lantik dan bawa pelikuidasinya sendiri.
Dalam kisah kami,hari undian tu kami datang dengan kosong tanpa ilmu. Syarikat pelikuidasi ni pun main wayang belanja makan2 dan minum nak ambil hati supaya mereka diundi tanpa bantahan.
Kami juga ditakutkan dengan kisah kalau tak undi liquidator ni proses pembayaran kami akan jadi susah dan lambat. Heeee, bab ni aku sendiri rasa bodoh dan mudah sangat kena beli. Tapi itulah pengajaran dan pelajaran.
Dalam Akta Syarikat rupanya kuasa membuat keputusan oleh Liquidator ini sangat kuat dan hanya boleh dicabar melalui keputusan mahkamah.
Setakat kau nak melalak angkat sepanduk tak jalan beb. Kau nak datang ofis dia hentak2 meja tak jadi dikkk. Dia punya kuasa macam durian dan mentimun.. heee.
Akta Syarikat dan Bekas Pekerja.
Dalam Akta Syarikat 2016, tiada istilah PAMPASAN yang layak diterima oleh bekas pekerja. Pekerja hanya layak untuk menerima baki gaji tertunggak, baki cuti, baki kerja lebih masa dan lain2 bayaran yang telah dimaktubkan oleh perjanjian atau mana2 undang2 sebelum sesebuah syarikat itu digulungkan.
Jadi bertolak dari tiada sebarang pampasan inilah sebahagian dari kami memfailkan laporan ke Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) bagi mendapatkan keadilan.
Melalui JPP ni pun ada banyak prosedur yang perlu diikuti dan antaranya adalah proses rundingan damai atau mesyuarat dengan Liquidator/wakil Syarikat dihadapan pegawai JPP.
Hasil rundingan tersebut adalah gagal dan JPP telah buat laporan kepada YB Menteri Sumber Manusi untuk tindakan selanjutnya.
Dalam hal ini YB Menteri telah mengunakan kuasanya mengikut undang2 untuk merujuk kes kami agar dibicarakan di Mahkamah Perusahaan.
Masa ni kami nampak sedikit cahaya untuk ruang mendapatkan pampasan. Tetapi rupanya tidak semudah itu untuk perbicaraan dijalankan di Mahakamh Perusahaan.
Ada rintangan lain pula.
Mengikut Akta Syarikat sebarang proses perundangan perlu mendapatkan pelepasan atau kebenaran dari Mahkamah Tinggi terlebih dahulu , Seksyen 451 (2)…
Terpaksalah kami failkan kes untuk mendapatkan pelepasan mahkamah bagi perbicaraan di Mahkamah Perusahaan.
Pada masa yang sama, si Liquidator ni pula memfailkan semakan kehakiman (Judicial Review) keatas keputusan YB Menteri yang merujuk kes kami untuk dibicarakan di mahkamah Perusahaan adalah sebagai silap/salah.
Nahhh.. terpaksalah kami tambah kos untuk membayar peguam bagi kedua2 kes mahkamah ini. Sudahlah hilang kerja dan hilang mata pencarian, hendak menuntut keadilan mengikut perundangan pula disusahkan dengan hal undang2. Inilah birokrasi kelas tertinggi melalui sistem perundangan kita.
Dipendekkan cerita, Keputusan permohonan pelepsan Seksyen 451dan Semakan Kehakiman tidak berpihak pada kami.
Kuasa menteri untuk hal2 pekerja juga boleh dibatasi oleh Akta Syarikat.
Bertambahlah duka kami, tetapi peluang masih ada dengan peringkat seterusnya ke Mahkamah Rayuan pula. Lawan terus lawan walaupun kami tiada wang.
Ringkasan kisahnya sedihnya pula selepas itu..
Di Mahkamah Rayuan juga kami ditolak.
Dan demi sebuah keadilan sekarang kami ke Mahkamah Persekutuan dan disinilah usaha akhir kami.
29 April 2024 ini adalah pendengaran kes kami. Peluang nampak tipis tapi kami terus yakin dengan peluang dan kuasa Allah.
Apa yang menjadi rintangan kepada kami ?
Dalam kes kami sebenarnya tiada rujukan keputusan kes atau “precedent” yang sebijik sama seperti kes Pengulungan Sukarela oleh Utusan Melayu ini, jadi setiap hujahan peguam kami adalah sedikit terbatas dan kurang berpihak kepada kami.
Keputusan2 hakim pula sebelum ini tidak mengambil kira kesusahan pekerja dan berpihak kepada Akta Syarikat atau pelikuidasi sahaja. Kerana rujukan Aktanya adalah Akta Syarikat bukan Akta Pekerja.
Apapun, setakat ini amat jelas undang2 yang melindungi pekerja tidak berada pada tahap yang tinggi dan dalam kes kami, seksyen 451 Akta Syarikat telah mengatasi hak pekerja untuk mendapat perbicaraan secara adil di Mahkamah Perusahaan.
Jika anda seorang wakil kesatuan atau wakil pekerja, saya seru untuk perjuangkan agar Akta Syarikat yang menindas hak pekerja ini perlu diubah. Sekurang2nya anda sebagai wakil kesatuan masukkanlah sebarang artikel atau perjanjian yang melindungi hak pekerja jika berlaku pengulungan syarikat secara sukarela atau paksa dalam Perjanjian Bersama “Collective Agreements” antara kesatuan dan Syarikat anda.
Kuasa liquidator ini sangat kuat, dalam kes kami bayaran pampasan bagi pekerja gaji RM2000 kebawah dan pekerja Buruh Manual yang termaktub dibawah Akta Kerja pun masih belum dilangsaikan oleh Liquidator.
Desas desus, liquidator kata bayaran itu tidak termasuk dalam keutmamaan pembayaran? Mungkin Jabatan Tenaga Kerja boleh bantu sahkah perkara ini nanti.
Inilah sekelumit kisah bagaimana bekas pekerja yang menuntut sedikit pampasan dan berlawan dengan undang2 yang tidak menyokong dan berpihak padanya.
Sudahlah hilang pendapatan, kami disusahkan dengan kos2 perundangan yang mahal. Nak pampasan banyak pula modal perlu dikeluarkan, jika tidak kerana keadilan. sudah pasti kami undur diri kerana birokrasi ini.
Isnin 29/4/2024 nanti besarlah harapan kami agar perbicaraan dan keputusannya berpihak kepada kami bekas pekerja Utusan Melayu Malaysia Berhad.
Dan andaikata itu terjadi, kami akan menjadi rujukan “precedent” kepada keadilan bekas2 pekerja untuk dibicarakan di ruang yang sewajarnya pada masa akan datang untuk keadilan kepada pekerja.
Kisah dan coretan demi sebuah keadilan dan masa depan pekerja.
—
Penulis merupakan bekas pekerja Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.